Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peguam veteran dilantik Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung

Mar 12, 2025 | 6:56 PM
Encik Sushil Sukumaran Nair telah diiktiraf pada 2023 atas peranannya dalam merangka Rang Undang-Undang (Langkah Sementara) Covid-19.
Encik Sushil Sukumaran Nair telah diiktiraf pada 2023 atas peranannya dalam merangka Rang Undang-Undang (Langkah Sementara) Covid-19. - Foto PMO

Peguam veteran, Encik Sushil Sukumaran Nair, telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 12 Mac.

Encik Nair, yang telah menjadi peguam selama kira-kira 35 tahun, akan berkhidmat selama setahun mulai 1 April.

Pesuruhjaya Kehakiman mempunyai kuasa serupa seorang hakim dan dilantik untuk tempoh tertentu yang ditentukan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Encik Nair kini merupakan timbalan ketua eksekutif firma guaman Drew & Napier, lapor The Straits Times.

Beliau turut mengetuai bahagian penstrukturan semula korporat firma itu.

Beliau menyertai Drew & Napier selepas diterima masuk ke Guaman Singapura (Singapore Bar) pada 1990.

Kebanyakan kerja beliau di sana tertumpu kepada penyusunan semula, terutama di rantau Asia-Pasifik, khususnya di Indonesia dan China.

Kepakaran dan sumbangan Encik Nair telah diiktiraf secara umum.

Encik Nair juga telah memainkan peranan kepimpinan dalam ekosistem perundangan Singapura, setelah mempengerusikan jawatankuasa kecil sokongan Persatuan Guaman dan seterusnya jawatankuasa kecil ketakmampuan bayarnya.

Beliau adalah ahli lembaga Suruhanjaya Perakaunan Singapura.

Encik Nair kini merupakan ahli Jawatankuasa Semakan Undang-undang Ketakmampuan Bayar yang ditubuhkan oleh Menteri Undang-Undang, serta Jawatankuasa Amalan Ketakmampuan Bayar Persatuan Guaman Singapura, yang kedua-duanya melibatkan pembangunan undang-undang yang berkaitan dengan ketakmampuan bayar dan penstrukturan semula di Singapura.

Beliau juga merupakan felow Persatuan Pengamal Ketakmampuan Bayar Singapura dan menganggotai lembaga pengarahnya.

Encik Nair menerima Anugerah Rakan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 2022 atas peranannya dalam pasukan yang merundingkan pengambilalihan Hab Sukan Singapura oleh Majlis Sukan Singapura (SportSG).

Pada 2023, beliau dianugerahkan Bintang Perkhidmatan Awam Singapura (Covid-19) kerana mengkonsepsikan rangka kerja dan merangka Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara) Singapura.

Diluluskan oleh Parlimen pada April 2020, Rang Undang-Undang itu penting dalam pengurusan kesan Covid-19 ke atas rakyat Singapura.

Encik Nair juga menerima Anugerah Rakan Kongsi Undang-Undang Terbaik Tahunan Kementerian Undang-Undang untuk kerja itu.

Dengan pelantikan itu, Mahkamah Agung akan mempunyai seramai 35 hakim – termasuk Ketua Hakim, tiga Hakim Mahkamah Rayuan, empat Hakim Bahagian Rayuan, 17 Hakim Mahkamah Tinggi, lima Pesuruhjaya Kehakiman dan lima hakim kanan, serta 24 hakim antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg