Sekilas COS 2026: Kementerian Undang-Undang
Reformasi Penguatkuasaan Sivil
Satu Rang Undang-Undang baharu diperkenalkan pada lewat 2026 bagi memudahkan proses penguatkuasaan sivil melalui tiga cara.
Pertama, ia akan memberikan mahkamah kuasa lebih besar untuk mengenal pasti aset dan sumber kewangan penghutang penghakiman.
Kedua, ia memperkenalkan kaedah penguatkuasaan baharu bagi menghalang dan menghukum ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah.
Ketiga, ia akan mewujudkan Pegawai Penguatkuasa Penghakiman Sivil yang baru – diselia oleh sebuah jabatan di bawah Kementerian Undang-Undang (MinLaw) – yang akan membantu pihak yang ingin menguatkuasakan penghakiman sivil mereka.
Sokong Pertumbuhan IP S’pura
Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME) dan Pertubuhan Hak Cipta Intelektual Sedunia (Wipo) akan memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) pada 5 Mac 2026 untuk menubuhkan Pusat Perniagaan IP Wipo @ ASME yang pertama berpangkalan di Asean.
Kerjasama itu akan memberikan lebih banyak SME akses kepada inisiatif seperti program Klinik Pengurusan IP (IPMC) Singapura, yang ditawarkan oleh Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura (IPOS) dengan kerjasama Wipo, untuk membangunkan strategi IP mereka dan pengembangan ke luar negara.
Pajakan hartanah pemerintah lebih lama
Hartanah pemerintah lazimnya disewakan untuk kegunaan sementara dengan tempoh pemegangan kurang 10 tahun.
Bagi menggalakkan inovasi yang lebih besar dalam mengoptimumkan penggunaan hartanah pemerintah, Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memajakkan hartanah pemerintah terpilih bagi tempoh pemegangan yang lebih lama, tertakluk kepada pertimbangan perancangan.

