Pusat sehenti kerjaya dibentuk hasil gabungan WSG, SkillsFuture, sebagai badan berkanun baru
Pusat sehenti kerjaya dibentuk hasil gabungan WSG, SkillsFuture, sebagai badan berkanun baru
Satu badan berkanun baru akan diwujudkan hasil gabungan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura (SSG), umum Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Menurutnya, gabungan itu adalah susulan saranan yang dibuat jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) baru-baru ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 12 Februari, beliau menjelaskan saranan itu menekankan keperluan, antara lain, untuk menyelaraskan urusan pekerjaan dan kemahiran bagi rakyat Singapura dengan lebih cekap.
Badan berkanun baru itu akan berada di bawah tadbir urus bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Maklumat lanjut akan diumum dalam Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS), katanya.
“Sejak sekian lama, kami (pihak pemerintah) berusaha untuk memperkukuhkan penyelarasan antara kedua-dua agensi ini (WSG dan SSG).
“Namun dalam era perubahan pesat teknologi dan peralihan pekerjaan yang lebih kerap, penjajaran lebih kukuh diperlukan, dan sistem ini mesti berfungsi bersama secara lancar.
“Kami telah mempertimbangkan saranan (jawatankuasa ESR) dengan teliti dan akan mengambil langkah jitu, memandang ke hadapan,” ujar Encik Wong.
Ketika ini, WSG merupakan badan berkanun di bawah MOM manakala SSG di bawah MOE.
Matlamat WSG adalah membantu individu mencari pekerjaan di pelbagai peringkat kerjaya, selain menyokong perniagaan dalam transformasi, penstrukturan semula, dan membina tenaga kerja yang berdaya saing serta bersedia menghadapi masa depan.
Sementara itu, SSG memberi tumpuan pada pembelajaran sepanjang hayat, menggalakkan penguasaan kemahiran, dan membantu individu serta perusahaan kekal relevan dalam ekonomi yang pesat dan berdaya saing.
Dengan penggabungan tersebut, badan baru itu akan menjadi “pusat sehenti untuk latihan kemahiran, bimbingan kerjaya, dan perkhidmatan padanan kerja, baik untuk pekerja mahupun pencari kerja”.
“Ini bermakna sokongan menjadi lebih lancar.
“Tidak kira perancangan kerjaya hinggalah pemerolehan kemahiran dan pemadanan serta peralihan kerja bagi majikan, sokongan adalah lebih bersepadu meliputi perancangan tenaga kerja, rekaan semula pekerjaan, pengambilan pekerja dan pembangunan tenaga kerja,” ujar Encik Wong.
Beliau turut memberi penekanan terhadap usaha menyokong dan menyemai sifat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat di sini dan menukil sambutan hebat warga Singapura yang menyertai latihan yang disokong SkillsFuture – sama ada melalui Institut Pengajian Tinggi mahupun penyedia latihan swasta.
“Semua universiti berautonomi, politeknik, dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) kita telah menerapkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai sebahagian daripada misi mereka.
“Sebagai contoh, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) – dua universiti terbesar di sini – telah menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai bahagian utama dalam cara mereka mengatur pengajaran dan pembelajaran.
“Kedua-dua universiti ini menawarkan laluan fleksibel bagi bekas pelajar dan pelajar dewasa mengambil kursus bermodul, mengumpul kredit yang boleh digabungkan dan menggabungkannya secara berperingkat untuk membentuk kelayakan yang diiktiraf,” kata beliau.

