Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja pembersihan jumpa lebih 100 vape tersembunyi di Tampines

Nov 12, 2025 | 6:33 PM
vape, tampines, pekerja pembersihan
Vape tersebut ditemui di dalam sebuah beg troli dan beg plastik di Blok 494D, Tampines Street 43. - Foto SHIN MIN

Lebih 100 rokok elektronik (e-rokok) atau vape telah dijumpai oleh seorang pekerja pembersihan di dalam ruang salur penaik elektrik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Tampines pada 11 November.

Vape tersebut ditemui di dalam sebuah beg troli dan beg plastik di Blok 494D, Tampines Street 43.

Pekerja pembersihan yang tidak dikenali itu menemui vape tersebut semasa membersihkan kawasan tersebut.

Beliau memberitahu vendor akhbar, Encik Huang Yong Cai, mengenai penemuannya sekitar 5 pagi, lapor Shin Min Daily News.

Encik Huang, 70 tahun, kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada polis sebelum memeriksa ruang salur penaik elektrik, tempat vape tersebut disembunyikan.

“Saya kemudian meletakkan barang (vape) tersebut dalam bakul basikal saya, membawanya ke gerai surat khabar saya dan terus memaklumkan polis,” kata Encik Huang.

Beg troli itu mengandungi lapan kotak besar.

Setiap satu kotak itu mengandungi 10 e-rokok.

Lagi dua kotak besar di dalam beg plastik tersebut, katanya.

Beg troli yang dijumpai di salur penaik elektrik mengandungi lapan kotak besar dengan setiap satu kotak tersimpan 10 e-rokok. Lagi dua kotak besar di dalam beg plastik tersebut.
Beg troli yang dijumpai di salur penaik elektrik mengandungi lapan kotak besar dengan setiap satu kotak tersimpan 10 e-rokok. Lagi dua kotak besar di dalam beg plastik tersebut. - Foto PEMBACA SHIN MIN

Polis tiba sekitar 9 pagi dan mengambil vape tersebut, kata Encik Huang.

Ini bukan kali pertama pekerja pembersihan itu menemui vape di kawasan tersebut.

Shin Min melaporkan bahawa pekerja pembersihan itu sebelum ini pernah menemui beg berisi vape semasa bertugas dan terus membuangnya.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata mereka sedang mengikuti perkembangan kes ini dengan pihak polis.

Singapura kini menganggap penggunaan vape sebagai isu dadah, dengan langkah lebih ketat dilaksanakan bermula 1 September, termasuk denda lebih tinggi bagi pesalah dan hukuman lebih berat bagi pembekal.

Dari September hingga 2 November, lebih 1,900 orang telah ditangkap kerana kesalahan berkaitan penggunaan vape.

Antara mereka, 167 orang ditemui dengan vape yang mengandungi etomidate, sejenis dadah berbahaya, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA dalam satu kenyataan bersama pada 7 November.

Pihak berkuasa berkata laporan daripada orang awam adalah penyumbang utama dalam usaha mereka memerangi penggunaan vape.

Semasa operasi sembilan minggu yang dijalankan dari September hingga November, lebih 2,600 kes vape dilaporkan orang awam melalui borang dalam talian dan talian hotline HSA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg