Sebilangan pekerja di Singapura, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, keberatan untuk beralih ke industri atau pekerjaan baru meskipun terdapat peluang meraih pendapatan lebih tinggi atau prospek kerjaya lebih baik.
Demikian menurut Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Fahmi Aliman, yang juga Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Beliau turut menarik perhatian ramai pekerja menghargai kestabilan kerja daripada mengambil risiko perubahan persekitaran kerja.
Namun, perangkaan terbaru Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan hampir enam dalam 10 pekerja setempat berusia 25 tahun hingga 64 tahun yang beralih industri meraih kenaikan gaji sebenar sekurang-sekurangnya 5 peratus.
Ini sedang mereka mendapat kerja dalam jawatan berkemahiran lebih tinggi dalam sektor lebih produktif seperti perkhidmatan kewangan dan insurans, informasi dan perhubungan serta perkhidmatan profesional menurut laporan MOM yang dikeluarkan 28 November.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) tentang kemungkinan sebab di sebalik keraguan sesetengah pekerja untuk bertukar kerja atau industri meskipun dengan kemungkinan gaji lebih tinggi, Encik Fahmi berkata:
“Ada sesetengah pekerja risau tentang kestabilan jangka panjang industri tertentu, terutamanya dalam sektor yang sedang berkembang.
“Terdapat kekurangan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai perubahan pantas dalam pasaran kerja, seperti kebangkitan dalam bidang automasi dan permintaan yang meningkat terhadap kemahiran digital.”
Selain itu, beliau berkata sesetengah pekerja mungkin tidak tahu tentang pelbagai skim pemerintah, program latihan dan sokongan kewangan yang tersedia untuk membantu mereka meningkatkan kemahiran dan mencari peluang pekerjaan baru.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi, Fakulti Sastera & Sains Sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr EeCheng Ong, berkata terdapat risiko besar untuk beralih industri.
“Setiap pekerjaan dalam setiap industri mempunyai kebaikan dan keburukan. Kami mengambil berat tentang sifat kerja, fleksibiliti, rakan sekerja, bos, gaji dan lain lagi.
“Oleh itu, sesetengah pekerja mungkin memutuskan untuk tidak mengambil risiko (beralih industri) kerana mereka selesa dalam pekerjaan dan industri semasa mereka,” ujar Dr Ong.
Untuk menangani cabaran ini, pasukan Bidang Tumpuan Empat (FA4) M Kuasa Tiga (M³) bekerjasama dengan pemimpin kesatuan Melayu/Islam untuk berkongsi maklumat mengenai skim tersedia bagi peningkatan kemahiran dan mempromosikan kursus untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran dan bantuan diperlukan.
Encik Fahmi, yang juga peneraju FA4, berkata: “Matlamat kami adalah memberi semangat kepada pencari kerja untuk mengambil langkah pertama serta mewujudkan unsur sokongan bagi pekerja berkembang maju dalam landskap pekerjaan yang sentiasa berkembang.”
Sejak dilancarkan pada Oktober 2020, FA4 bekerjasama dengan pertubuhan seperti NTUC, NTUC LearningHub, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Yayasan Mendaki, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), SkillsFuture Singapura (SSG), Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), untuk menawarkan kursus bersubsidi, bimbingan kerjaya, perkhidmatan pemadanan pekerjaan dan program jangkauan masyarakat.
Bagi pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran mereka tetapi menghadapi kekangan masa atau kos, Encik Fahmi berkata NTUC menawarkan pelbagai sokongan untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses.
Ini termasuk aplikasi mudah alih Learning eXperience Platform (LXP) NTUC LearningHub yang menawarkan pembelajaran yang diperibadikan untuk memudahkan pekerja menjalani latihan sendiri.
“Ahli kesatuan boleh memanfaatkan Program Bantuan Latihan Kesatuan (UTAP) untuk membiayai kos langganan LXP, serta baki kos kursus selepas subsidi yuran, menjadikan peningkatan kemahiran lebih berpatutan dan mudah diakses,” tambah Encik Fahmi.
Selain itu, warga Singapura berusia 40 tahun ke atas boleh menggunakan kredit pertengahan kerjaya SkillsFuture untuk mengimbangi yuran kursus bagi program tertentu yang meningkatkan kebolehpasaran, manakala Subsidi Dipertingkatkan Pertengahan Kerjaya (MCES) boleh menampung sehingga 90 peratus daripada yuran untuk kursus yang layak.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat NTUC, Encik Sazali Zainal, daya usaha #EveryWorkerMatters Conversations (EWMC) NTUC menunjukkan hampir tiga perempat pekerja bersetuju bahawa kursus latihan adalah bermakna.
Namun, antara faktor yang melarang mereka daripada menjalani latihan ialah – kekurangan sumber kewangan, kekangan masa, kurang memahami jenis latihan mereka perlukan untuk kekal relevan serta tidak mendapat sokongan cukup dari majikan.
“Di samping itu, kami mendapati bahawa kadar penyertaan latihan pekerja menurun dengan usia. Dalam tinjauan #EWMC, kami mendapati kebanyakan (92 peratus) pekerja yang berumur 55 tahun ke atas berminat menghadiri latihan, jika peluang disediakan oleh syarikat.
“Namun, 63 peratus daripada mereka berasa mereka mempunyai peluang latihan yang lebih rendah berbanding pekerja yang lebih muda dalam syarikat,” dedah Encik Sazali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg