Pekerja yang mahu mengambil cuti ibu bapa mulai 1 April 2025 akan perlu memberi notis minimum empat minggu supaya tempat kerja mereka dapat membuat penyesuaian kepada operasi semasa ketiadaan mereka.
Ini berikutan peningkatan yang dibuat kepada cuti ibu bapa mulai tarikh tersebut bagi membolehkan pekerja menjaga dan meluangkan masa dengan anak mereka yang baru lahir.
Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dalam kenyataannya berkata pemerintah akan memperkenalkan tempoh notis baru itu untuk pekerja yang mahu mengambil cuti ibu bapa seperti Cuti Bersalin Bergaji yang dibayar Pemerintah (GPML), Cuti Paterniti yang Dibayar Pemerintah (GPPL) dan Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL).
“Dengan peningkatan cuti ibu bapa yang dibuat, ibu bapa mungkin tidak dapat ke tempat kerja buat tempoh masa yang panjang. Bagi membantu majikan menyesuaikan operasi mereka dengan lebih baik, pemerintah akan memperkenalkan tempoh notis minimum baru selama empat minggu yang pekerja perlu beri sebelum mengambil cuti di bawah sebarang skim cuti ibu bapa,” kata NPTD.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) mengumumkan bahawa ibu bapa akan mempunyai sejumlah 30 minggu cuti bergaji untuk diluangkan bersama bayi mereka apabila SPL baru dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 April 2026.
Ini termasuk GPPL mandatori selama empat minggu yang boleh diambil kaum bapa mulai 1 April 2025.
Skim SPL baru pula terdiri daripada 10 minggu cuti ibu bapa berbayar untuk dikongsi antara kedua-dua ibu dan bapa.
Skim itu akan dilaksanakan dalam dua fasa mulai 1 April 2025 bagi menangani kesan tenaga kerja ke atas majikan dan memberi mereka masa untuk membuat penyesuaian kepada operasi dan tenaga kerja mereka, kata NPTD.
Berhubung skim SPL baru itu, NPTD berkata sebarang perubahan kepada pembahagian cuti perlu dibuat dalam masa empat minggu selepas kelahiran bayi.
Sebarang perubahan selepas itu tertakluk kepada persetujuan majikan.
Ini bagi memberi majikan notis awal tentang rancangan cuti pekerja mereka bagi memudahkan pencarian pekerja pengganti.
NPTD juga berkata majikan boleh menggunakan geran dan sumber sedia ada untuk mengukuhkan keupayaan perancangan tenaga kerja dan sumber manusia serta menyokong penyesuaian sistem dan operasi.
“Pemerintah akan terus bekerjasama dengan Rakan Kongsi Tiga Pihak untuk menyokong majikan dalam melaksanakan peningkatan cuti ibu bapa itu,” kata NPTD.
Sementara itu, Encik Wong dalam ucapannya berkata pemerintah akan memperkenalkan skim baru untuk keluarga besar.
Ini termasuk lebih sokongan untuk pasangan yang mempertimbangkan mempunyai anak ketiga, dan lebih banyak bantuan kepada ibu bapa yang sudah pun mempunyai tiga atau lebih anak kecil.
Butiran skim itu akan dikongsi dalam Belanjawan 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg