Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Bersatu, kerjasama bina Tengah jadi bandar bertenaga, indah

Mar 22, 2025 | 7:49 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, beramah mesra dengan para penduduk di perasmian pembukaan Kelab Masyarakat Tengah pada 22 Mac.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, beramah mesra dengan para penduduk di perasmian pembukaan Kelab Masyarakat Tengah pada 22 Mac. - Foto ST

Estet baru Tengah mula terbentuk dan akan menjadi sebuah bandar yang bertenaga dalam beberapa tahun, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Bercakap pada majlis perasmian pembukaan Kelab Masyarakat Tengah pada 22 Mac, Encik Wong menggesa penduduk agar bersatu dan bekerjasama dengan akar umbi dan pemerintah untuk membina rumah yang lebih baik bagi diri mereka dan anak-anak mereka.

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata beliau telah bercakap dengan seorang penduduk Tengah baru-baru ini, yang berkata bandar itu seperti “Punggol di barat”.

“Jika anda pernah ke Punggol beberapa dekad yang lalu, ada yang mengatakan Punggol sangat ‘ulu’ (terpencil) dan jauh. Tiada siapa yang mahu pergi.

“Tetapi hari ini, anda lihat Punggol, ia adalah sebuah bandar yang indah, tersambung, bertenaga, banyak kemudahan di sana,” kata Encik Wong.

“Begitu juga hari ini di Tengah, anda boleh lihat keadaan sudah mula terbentuk.

“Dalam masa beberapa tahun lagi, saya pasti ia akan menjadi lebih baik. Ia akan menjadi seperti Punggol, jika tidak, lebih baik daripada Punggol.”

Beliau menggesa penduduk Tengah untuk membantu membina ikatan masyarakat yang menjadikan estet seperti Punggol istimewa, menggalak mereka bekerjasama dengan akar umbi dan sukarelawan, mengambil bahagian dalam kegiatan, mengenali jiran mereka dan berkhidmat kepada masyarakat dengan cara yang berbeza.

“Apabila anda berbuat demikian, anda membina ikatan istimewa dengan estet anda, dengan masyarakat anda. Anda membina jati diri yang lebih kukuh dan berkembang maju sebagai penduduk Tengah,” katanya.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa perpaduan antara satu sama lain ini akan menjadi lebih penting apabila Singapura melakar jalan baru ke hadapan melalui dunia yang lebih bergelora dan mencabar.

“Ia menjadi dunia yang lebih berbahaya, tetapi Singapura boleh mengharungi cabaran ini kerana kami kuat dan bersatu sebagai satu pasukan Singapura,” katanya.

“Jadi kita mesti terus mengukuhkan perkongsian ini, bekerja bersama sebagai satu rakyat dan pemerintah pasti akan melakukan bahagian kami untuk menyokong anda semua dan bekerjasama dengan semua rakyat Singapura.

“Kami akan menangani kebimbangan anda, sama ada dalam kos sara hidup atau di kawasan lain,” tambah beliau.

Turut hadir di acara tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; Anggota Parlimen (AP) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan AP Encik Don Wee.

Kesemua mereka ialah AP GRC Chua Chu Kang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg