Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pejabat Perdagangan S’pura: Tiada warga S’pura terjejas dalam serangan pisau Taipei

Dec 20, 2025 | 3:41 PM
Tiga orang terbunuh dan 11 cedera apabila seorang penyerang bersenjatakan pisau bertindak ganas di Taipei Tengah pada 19 Disember.
Tiga orang terbunuh dan 11 cedera apabila seorang penyerang bersenjatakan pisau bertindak ganas di Taipei Tengah pada 19 Disember. - Foto EPA

Tiada laporan mengenai rakyat Singapura yang terjejas dalam serangan pisau di Taipei pada 19 Disember, menurut Pejabat Perdagangan Singapura di Taipei.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 20 Disember, pejabat itu menambah bahawa ia sedang berhubung dengan penguasa setempat.

“Pejabat Perdagangan Singapura di Taipei sedang berhubungan dengan pihak berkuasa setempat. Pada masa ini tiada laporan warga Singapura terjejas akibat insiden itu,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu Pejabat Perdagangan Singapura di Taipei turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, serta berharap agar mereka yang cedera segera pulih.

Dalam insiden itu, seorang suspek berusia 27 tahun melepaskan bom asap di stesen kereta api bawah tanah utama Taipei pada waktu sibuk petang 19 Disember sebelum melancarkan serangan bersenjata, menurut pihak berkuasa.

Tiga orang terbunuh di dalam serangan yang meliputi stesen keretapi utama, kawasan membeli-belah bawah tanah, dan di satu perhentian stesen kereta api bawah tanah lain.

Manakala sekurang-kurangnya 11 mangsa lagi cedera, menurut jumlah terkini daripada polis pada 20 Disember.

Suspek tersebut, yang dikehendaki polis kerana mengelak daripada perkhidmatan ketenteraan, dipercayai maut akibat bunuh diri selepas serangan itu, menurut Mayor Taipei, Encik Chiang Wan-an pada taklimat malam 19 Disember.

Para pegawai menggelar perbuatan itu sebagai “tindakan sengaja”, namun berkata motifnya tidak dapat dikenal pasti dengan segera.

Rakyat Singapura yang berada di Taiwan atau sedang dalam perjalanan ke sana diingatkan supaya berwaspada, memantau perkembangan di destinasi yang dituju melalui berita tempatan, dan mematuhi arahan penguasa setempat, tambah Pejabat Perdangan Singapura di Taipei.

Rakyat Singapura juga digalakkan untuk mendaftar dalam talian dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) di https://eregister.mfa.gov.sg, serta mendapatkan insurans perjalanan menyeluruh sekiranya belum berbuat demikian.

Rakyat Singapura di Taiwan yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pejabat Perdagangan Singapura di Taipei, atau Pejabat Bertugas MFA yang beroperasi 24 jam:

Pejabat Perdagangan Singapura di Taipei

  1. Alamat: Tingkat 9, No. 85. Jen Ai Road, Seksyen 4, Taipei 106, Taiwan
  2. Nombor Telefon: +886 2 2772 1940
  3. Talian Kecemasan: +886 953 532 638
  4. Emel: singtr_tpe@mfa.sg

Pejabat Bertugas MFA

  1. Nombor Telefon: +65 6379 8800 / 8855 (talian 24 jam)
  2. Emel: mfa_duty_officer@mfa.gov.sg

Sementara itu, Presiden Taiwan, Encik Lai Ching-te, berikrar akan melaksanakan siasatan awam menyeluruh berhubung insiden serangan maut tersebut ketika beliau melawat mangsa di hospital, pada 20 Disember.

Sewaktu lawatan tersebut, beliau menzahirkan rasa simpati serta memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa yang terkorban dalam serangan ganas yang mengerikan malam tadi, selain menzahirkan simpati kepada ahli keluarga mereka,” katanya ketika ditemui di salah sebuah hospital.

Satu arahan telah dikeluarkan bagi menjalankan “siasatan menyeluruh dan terperinci” bagi “memberi penjelasan sebenar kepada orang awam”, tambah Encik Lai.

Jenayah ganas jarang berlaku di Taiwan. 

Kali terakhir insiden serupa dilaporkan adalah pada 2014, membabitkan seorang lelaki yang menyerang penumpang metro menggunakan senjata sehingga mengorbankan empat nyawa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg