Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Daya saing, prasarana S’pura perlu dipertingkat tarik kapal seluruh dunia

Beliau rasmi majlis pecah tanah Hab Rantaian Bekalan PSA; Hab tambah daya saing Pelabuhan Tuas
Oct 18, 2024 | 4:23 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap di majlis pecah tanah bagi pembinaan Hab Rantaian Bekalan PSA pada 18 Oktober di Tuas.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap di majlis pecah tanah bagi pembinaan Hab Rantaian Bekalan PSA pada 18 Oktober di Tuas. - Foto ST

Singapura mesti terus terhubung dengan rantaian bekalan sejagat dan mempertajam kelebihan daya saingnya supaya kapal dari seluruh dunia akan terus datang ke Singapura dan menghargai nilai negara ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Untuk mencapai matlamat itu, Singapura mesti terus menyesuaikan diri dan mengikuti trend yang berubah-ubah.

Ini boleh dilakukan dengan melabur dalam keupayaan yang menambah nilai seperti mempunyai prasarana dan keupayaan luas supaya Singapura boleh mengendali dan menarik lebih banyak kapal.

Bercakap di majlis pecah tanah untuk pembinaan Hab Rantaian Bekalan PSA pada 18 Oktober, Encik Wong berkata hab tersebut akan meningkatkan lagi daya saing Pelabuhan Tuas, dengan meningkatkan keupayaannya mengendali lebih banyak kontena dan penghantaran kargo.

“Apabila siap sepenuhnya pada 2040-an, Pelabuhan Tuas akan menjadi pelabuhan automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia, dan mampu mengendalikan 65 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki).

“Ini hampir dua kali ganda daripada semua pelabuhan yang kita kendalikan pada masa ini.

“Dengan kapasiti ini, Pelabuhan Tuas akan memberi perkhidmatan kepada lebih banyak lagi kapal kontena terbesar di dunia, pakatan dan talian perkapalan.

“Dan kita akan dapat mengendalikan urus niaga yang semakin kompleks dan banyak, dengan kecekapan dan ketepatan,” ujar Encik Wong.

Menjangkau lebih 185,000 meter persegi dan menelan belanja $647.5 juta, hab rantaian bekalan PSA baru itu dijangka siap pada suku kedua 2027.

Pembinaan kemudahan baru itu dibuat ketika Singapura kelihatan bersedia untuk mengendalikan bilangan kontena yang memecahkan rekod sebanyak 40 juta TEU pada 2024.

Hab baru itu juga akan mempunyai kemudahan untuk mengendalikan barangan berbahaya, serta barangan yang memerlukan penyimpanan sejuk.

Ini akan membolehkannya memproses kargo bernilai lebih tinggi, seperti farmaseutikal dan bahan kimia yang memerlukan pengendalian khas.

Syarikat-syarikat juga akan dapat memanfaatkan perkhidmatan pengendalian kargo khusus ini di bawah satu bumbung dalam zon perdagangan bebas yang sama seperti Pelabuhan Tuas, kata Encik Wong.

“Kami mahu perniagaan menggunakan Pelabuhan Tuas sebagai pusat sehenti yang mudah dan cekap, bukan sahaja untuk barangan fizikal, malah sebagai menara kawalan bagi menguruskan inventori dan aliran rantaian bekalan sejagat mereka,” tambah Encik Wong.

Pembinaan kemudahan baru itu dibuat apabila persaingan semakin sengit dalam industri perkapalan.

Encik Wong berkata pelabuhan utama lain seperti Shanghai dan Rotterdam sedang meningkatkan prasarana mereka untuk menawarkan khidmat kepada kapal yang lebih besar dan menarik pakatan perkapalan “mega”.

Beliau menambah, banyak pelabuhan di seluruh dunia turut menawarkan perkhidmatan selain pemindahan kontena. Ini termasuk kemudahan penyimpanan sejuk dan pusat pengedaran serantau.

Tambahan pula, tidak seperti pelabuhan di negara yang mempunyai asas pengeluaran dan penggunaan yang besar, Singapura tidak punyai kawasan pedalaman sendiri, tambahnya.

Maka itu, Encik Wong berkata Singapura tidak boleh leka dan perlu mempertajam kelebihan daya saingnya untuk kekal sebagai “pelabuhan pilihan”.

“Apabila siap sepenuhnya pada 2040-an, Pelabuhan Tuas akan menjadi pelabuhan automatik sepenuhnya terbesar di dunia, yang mampu mengendalikan 65 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setiap tahun. Ini hampir dua kali ganda daripada semua pelabuhan yang kita kendalikan pada masa ini. Dengan kapasiti ini, Pelabuhan Tuas akan memberi perkhidmatan kepada lebih banyak lagi kapal kontena terbesar di dunia, pakatan dan talian perkapalan. Dan kami akan dapat mengendalikan urus niaga yang semakin kompleks dan banyak, dengan kecekapan dan ketepatan”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg