Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeguam Lim Tean dikenakan 3 lagi tuduhan, termasuk halang perjalanan keadilan
Peguam Lim Tean dikenakan 3 lagi tuduhan, termasuk halang perjalanan keadilan
Peguam dan ahli politik pembangkang Lim Tean dikenakan tiga lagi tuduhan pada 9 Oktober.
Lelaki berusia 61 tahun itu didakwa gagal mengemukakan pasport yang sah kepada pegawai imigresen ketika meninggalkan Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada 4 Ogos.
Dia juga dituduh melakukan perbuatan yang boleh menghalang perjalanan keadilan kerana dia didakwa meninggalkan Singapura ke Malaysia secara tidak sah pada hari itu.
Lim didakwa berbuat demikian untuk mengelak menjalani hukuman penjara yang diperintahkan Mahkamah Rayuan bermula pada 3 Ogos.
Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa gagal mematuhi kewajipan menyerah diri di Mahkamah Negara pada hari itu untuk memulakan hukumannya.
Lim dijangka memulakan hukuman penjara setelah disabitkan kesalahan mengamalkan undang-undang tanpa sijil yang sah pada 3 Ogos. Waran tangkap dikeluarkan terhadapnya pada hari yang sama selepas dia tidak hadir ke mahkamah.
Pengasas parti pembangkang Suara Rakyat (PV) itu ditahan tiga hari kemudian di Johor Bahru oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan kemudian dihantar pulang ke Singapura pada 11 Ogos.
Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan Jabatan Ehwal Komersial (CAD) menahan Lim sebaik dia kembali dari Malaysia pada hari itu.
Dia didapati bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Kerjaya Guaman pada Julai 2024, dan dijatuhi hukuman penjara enam minggu serta denda $1,000 oleh seorang hakim daerah pada Februari 2025.
Lim menghadiri perbicaraan mahkamah dan mengemukakan dokumen sebanyak 32 kali antara April dengan Jun 2021 tanpa sijil amalan yang sah.
Dia kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukumannya.
Pihak pendakwa turut merayu, memohon hukuman lebih berat iaitu penjara antara lima hingga lapan bulan. Pada Februari 2026, hakim Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwa dan meningkatkan hukuman Lim kepada penjara tiga bulan satu minggu.
Peguam di Singapura mesti memohon sijil amalan mereka setiap tahun amalan, yang bermula 1 April hingga 31 Mac tahun berikutnya.
Lim gagal memohon sijil amalan menjelang 31 Mac 2021 kerana menghadapi masalah mendapatkan insurans indemniti profesional, yang menjadi syarat permohonan itu.
Pada 8 Ogos, dua rakyat Singapura yang didakwa membantunya meninggalkan Singapura dituduh di mahkamah.
Mohammad Adam Abd Karim, 45 tahun, dan Sulaiman Muhammad Firdaus, 38 tahun, masing-masing dikenakan satu tuduhan bersekongkol melakukan perbuatan yang dapat menghalang perjalanan keadilan.
Menurut kertas tuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa membuat rancangan supaya Lim meninggalkan Singapura pada 4 Ogos. Kes mereka belum selesai.
Pada April 2026, Lim turut didenda $30,000 dalam kes tatatertib berhubung cara dia mengendalikan sekeping cek bernilai $30,000 yang sepatutnya diberikan kepada kliennya.
Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) memohon agar namanya digugurkan daripada senarai peguam.
Lim masih menghadapi beberapa pertuduhan yang belum selesai bagi kesalahan seperti gangguan dan pecah amanah jenayah sebagai peguam.
Dia kini menjalani hukumannya dan persidangan pra-perbicaraannya dijadualkan pada 23 Oktober.