Seorang peguam yang mempunyai rekod kesalahan memandu melebihi had laju dan memandu dalam keadaan mabuk, didakwa pada 19 Jun selepas sekali lagi memandu ketika mabuk pada 2024.
Steven John Lam Kuet Keng, 55 tahun, juga dituduh telah memberi kenyataan palsu kepada dua anggota polis selepas terlibat dalam kemalangan pada 7 April 2024, apabila keretanya dikatakan naik ke atas pembahagi jalan dan melanggar beberapa pagar penghadang.
Dia mendakwa bahawa ketika kejadian itu berlaku, kereta tersebut dipandu oleh individu yang tidak dikenali.
Menurut Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), Lam merupakan pengarah, pemegang saham dan setiausaha di firma guaman Templars Law.
Pada 19 Jun, Lam dikenakan satu pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan satu pertuduhan memandu tanpa memberi perhatian sewajarnya, yang mengakibatkan kemalangan tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Beliau turut dikenakan dua pertuduhan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Lam pernah disabitkan kesalahan memandu melebihi had laju pada 1999 dan memandu dalam keadaan mabuk pada 2006.
Dokumen mahkamah tidak memperincikan hukuman yang dikenakan ke atas Lam bagi kesalahan tersebut.
Bagi kes terbarunya, Lam didakwa memandu tanpa memberi perhatian sewajarnya di Bukit Panjang Road menghala ke Choa Chu Kang Road pada sekitar 12.30 pagi, 7 April 2024, ketika kemalangan itu berlaku.
Ujian nafas menunjukkan Lam mempunyai sekurang-kurangnya 61 mikrogram alkohol dalam setiap 100 mililiter nafas, melebihi had yang dibenarkan iaitu 35 mikrogram.
Lam didakwa memberi kenyataan palsu kepada Staf Sarjan Kanan Muhammad Ridwan Abdullah di kawasan Bukit Panjang Road sekitar 12.50 pagi pada hari yang sama.
Lam dikatakan telah mendakwa bahawa semasa kemalangan itu berlaku, kereta tersebut tidak dipandu olehnya.
Lam turut didakwa memberi kenyataan palsu yang sama kepada Pegawai Penyiasat (IO) Muhammad Farhan Sairi dalam satu kenyataan yang direkodkan di Ibu Pejabat Polis Trafik di Ubi Avenue 3, sebelum 5 pagi pada 7 April 2024.
Kes ini akan disebut semula di mahkamah pada 15 Julai.
Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga satu tahun dan didenda sehingga $10,000.
Pesalah berulang pula boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga $20,000.
Bagi setiap pertuduhan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg