Pengendali pelabuhan Singapura, PSA, bersiap sedia untuk kemungkinan kapal-kapal kembali melalui Terusan Suez, selepas hampir dua tahun kapal dialihkan mengelilingi Afrika untuk mengelakkan keganasan pemberontak Yaman di Laut Merah.
Kembalinya pelayaran melalui Terusan Suez akan mengurangkan masa penghantaran dan berpotensi menurunkan kos penghantaran bagi peruncit dan pelanggan mereka dalam jangka panjang.
Namun, penganalisis menjangka trafik yang lebih sesak di pelabuhan utama seperti Singapura dalam jangka pendek kerana jadual pelayaran dan perkhidmatan perlu disesuaikan.
Dari 18 Disember hingga 19 Disember, sebuah kapal Maersk yang berdaftar di Singapura berjaya melintasi Selat Bab el-Mandeb dan Laut Merah di bawah “langkah keselamatan yang paling tinggi,” kata Maersk dalam satu kenyataan.
Ini adalah langkah pertama untuk menyambung semula pelayaran di laluan Timur-Barat melalui Terusan Suez dan Laut Merah, walaupun tiada pelayaran lain dirancang buat masa ini, lapor The Straits Times (ST).
Pada awal Disember, kapal CMA CGM dari Perancis menyatakan kapal-kapalnya mungkin akan kembali melalui Terusan Suez untuk perjalanan antara India dengan Pakistan, dan pantai timur Amerika Syarikat, dengan kapal pertama berlepas dari Karachi pada Januari 2026.
Seorang jurucakap PSA berkata pengendali pelabuhan itu sedang memantau situasi yang melibatkan kapal-kapal yang mengalihkan laluan mereka melalui Laut Merah dan Terusan Suez.
“Bagi PSA Singapura, sebagai hab pemindahan terbesar di dunia, kami menjangka permintaan akan meningkat disebabkan oleh lonjakan ketibaan kapal di laluan arah timur, khususnya pada minggu-minggu pertama selepas pengalihan laluan,” kata jurucakap itu.
“Untuk mengurangkan gangguan akibat perubahan laluan, kami bekerjasama rapat dengan pelanggan perkapalan untuk memastikan maklumat ketibaan dan muatan kapal dikongsi lebih awal. Ini membantu perancangan dermaga dan mengekalkan tahap perkhidmatan.”
Pengendali pelabuhan itu juga menambah bahawa mereka terus meningkatkan kapasiti di Pelabuhan Tuas yang akan mempunyai 12 dermaga yang beroperasi menjelang akhir 2025.
Ia juga menggunakan analitik lanjutan dan alat berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk meramalkan masa ketibaan kapal, membolehkan perancangan yang lebih proaktif dan dinamik serta meningkatkan kecekapan operasi.
Pelabuhan Tuas, projek mega PSA Singapura, dijangka menjadi terminal kontena automatik di satu lokasi yang terbesar di dunia apabila ia dibuka sepenuhnya menjelang 2040-an.
Serangan Houthi ke atas kapal komersial di Laut Merah sejak 2024 telah mengorbankan sembilan pelaut dan menenggelamkan empat kapal, mengganggu pelayaran dan memaksa kapal mengalihkan laluan mereka mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika Selatan yang lebih panjang dan mahal.
Kini, industri pelayaran melihat kemungkinan menyambung semula pelayaran melalui Laut Merah pada 2026 selepas Houthi memberi isyarat untuk menghentikan serangan mereka susulan gencatan senjata di Gaza pada Oktober.
Kembalinya secara beransur-ansur ke laluan Laut Merah selepas perjalanan panjang mengelilingi Cape of Good Hope akan menjadi perkara utama untuk diperhatikan dalam pelayaran kontena pada 2026, kata Encik Rico Luman, seorang ahli ekonomi di ING dalam satu nota pada 1 Disember.
“Keputusan barisan kontena untuk kembali melalui Laut Merah adalah perkembangan penting dalam pasaran pelayaran global pada 2026. Ini bukan soal ‘jika’, tetapi ‘bila’. Jika satu syarikat besar mengambil risiko, yang lain pasti akan mengikutinya,” tulis Encik Luman.
Terusan Suez telah menjadi penghubung penting untuk perdagangan Timur-Barat moden selama beberapa dekad, mengendalikan lebih daripada 15 peratus perdagangan barang global dan sehingga dua kali ganda bahagian trafik kontena global, terutamanya barang pengguna.
Namun, pemulihan awal pelayaran melalui laluan air tersebut kemungkinan akan menyebabkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan Eropah, dengan kesan gelombang ke seluruh rangkaian global, termasuk Singapura, kata penganalisis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg