Hari pertama perbicaraan Ketua Pembangkang Pritam Singh bermula pada 14 Oktober, dengan mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, dipanggil oleh pihak pendakwa sebagai saksi pertama untuk memberi keterangan.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) itu bakal mempertikai dua tuduhan berhubung dakwaan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Encik Pritam, 48 tahun, difahamkan individu pertama didakwa di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa), atau PPIPA, sejak kemerdekaan Singapura.
COP bersidang selama tujuh hari antara 2 Disember 2021 dengan 22 Disember 2021 untuk menyiasat pembohongan Cik Raeesah.
Laporan COP dibahaskan di Parlimen pada 15 Februari 2022, iaitu apabila keputusan dibuat untuk merujuk Encik Pritam kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Dalam kenyataan pembukaannya, Timbalan Peguam Negara (DAG) Ang Cheng Hock berkata Encik Pritam telah memberi keterangan palsu kepada COP mengenai apa yang beliau mahu Cik Raeesah lakukan mengenai pembohongannya pada 3 Ogos 2021, apabila beliau membincangkan perkara itu dengan Cik Raeesah pada 8 Ogos dan 3 Oktober 2021.
Selain Cik Raeesah, pihak pendakwa akan memanggil mantan ketua WP, Encik Low Thia Khiang, sebagai saksi bagi kes tersebut.
Ketika di mahkamah, Cik Raeesah kelihatan gementar pada mulanya, tetapi kemudian menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sivakumar Ramasamy dengan mudah.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa ucapan yang dibuatnya di Parlimen pada 3 Ogos 2021 tidak selalu mengandungi anekdot palsu tentang mangsa rogol, tetapi beliau menambahnya ke dalam ucapannya beberapa hari sebelum itu.
Cik Raeesah berkata beliau menghantar kepada Encik Pritam draf ucapannya.
Menurutnya, Encik Pritam membulatkan sebahagian daripada anekdot tersebut dan menulis ‘substantiate’ atau ‘beri bukti’ sebelum mengembalikan ia kepadanya.
Namun, Encik Pritam tidak berbual dengan Cik Raeesah tentang draf tersebut.
Apabila ditanya DPP Ramasamy mengapa beliau tidak membuat perubahan kepada drafnya, Cik Raeesah berkata beliau “tidak memahami kepentingan tulisan Pritam”.
“Saya fikir jika ia sesuatu yang penting, beliau (Encik Pritam) akan duduk dan bercakap dengan saya tetapi beliau tidak, jadi saya tidak membuat sebarang perubahan,” ujar Cik Raeesah.
Cik Raeesah memberitahu mahkamah bahawa beliau berasa takut pembohongannya akan didedahkan.
Ini terutamanya kerana beliau perlu berkongsi tentang serangan seksualnya, yang beliau rahsiakan kecuali kepada suaminya dan ahli terapi.
Beliau turut mendedahkan pertemuannya dengan Encik Pritam; pengerusi WP, Cik Sylvia Lim; dan naib pengerusi WP, Encik Faisal Manap, pada 8 Ogos 2021.
Cik Raeesah berkata, pada pertemuan itu, Encik Pritam mengatakan “ini (pembohongan Cik Raeesah) adalah sesuatu yang kami semua perlu bawa ke kubur”.
Tambahnya, Cik Lim berkata isu itu mungkin tidak dibangkitkan lagi.
DAG Ang berkata: “Adalah jelas kepada Cik Raeesah ketika itu bahawa pemimpin partinya tidak mahu beliau membetulkan pembohongannya dan beliau boleh membiarkan perkara itu.”
Apabila mereka bertemu semula pada 3 Oktober 2021, Encik Pritam tidak memberitahu Cik Raeesah bahawa beliau harus memberitahu perkara sebenar jika isu itu dibincangkan di Parlimen pada hari berikutnya, tambah Encik Ang.
Bertentangan dengan apa yang beliau katakan kepada COP, Encik Pritam memberi Cik Raeesah gambaran bahawa beliau boleh memilih untuk meneruskan naratifnya dan beliau tidak akan membuat anggapan terhadapnya jika beliau berbuat demikian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg