Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pejuang barah belia kini beri sokongan rakan sebaya

Mar 2, 2025 | 5:07 PM
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, berinteraksi dengan pejuang barah limfoma Hodgkin dan Pemimpin Penjagaan di Persatuan Pencegahan Barah 365 (365CPS), Cik Faridah Ahmad, semasa satu acara anjuran 365CPS di Our Tampines Hub pada 2 Mac.
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, berinteraksi dengan pejuang barah limfoma Hodgkin dan Pemimpin Penjagaan di Persatuan Pencegahan Barah 365 (365CPS), Cik Faridah Ahmad, semasa satu acara anjuran 365CPS di Our Tampines Hub pada 2 Mac. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Semasa usianya 17 tahun, Cik Faridah Ahmad menghidap barah limfoma Hodgkin tahap dua.

Semasa menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi, Cik Faridah, kini 28 tahun, bergelut dengan kesepian apabila kebanyakan rakannya menjauhkan diri daripadanya dan kumpulan sokongan sosial yang disertainya tidak memberi keselesaan yang diharapkan.

“Sudah beberapa kali rasa terasing itu timbul, dan saya sering menangis dalam bilik seorang diri terutama selepas sesi kemoterapi. Tiada siapa ada di sisi saya kerana rakan-rakan tidak faham apa yang saya lalui.

“Ibu bapa saya cuba beri sokongan, tapi mereka tidak begitu faham apa yang saya alami,” kongsi Cik Faridah.

Dikelilingi pesakit yang kebanyakannya lebih tua pada ketika itu, beliau sering kurang rasa selesa dalam kumpulan sokongan sosial tersebut dan inginkan rakan sebaya yang dapat memahami nasibnya.

“Ketika itu, tidak ada banyak kumpulan sokongan untuk golongan muda. Saya cuba sertai, tetapi semuanya terdiri daripada golongan lebih berumur.

“Apabila saya pergi ke kumpulan sokongan itu, mereka sering mengatakan limfoma ini penyakit orang tua, biasanya lebih 40 tahun. Justeru, saya rasa sangat kekok dan berhenti pergi kerana banyak kali saya terfikir ‘Kenapa saya? Kenapa saya?’,” tambah beliau lagi.

Rasa terasing itu menimbulkan kesedaran dalam dirinya tentang pentingnya sokongan emosi bagi pesakit barah muda.

Ini mendorong lulusan ijazah psikologi daripada Universiti Murdoch di Kaplan Singapore itu untuk bekerja sepenuh masa sebagai seorang Pemimpin Penjagaan (Care Leader) di Persatuan Pencegahan Barah 365 (365CPS).

Kini Cik Faridah menyalurkan pengalaman masa lalunya bagi membantu pesakit lain yang gigih berjuang menentang barah.

Anak bongsu keluarga tiga beradik itu baru-baru ini menyertai acara Bloom with Hope: Hope with Every Step (Mekar dengan Harapan: Harapan di Setiap Langkah) anjuran 365CPS di Our Tampines Hub pada 2 Mac yang menarik lebih 2,500 pengunjung – tahun ketiga acara itu dianjurkan.

Dalam acara tersebut, perjuangan Cik Faridah dikongsi pada ‘tembok cerita’, yang turut memaparkan pengalaman para pesakit barah lain.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, yang hadir di acara itu selaku tetamu terhormat, menekankan peri penting sokongan masyarakat yang kukuh dalam usaha menangani barah.

“Penyertaan anda menunjukkan kepada pejuang barah kita bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjuangan ini. Sokongan anda memberikan harapan kepada semua,” ujar Dr Koh, yang juga Penaung Kehormat 365CPS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg