Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja jagaan kesihatan awam yang didapati guna, miliki vape boleh dipecat

Sep 4, 2025 | 5:31 PM
Pekerja jagaan kesihatan awam, vape, boleh dibuang kerja
SingHealth, NHG Health dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) berkata mereka mengambil pendirian tegas terhadap kakitangan yang menggunakan vape dan akan melaksanakan tindakan tatatertib. - Foto fail

Kakitangan di tiga kelompok penjagaan kesihatan awam di Singapura yang didapati menggunakan atau memiliki vape boleh dibuang kerja.

SingHealth, NHG Health dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) berkata mereka mengambil pendirian tegas terhadap kakitangan yang menggunakan vape dan akan melaksanakan tindakan disiplin.

Tindakan itu termasuk mengeluarkan amaran bertulis rasmi bagi kakitangan yang didapati memiliki atau menggunakan vape buat kali pertama, sehingga pemecatan bagi pesalah berulang atau mereka yang didapati memiliki vape mengandungi dadah.

Pemerintah sebelum ini mengumumkan bahawa ia akan mengambil pendirian lebih tegas terhadap penggunaan vape, dengan langkah-langkah lebih ketat berkuat kuasa mulai 1 September.

Ini termasuk denda lebih besar bagi pengguna dan hukuman lebih berat bagi pembekal.

Sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST), ketiga-tiga kelompok penjagaan kesihatan itu, yang mengendalikan hospital awam, poliklinik dan pusat pakar nasional, berkata mereka sedang menyelaras dasar sumber manusia (HR) mereka dengan pendirian pemerintah.

NUHS berkata ia telah menyemak dasar dan garis panduan, dan sedang memaklumkan perkara tersebut kepada kakitangan melalui e-mel, poster fizikal dan digital, serta peringatan secara langsung dalam mesyuarat.

Kakitangan NUHS yang didapati memiliki vape atau menggunakan vape akan diberi kaunseling dan amaran bertulis. 

Pesalah berulang, serta mereka yang didapati memiliki vape mengandungi dadah, terlibat dalam pengedaran, penyeludupan atau pembekalan vape, berdepan pemecatan. 

Semua kes juga akan dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“Memandangkan risiko kesihatan yang ketara berkaitan penggunaan vape, kakitangan kami seharusnya memenuhi piawaian kesihatan dan kesejahteraan tertinggi. 

“Pendekatan disiplin kami mencerminkan piawaian profesional yang tinggi bagi kakitangan penjagaan kesihatan, sambil menyediakan langkah sokongan untuk pemulihan,” kata jurucakap NUHS.

Di SingHealth, kakitangan yang didapati menggunakan atau memiliki vape akan berdepan tindakan disiplin serupa, selain dilaporkan kepada pihak berkuasa. 

Ketua Pegawai HR Kumpulan SingHealth, Cik Esther Tan, berkata kakitangan juga digalakkan melaporkan sebarang aktiviti berkaitan vape di tempat kerja.

Sementara itu, jurucakap NHG Health memaklumkan bahawa dasar HR kumpulan itu sedang dikemas kini untuk mencerminkan tindakan disiplin terhadap kakitangan yang didapati menggunakan atau memiliki vape.

Kakitangan NHG Health turut diingatkan bahawa kesalahan itu menyalahi undang-undang dan membawa hukuman berat, dengan poster serta video untuk menggalakkan mereka menjauhi vape turut dipaparkan di institusi-institusi di bawah kumpulan tersebut. 

Selain itu, NHG Health menyediakan sokongan kepada kakitangan yang ingin berhenti daripada tabiat tersebut, termasuk kaunseling, khidmat berhenti merokok dan terapi penggantian nikotin di hospital-hospitalnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg