Usia persaraan dan pekerjaan semula bagi pekerja di Singapura masing-masing akan dinaikkan kepada 65 dan 70 tahun mulai 1 Januari 2029, setahun lebih awal daripada jadual asal pada Julai 2030.

Langkah tersebut memberi pekerja warga emas hak berkanun yang lebih kukuh untuk kekal bekerja lebih lama, sekali gus memberi mereka kepastian serta jaminan keselamatan dalam merancang kerjaya lanjutan mereka.

Pelaksanaan yang dipercepatkan itu dibuat sedang penduduk Singapura kian menua dan jangka hayat terus meningkat, dengan lebih ramai warga emas kekal sihat, produktif serta ingin terus berbakti menjangkau had usia persaraan.

Perkembangan itu adalah antara enam saranan yang dikemukakan oleh Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerjaan Warga Emas (TWG-SE) pada 26 Oktober dan diterima sepenuhnya oleh pemerintah.

Enam saranan itu bertujuan membantu lebih ramai warga emas yang ingin bekerja kekal dalam pekerjaan secara mampan, serta mewujudkan tempat kerja mesra usia dan berbilang generasi.

Laporan itu dilancarkan bersama oleh tiga pengerusi bersama TWG-SE semasa persidangan pelancaran saranan itu di Hotel Orchard pada 26 Oktober.

Mereka adalah Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash; Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Tan; dan Naib Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Cik Tan Hwee Bin.

Secara keseluruhannya, langkah tersebut akan membantu warga emas kekal bekerja serta kembali menyertai alam pekerjaan selepas berehat seketika; menyokong mereka yang berhasrat untuk terus berkhidmat menjangkau had usia persaraan dan bekerja semula statutori; serta menyediakan sokongan yang lebih bersasar bagi warga emas berpendapatan rendah.

Berucap di pelancaran itu, Encik Dinesh menegaskan bahawa langkah untuk mempercepatkan kenaikan usia persaraan memberi isyarat jelas bahawa warga emas yang ingin terus berkhidmat wajar diberikan peluang untuk berbuat demikian.

“Bagi sesetengah warga emas, ini bermakna kekal dalam jawatan sedia ada lebih lama. Bagi yang lain, ia mungkin melibatkan peralihan ke peranan berbeza, bekerja mengikut rentak baharu, atau menyesuaikan kerja mengikut perubahan keadaan peribadi.”

“Perkara paling utama ialah mereka mempunyai pilihan yang bermakna, manakala majikan pula menerima sokongan untuk menjadikan pilihan ini sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan jangka panjang,” katanya.

MOM, NTUC dan Snef membentuk kumpulan kerja itu pada Julai 2025 bagi menyegarkan strategi pekerjaan warga emas.

Menurut laporan yang dikeluarkan, hampir 40 peratus tenaga kerja penduduk kini berusia 50 tahun dan ke atas, berbanding 34.1 peratus pada 2015.

Daripada jumlah pekerja berumur 50 hingga 59 tahun, sebanyak 62.9 peratus berkhidmat dalam sektor karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), sekali gus membuktikan kepakaran tinggi yang mereka bawa ke tempat kerja.

Kenaikan tempoh dan had umur itu membina daripada saranan Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerja Lanjut Usia (TWG-OW) pada 2019.

Sebelum ini, had usia persaraan dan bekerja semula telah pun dinaikkan masing-masing kepada 64 dan 69 tahun bermula 1 Julai 2026.

Bercakap kepada wartawan selepas acara pelancaran itu, Encik Tan berkata, langkah mengedepankan tempoh ke Januari 2029 dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja yang ingin terus bekerja.

“Pada asalnya, ia sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh Julai (2030), tetapi kami kemudiannya menerima maklum balas daripada banyak syarikat dan kesatuan bahawa sebenarnya tempoh tersebut agak tidak kemas.

“Ini kerana, separuh daripada populasi akan meraih manfaat manakala separuh lagi terpaksa menunggu sehingga tahun berikutnya.

“Maka, selepas beberapa perbincangan, kami sekali lagi menyelaraskannya ke Januari (2029) supaya seluruh kohort di Januari 2029 akan mendapat manfaat daripada lanjutan usia persaraan dan pengambilan kerja semula ini,” katanya.

Di Singapura, pekerja yang mencecah usia 64 tahun mesti ditawarkan pekerjaan semula sehingga usia 69 tahun.

Majikan bagaimanapun diberi fleksibiliti untuk membuat penyesuaian munasabah terhadap terma jawatan berasaskan prestasi dan kemahiran pekerja.

Bagi majikan yang tidak dapat menawarkan pekerjaan semula, mereka perlu membayar Bayaran Bantuan Pekerjaan (EAP) sekali beri untuk membantu mereka sementara mencari pekerjaan lain.

Sesuai dengan itu, TWG-SE juga menyarankan agar kadar minimum dan maksimum EAP dinaikkan.

Kali terakhir dikemas kini pada 2022, pembaharuan kali ini akan mengambil kira pertumbuhan gaji sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, pampasan tunai EAP akan diberi satu kali sebanyak 3.5 bulan gaji bagi pekerja yang tidak dapat bekerja semula.

Kadar minimum juga ditetapkan demi melindungi kebajikan pekerja bergaji rendah, manakala had maksimum dihadkan agar tidak membebankan majikan.

Bagi pekerja yang telah menyempurnakan sekurang-kurangnya separuh daripada tempoh bekerja semula, kadar pampasan yang ditetapkan adalah lebih rendah, iaitu bersamaan dua bulan gaji.

Selain itu, bagi memastikan majikan terus berminat untuk memberi pekerjaan kepada warga emas, skim Kredit Pekerjaan Semula (REC) akan diperkenalkan mulai 2028 bagi menggantikan Kredit Pekerjaan Warga Emas (SEC) yang akan tamat tempoh pada akhir 2027.

Pada masa ini, SEC membiayai sehingga 7 peratus gaji bagi pekerja Singapura berusia 60 tahun dan ke atas yang berpendapatan di bawah $4,000 sebulan.

Skim REC baharu bukan sahaja menyediakan sokongan gaji bagi membantu menampung kos mengekalkan pekerja warga emas.

Malah, ia juga akan menumpukan sokongan kewangan yang lebih besar kepada mereka yang melepasi had usia statutori.

TWG-SE juga menyarankan agar beban cukai pendapatan warga emas yang terus berkhidmat melepasi had persaraan dan pekerjaan semula turut dikurangkan.

Menerusi saranan itu, Bantuan Pendapatan Diperoleh (EIR) akan dinaikkan bagi menawarkan pelepasan cukai yang lebih tinggi kepada pekerja warga emas, sekali gus membolehkan mereka membawa pulang gaji bersih yang lebih besar.

Perincian lanjut mengenai saranan skim kumpulan kerja itu akan diumumkan pada separuh pertama 2027 di Jawatankuasa Perbekalan (COS), di mana MOM akan membentangkan perancangan belanjawan mereka.

Dibentuk pada Julai 2025, TWG-SE – dipengerusikan bersama oleh MOM, NTUC dan Snef – bertujuan untuk menyemak dan memperbaharui strategi pekerjaan warga emas Singapura.

Sejak itu, TWG-SE telah mengadakan perundingan dengan lebih 1,000 pihak berkepentingan.

Ini termasuk majikan, wakil industri dan kesatuan sekerja, pekerja, golongan karyawan sumber manusia (HR) serta ahli akademik.

Kumpulan itu juga memanfaatkan pandangan daripada Perikatan untuk Bertindak bagi Memperkasakan Kerjaya Pelbagai Peringkat untuk Pekerja Matang (AfA-EMW), di mana sebanyak 30 organisasi merintis pelbagai huraian.

Antaranya, latihan, pemadanan kerja, model pekerjaan alternatif serta persaraan berfasa – yang memanfaatkan lebih 1,600 pekerja warga emas.