Seorang pekerja Malaysia yang mengalami kecederaan serius di kepala dalam kemalangan tempat kerja di Singapura akhirnya menerima pampasan yang sewajarnya.
Selepas proses undang-undang yang panjang, Mahkamah Negara Singapura membuat keputusan memihak kepada Encik Azmi Muda, 41 tahun, dan mengarahkan majikan beliau, Hiap Tong Crane & Transport, supaya membayar pampasan berjumlah $220,000.
Mahkamah menolak tawaran penyelesaian awal $1,300 oleh majikannya sebagai tidak mencukupi.
Beliau mula bekerja sebagai pengimpal di syarikat tersebut pada April 12 2018.
Menurut laporan The Straits Times pada 5 Januari 2023, mahkamah mendapati bahawa $1,300 yang dibayar kepada Encik Azmi untuk menandatangani pengesahan tidak berfungsi sebagai balasan bagi perjanjian dengan syarikat itu dan menganggap pengesahan tersebut tiada kesan kontrak.
Pengimpal kelahiran Terengganu itu mengalami beberapa keretakan pada bahagian tengkorak dan muka apabila terkena besi bengkok yang terlepas daripada mesin tekan kuasa yang sedang digunakannya untuk meratakan besi itu dalam kejadian yang berlaku pada 16 April 2018.
Beliau dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) untuk rawatan dan berada di sana sekitar dua minggu.
Beliau berusia 35 tahun ketika kejadian itu berlaku.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) dari Pusat Bantuan Kemalangan Singapura (SAHC) Johor melalui panggilan video pada 26 September 2024, Encik Azmi memberitahu bahawa kemalangan tersebut telah membuatkan beliau hilang upaya kekal seperti daya ingatan dan fungsi kognitif yang berkurangan.
“Doktor mengesahkan banyak urat halus di kepala dan mata saya putus. Deria rasa dan bau saya juga terjejas,” katanya.
Semenjak kemalangan itu, Encik Azmi tidak boleh melakukan kerja berat dan terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit.
Beliau, yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), mengakui kesukaran untuk menjalani rutin harian.
Apabila dihubungi BH melalui dalam talian, peguam Encik Azmi, Encik N Srinivasan dari HOH Law Corporation, menjelaskan bahawa pampasan sejumlah $220,000 itu ditentukan berdasarkan “ganti rugi bagi kehilangan pendapatan, kos perubatan dan kesakitan serta penderitaan, antara lain”.
“Pampasan itu juga mengambil kira gaji beliau ketika itu. Beliau baru sahaja mula bekerja di Singapura untuk empat hari dengan syarikat itu dan gajinya hanya $1,300.
“Ini berbanding dengan gaji beliau semasa bekerja di Pasir Gudang, iaitu sekitar RM1,000 ($310.64) hingga RM2,500 dan ia lebih rendah.
“Oleh itu, kita cuba memaksimumkan tuntutan pampasan itu atas dasar kesukaran beliau untuk kembali bekerja sebagai seorang pengimpal dan mengambil kira gajinya yang rendah,” kongsi Encik Srinivasan, yang juga mengatakan bahawa 15 peratus kesalahan dalam kemalangan itu disebabkan oleh Encik Azmi, seperti yang dinyatakan oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Encik Azmi berkongsi bahawa isterinya, Cik Nur Hafizal Said, 36 tahun, terpaksa menjual barang kemas dan mereka bergantung kepada pinjaman daripada keluarga dan rakan-rakan untuk menyara hidup dan membesarkan empat anak lelaki mereka.
“Keluarga dan isteri saya amat membantu. Abang, kakak dan rakan-rakan meminjamkan saya RM50,000 untuk membayar yuran sekolah anak serta bil. Isteri saya juga membuat pinjaman RM15,000 daripada Amanah Ikhtiar untuk perbelanjaan harian dan melunaskan hutang,” katanya.
Amanah Ikhtiar merupakan pertubuhan yang menyediakan khidmat kewangan bagi golongan kurang berkemampuan di Malaysia.
Selain itu, SAHC Johor telah membantu beliau dengan sumbangan sejumlah RM17,000, diberikan dalam dua fasa – RM10,000 pada 30 November 2022; dan RM7,000 pada 26 September.
Encik Azmi, yang menerima elaun RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), berharap pampasan $220,000 ini dapat membantunya membuka kedai runcit bersama isteri untuk masa depan yang lebih baik.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki ini. Saya ingin lunaskan hutang dahulu dan kalau boleh, mahu buka kedai runcit bersama isteri saya nanti,” ujarnya.
Beliau menasihati pekerja Malaysia agar memastikan mereka mempunyai permit kerja sebelum menerima pekerjaan di Singapura, supaya pengalaman buruknya tidak berulang kepada orang lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg