Seorang pekerja cedera selepas terjatuh dari ketinggian sekitar sembilan meter di tapak pembinaan di Jurong West pada awal pagi 4 Disember.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 3.45 pagi di tapak pembinaan berhampiran Blok 737, Jurong West Street 75, lapor The Straits Times.
Sebagai respons kepada pertanyaan, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata pekerja tersebut terjatuh dari ketinggian sekitar sembilan meter, atau setinggi dua tingkat, ketika bekerja di atas platform besi sebagai sebahagian daripada kerja pembinaan Laluan Daerah Jurong (JRL).
Pekerja itu dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan sedang dirawat, menurut SCDF dan LTA.
Kerja di tapak pembinaan telah dihentikan sementara bagi membolehkan proses keselamatan ditinjau dan diperkukuhkan, kata LTA, sambil menambah mereka juga sedang membantu Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Pihak berkuasa bekerjasama dengan kontraktor utama, China Railway 11 Bureau Group Corporation, untuk memberikan bantuan kepada pekerja yang cedera.
Dalam laporan tahunan keselamatan dan kesihatan tempat kerjanya pada awal 2024, MOM melaporkan sebanyak 590 kecederaan utama pada 2023 – turun sedikit daripada 614 pada 2022.
Kecederaan utama merujuk kepada kecederaan teruk yang tidak membawa maut, seperti amputasi, buta dan patah tulang.
Jatuh dari ketinggian adalah antara penyebab utama nahas, yang mengakibatkan lapan kematian dan 67 kes kecederaan utama di tempat kerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg