Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeguam Firdaus Daud dikerah ke kawasan undi Kembangan sebagai penasihat akar umbi
Pelantikan mulai 1 Sep itu susulan pengunduran Faishal Ibrahim
Peguam, Encik Ahmad Firdaus Daud akan mengambil alih tanggungjawab akar umbi mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Kembangan mulai 1 September.
Mengesahkan perkara itu dengan Berita Harian (BH) pada 28 Ogos, Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, berkata Encik Firdaus akan menggalas peranan baru sebagai penasihat kedua pertubuhan akar umbi kawasan undi itu.
“Kami jangkakan beliau akan memainkan peranan yang sangat aktif di Kembangan,” kata Encik Seah, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights.
“Penasihat yang lain akan terus menyokong beliau, pemimpin akar umbi dan penduduk Kembangan yang lain,” tambah beliau.
Encik Seah berkata peranan Encik Firdaus “akan berkembang” pada masa hadapan, sambil menambah bahawa beliau akan terus memberi lebih perhatian dan bekerjasama dengan Encik Firdaus untuk berkhidmat kepada penduduk sebaik mungkin.
Encik Firdaus, 42 tahun, merupakan calon simpanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Selepas GE2025, beliau dilantik sebagai penasihat kedua bagi pertubuhan akar umbi di Punggol di bawah Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan terlibat dalam kerja akar umbi di kawasan tersebut.
Beliau juga menggalas peranan sebagai naib pengerusi cawangan Punggol North PAP dan Penasihat M³@Punggol.
Encik Seah berkata Encik Firdaus akan terus memegang jawatan sebagai penasihat kedua di Punggol buat sementara waktu, tetapi akan melepaskan peranan itu untuk memberi tumpuan kepada Kembangan.
Beliau turut menambah bahawa beliau telah mencapai persetujuan mengenai aturan tersebut dengan Encik Gan.
Ketika dihubungi BH pada 28 Ogos, Encik Firdaus berkata beliau belum bersedia mengulas, sambil merujuk wartawan kepada Encik Seah untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Menjawab pertanyaan BH tentang peranan dan tumpuan baru Encik Firdaus, Encik Seah berkata peranan beliau di Kembangan tidak berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini di Punggol.
“Pertama sekali, kami berkhidmat untuk semua penduduk daripada semua bangsa dan kepercayaan,” kata Encik Seah.
“Tetapi sebagai anggota masyarakat Melayu/Islam dalam pasukan ini, kami gembira kerana dengan adanya Firdaus, penduduk Melayu/Islam kami juga akan dilayan dengan lebih baik.”
Encik Seah berkata Encik Firdaus bukan orang baharu dalam kerja akar umbi dan penyertaannya “pasti akan mengukuhkan pasukan”.
Encik Firdaus juga sudah bertemu dengan AP lain dalam GRC itu serta pemimpin akar umbi utama, tambah Encik Seah.
Para sukarelawan parti dimaklumkan dalam satu acara mendekati penduduk pada 23 Ogos bahawa Encik Firdaus akan mengambil alih tanggungjawab akar umbi Dr Faishal pada September, kata seorang sukarelawan yang enggan namanya didedahkan.
Dalam satu catatan Facebook pada 27 Ogos, Encik Seah memuat naik gambar Encik Firdaus bersama empat AP GRC berkenaan yang masih kekal, semasa acara tersebut – pengagihan baucar Hari Kebangsaan kepada penduduk Kembangan.
Dalam catatan itu, Encik Seah berkata beliau “gembira dapat turun padang bersama-sama sebagai satu pasukan GRC dan juga bersama para sukarelawan hujung minggu lalu, mengagihkan baucar Hari Kebangsaan kepada penduduk Kembangan”.
Beliau menambah bahawa acara tersebut merupakan peluang baik untuk mereka berkumpul, mengenali satu sama lain dengan lebih baik dan bekerja sebagai satu pasukan bagi menjaga kepentingan penduduk di Kembangan.
Selain Encik Seah, AP lain yang berkhidmat di GRC tersebut adalah Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, Cik Tin Pei Ling, dan Cik Diana Pang.
Perkembangan baru ini berlaku lebih sebulan selepas Dr Faishal meletakkan jawatan politik, Parlimen dan PAP pada 20 Julai berhubung interaksi tidak wajar dengan seorang wanita.
Dr Faishal turut meninggalkan jawatannya sebagai penasihat bagi pertubuhan akar umbi di Kembangan, peranan yang biasanya disandang oleh AP PAP yang sedang berkhidmat.
Sejak peletakan jawatan Dr Faishal, empat AP GRC Marine Parade-Braddell Heights yang masih kekal telah membahagikan tanggungjawab bagi kawasan Kembangan dalam GRC tersebut sementara menantikan pelantikan penasihat akar umbi baharu.
Encik Seah memberitahu media pada awal Ogos bahawa ketiadaan penasihat akar umbi Melayu/Islam adalah sesuatu yang “tidak diingini” dan beliau berharap peranan itu dapat diisi.
Sebelum ini, pada 26 Julai, Encik Firdaus telah memuat naik satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa telah meluangkan masa di Kelab Masyarakat Mountbatten untuk berinteraksi dan berbual dengan pemimpin akar umbi Melayu dan bakal pemimpin dari seluruh negara.
Kelab Masyarakat itu terletak di Jalan Satu, sebahagian daripada SMC Mountbatten, namun ia dikendalikan oleh Majlis Bandaran Marine Parade-Braddell Heights.
Ketika ditanya BH pada ketika itu, Encik Firdaus berkata tumpuan beliau adalah kepada Punggol, sambil berkata tiada pengumuman dibuat untuk menandakan wakil baharu bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights, mahupun ada sebarang perancangan sedemikian.
