Topik diikuti
Pergi ke BHkuPekerja warga emas bergaji rendah akan raih gaji, simpanan lebih baik
Pekerja warga emas bergaji rendah akan raih gaji, simpanan lebih baik
Pekerja warga emas yang berpendapatan rendah akan meraih pendapatan tambahan dan peningkatan pada simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) melalui sokongan pemerintah yang dipertingkat.
Sesuai dengan itu, sokongan untuk meringankan beban majikan juga akan disediakan, dengan sebahagian kos kenaikan gaji golongan pekerja itu akan dibiayai.
Langkah tersebut menyusuli saranan keenam Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerjaan Warga Emas (TWG-SE) untuk mempertingkat Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) serta mengemas kini Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS), menerusi satu laporan yang dikeluarkan pada 26 Oktober.
Pendekatan itu bertujuan memastikan golongan warga emas berpendapatan rendah dapat terus menikmati kestabilan sara hidup dan kekal produktif dalam tenaga kerja.
Dipengerusikan bersama oleh Kementerian Kemanusiaan (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), TWG-SE mendapati bahawa warga emas berpendapatan rendah menghadapi cabaran lebih besar dalam mencapai pendapatan dan simpanan persaraan.
Menurut laporan itu, walaupun warga emas berusia 50 tahun dan ke atas hanya merangkumi sekitar 40 peratus tenaga kerja di sini, mereka membentuk sekitar 60 peratus pekerja bergaji rendah pada 2025.
Golongan itu merupakan mereka yang berpendapatan pada atau di bawah persentil ke-20 pendapatan kasar bulanan daripada pekerjaan sepenuh masa di sini atau berpendapatan $2,817 ke bawah dalam sebulan.
Walaupun ramai pekerja warga emas meraih manfaat daripada peningkatan kemahiran dan penyertaan pasaran kerja, golongan berpendapatan rendah kekal terdedah kepada isu ketidaktentuan pendapatan dan persaraan.
Tinjauan Tenaga Manusia MOM 2025 juga mendedahkan hanya separuh daripada pekerja tempatan berusia 50 tahun dan ke atas yang berpendapatan bawah $2,500 sebulan yakin mempunyai wang simpanan mencukupi untuk belanja harian jika bersara.
Kekangan itu didorong oleh simpanan yang rendah, pekerjaan yang menuntut kekuatan fizikal, serta kekurangan peluang peningkatan kerjaya sepanjang hayat pekerjaan mereka.
“Sedang tenaga kerja Singapura kian menua, adalah penting untuk memastikan pekerja warga emas bergaji rendah dapat terus bekerja, kekal produktif serta terjamin dari segi kewangan sekiranya mereka memilih untuk terus berkhidmat,” kata laporan itu.