Undang-undang baru yang memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya sebagaimana yang dinikmati pekerja biasa hari ini telah diluluskan di Parlimen pada 10 September.
Rang Undang-Undang Pekerja Platform itu – dibahaskan sepanjang dua hari di Parlimen – mencakupi empat perkara utama, termasuk memastikan pekerja platform mempunyai simpanan yang mencukupi bagi perumahan dan persaraan melalui caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan mendapat pampasan kewangan sekiranya mengalami kecederaan semasa bekerja.
Ini selain menyediakan skop entiti, termasuk syarikat dan pekerja yang diliputi di bawah undang-undang, dan rangka kerja undang-undang bagi perwakilan, di mana Persatuan Pekerja Platform (PWA) boleh dibentuk untuk mewakili golongan pekerja itu dalam rundingan bersama syarikat platform.
Perlindungan dipertingkat buat pekerja platform itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Singapura merupakan antara negara pertama di dunia yang menyediakan perlindungan berkanun buat pekerja platform sebagai kumpulan pekerja yang berbeza daripada pekerja biasa dan individu yang bekerja sendiri.
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, dalam ucapan penutup di Parlimen pada 10 September, berkata undang-undang perlindungan bagi pekerja platform itu dapat dibentangkan hasil kerjasama tiga pihak antara kesatuan, majikan dengan pemerintah. Ini di samping kerja keras kumpulan penjawat awam di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan sokongan rakyat Singapura yang mahu memastikan kebajikan pekerja platform terjaga.
“Perkara utama adalah: Rang undang-undang yang kami gubal hari ini adalah pengisytiharan kompak sosial kita, mengiktiraf bahawa ‘Setiap Pekerja Penting’, bahawa pekerja platform juga berhak dilayani secara adil dan saksama,” kata beliau.
Seramai 26 Anggota Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan rang itu selama dua hari di Parlimen.
Rang itu disokong kedua-dua parti pemerintah dan parti pembangkang.
Beberapa AP, termasuk Ketua Pembangkang Encik Pritam Singh (Aljunied), Cik Yeo Wan Ling (Pasir Ris-Punggol) dan Cik Mariam Jaafar (Sembawang), telah melahirkan keprihatinan tentang sama ada kos perlindungan bagi pekerja platform itu akan dipindahkan kepada pekerja platform dan pelanggan.
Dr Koh berkata persatuan kerja platform akan memainkan peranan penting dalam mewakili kepentingan pekerja platform, dan pekerja mempunyai pilihan menukar platform jika mereka rasa kos telah dipindahkan kepada mereka secara tidak adil.
Pemerintah juga sedang bekerja rapat dengan syarikat yang telah tampil mendapatkan nasihat tentang cara melaksanakan rejim caruman CPF dan pampasan kecederaan semasa bekerja untuk pekerja, tambah beliau.
Dr Koh, antara lain, turut menjawab keprihatinan tentang kesan ke atas gaji yang dibawa pulang pekerja menyusuli pelaksanaan caruman CPF, sambil berkata pekerja akan menyaksikan kenaikan dalam pendapatan keseluruhan selepas mengambil kira sumbangan CPF oleh syarikat platform.
Di samping itu, pemerintah akan membiayai sepenuhnya caruman tambahan yang perlu dibuat pekerja platform bergaji rendah dalam tahun pertama apabila langkah caruman CPF itu dilaksanakan pada 2025 di bawah satu skim sokongan peralihan dipertingkat.
Setelah tahun pertama, sokongan itu akan dikurangkan sepanjang tempoh tiga tahun – 75 peratus kadar kenaikan pada 2026; 50 peratus pada 2027; dan 25 peratus pada 2028.
Menulis di Facebook, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata sementara negara lain menghadapi cabaran dengan pekerja gig, Singapura telah memilih pendekatan seimbang dengan memperkenalkan kategori berbeza bagi pekerja platform yang berasingan daripada pekerja biasa dan pekerja bebas.
“Rangka kerja baru ini akan menyediakan pekerja platform dengan perlindungan penting, seperti simpanan untuk perumahan dan persaraan melalui sistem CPF, serta pampasan bagi kecederaan berkaitan kerja.
“Selain itu, mereka akan mempunyai hak untuk perwakilan, memperkasakan mereka untuk berunding secara kolektif dengan syarikat platform dan mengukuhkan kuasa tawar-menawar mereka,” kata beliau. Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) pula sama-sama mengalu-alukan kelulusan rang itu, sambil berkata ia satu langkah baik dalam perkembangan mampan ekonomi platform Singapura dan detik penting dalam melindungi mata pencarian pekerja platform.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata:
“Undang-undang pekerja platform satu kemenangan besar untuk pekerja platform, dan detik penting bagi tugas NTUC dalam memperjuangkan kepentingan mereka.”
Parlimen pada 10 September turut luluskan Rang Undang-Undang Kawalan Kasino (Pindaan) dan Rang Undang-Undang Kawalan Bangunan (Pindaan).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg