Minoriti Muslim di Singapura memiliki semangat teguh dan menghayati bahawa kekuatan mereka adalah bersandarkan daya tahan dan pelaburan dalam diri sendiri, kata mantan Datuk Bandar Rotterdam, Belanda, Encik Ahmed Aboutaleb.
Berkongsi pengamatannya dalam satu wawancara dengan Berita Harian (BH) di luar acara Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 pada 14 Oktober, Encik Ahmed berkata bahawa ciri-ciri masyarakat Melayu/Islam di sini adalah satu contoh yang wajar dicontohi oleh golongan minoriti lain, termasuk masyarakat Muslim di Belanda.
Satu contoh tokoh yang amat disanjungi ramai termasuk di persada antarabangsa ialah mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, yang pengaruhnya menjangkau hingga ke Belanda, kata Encik Ahmed.
Beliau akur bahawa Puan Halimah – walaupun memegang jawatan tinggi di sebuah negara – mampu memelihara prinsip Islamnya.
“Berada pada kedudukan yang tinggi, berpendidikan, aktif dan progresif tidak semestinya menghalang seseorang untuk memakai tudung. Ia adalah satu pengajaran besar buat Belanda, melihat seorang wanita pada kedudukan itu, ia sangat mengagumkan,” kata warga Belanda itu.
Encik Ahmed menegaskan bahawa pencapaian Puan Halimah sebagai presiden wanita adalah bukti bahawa prinsip Islam dan kejayaan profesional dapat berjalan seiringan.
Beliau berharap kepimpinan Puan Halimah akan “membuka pintu kepada generasi muda dan wanita untuk menerima bahawa mereka boleh memainkan peranan lebih baik pada masa depan”.
Encik Ahmed turut menekankan bahawa untuk membina masyarakat minoriti yang kuat adalah dengan melabur dalam dua bidang ini – pendidikan dan golongan ibu.
Beliau mengakui masyarakat Melayu/Islam di Singapura telah berjaya menekankan isu pendidikan.
“Seseorang pernah memberitahu saya bahawa satu ketika dahulu kadar keciciran pendidikan bagi orang Melayu/Islam di Singapura adalah sangat tinggi.
“Tetapi mereka berjaya mengubahnya menjadi kadar yang sangat positif, dengan bilangan yang mempunyai diploma (kini) adalah sangat tinggi,” katanya sambil membandingkan dengan Belanda di mana kadar keciciran masih tinggi.
Beliau menambah, masyarakat minoriti Islam perlu menjalankan lebih banyak usaha untuk memahami cara berunding dan menangani tadbir urus.
Selain itu, pelaburan ke atas golongan ibu adalah penting kerana menurutnya, golongan itu merupakan pendidikan sosial utama bagi kanak-kanak.
“Kita harapkan ibu memberikan yang terbaik untuk anak-anak tetapi bagaimana jika ibu tidak mempunyai apa-apa untuk berikan? Anda tidak boleh memberikan apa yang anda tidak ada.
“Ini berasaskan kepada kesaksamaan, kualiti dan juga memastikan setiap individu mendapat peluang berbeza dalam usaha meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat,” jelas Encik Ahmed.
Mengulas mengenai peranan kepimpinan dalam masyarakat, Encik Ahmed menegaskan adalah penting bagi seorang pemimpin mendengar suara masyarakat dan menjadi wakil buat mereka.
“Jika kita tidak mempunyai itu terutama ketika berlaku ketegangan dalam masyarakat, mereka akan kehilangan seseorang yang boleh bersuara bagi pihak mereka.
“Seorang pemimpin bukan hanya individu yang bertindak dari menara tinggi, sebaliknya mereka perlu benar-benar dekat dengan rakyat. Antara cara mendengar masyarakat adalah dengan mendekati mereka, dan tidak menunggu sehingga mereka datang kepada kita,” ujarnya.
Beliau berkongsi pengalamannya sebagai Datuk Bandar apabila beliau mengunjungi kawasan Carnisse di Rotterdam, yang menempatkan ramai kumpulan rentan. Di sana, beliau mendengar pelbagai isu sosial seperti keselamatan, eksploitasi, perumahan dan penyalahgunaan alkohol.
“Jika anda peka terhadap isu-isu itu, maka anda akan bergerak ke arah membentuk penyelesaian yang khusus buat mereka. Undang-undang diwujudkan untuk melindungi rakyat, bukan untuk digunakan terhadap mereka,” tambahnya.
Selain itu, Encik Ahmed juga menegaskan kepimpinan adalah alat penting untuk menyatukan masyarakat. Hal ini amatlah penting terutama bagi golongan minoriti kerana tanpa penyatuan, suara mereka tidak akan didengari.
Ini terutamanya penting bagi masyarakat Muslim yang mempunyai pelbagai latar belakang, seperti di Eropah.
“Di Eropah, kita mempunyai umat Islam daripada pelbagai latar belakang – umat Islam dari Timur Tengah, Islam Sunni, Islam Syiah, yang bertutur dalam bahasa Arab, Turkey serta pelbagai bahasa lain.
“Penting untuk kita bersatu dan mempunyai kepimpinan, sekurang-kurangnya seorang wakil, untuk berbicara mengenai kita dengan pihak kerajaan dan institusi lain,” jelasnya.
Mengulas mengenai situasi Muslim di dunia, Encik Ahmed mengatakan kebimbangan terhadap peningkatan individu yang menggunakan Islam sebagai tema politik.
Ini mengakibatkan Islam dan tingkah laku sesetengah Muslim disalahgunakan dalam sistem politik, dan beliau menekankan pentingnya kesedaran terhadap perkara ini.
“Jika kita ingin melakukan sesuatu tentangnya, kita perlu kemukakan hujah lebih baik dan menghadiri dialog. Kita perlu tegas dalam berhujah, tetapi tidak agresif dalam menyerang orang lain,” katanya.
Beliau memberi contoh bagaimana beberapa perkataan Islam yang sudah disalah ertikan sebagai berkaitan dengan keganasan.
“Jika seorang Muslim memasuki kapal terbang dan menyebut ‘Allahu Akbar’ dengan lantang, kapal terbang itu mungkin tidak akan bergerak kerana orang akan menganggapnya sebagai pengganas. Mengapa perkara itu berlaku?
“Kita perlu tangani fenomena ini kerana ia bukan isu agama tetapi isu politik. Ia digunakan untuk menentang minoriti Muslim kerana mereka terdedah dan tidak bersatu,” jelasnya.
Lantas, beliau menyeru masyarakat minoriti Muslim untuk membuka pintu dan menerima satu sama lain.
“Jika kita berjaya melakukannya, kita akan mempunyai wadah yang lebih baik untuk penyepaduan dalam negara di mana umat Islam adalah minoriti,” ujar beliau.
“
“Berada pada kedudukan yang tinggi, berpendidikan, aktif dan progresif tidak semestinya menghalang seseorang untuk memakai tudung. Ia adalah satu pengajaran besar buat Belanda, melihat seorang wanita pada kedudukan itu, ia sangat mengagumkan.”“
“Seseorang pernah memberitahu saya bahawa satu ketika dahulu, kadar keciciran pendidikan bagi orang Melayu/Islam di Singapura adalah sangat tinggi. Tetapi mereka berjaya mengubahnya menjadi kadar yang sangat positif, dengan bilangan yang mempunyai diploma (kini) adalah sangat tinggi.”“
“Kita harapkan ibu memberikan yang terbaik untuk anak-anak tetapi bagaimana jika ibu tidak mempunyai apa-apa untuk berikan? Anda tidak boleh memberikan apa yang anda tidak ada.”“
“Jika kita ingin melakukan sesuatu tentangnya, kita perlu kemukakan hujah lebih baik dan menghadiri dialog. Kita perlu tegas dalam berhujah, tetapi tidak agresif dalam menyerang orang lain.”Biodata Encik Ahmed Aboutaleb (Infobox)
Jawatan:
Asal Usul:
Pendidikan:
Kerjaya:
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg