Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelaburan solar jimatkan S’pura $123.8j dalam kos import bahan api fosil
Pelaburan solar jimatkan S’pura $123.8j dalam kos import bahan api fosil
Satu laporan baru-baru ini mendapati bahawa pelaburan dalam tenaga solar telah menjimatkan Singapura anggaran AS$97 juta ($123.8 juta) dalam import bahan api fosil berkaitan kuasa elektrik.
Penjimatan itu berlaku sepanjang lima bulan awal 2026, selepas harga tenaga melonjak akibat krisis di Selat Hormuz.
Hampir keseluruhan penjimatan itu datang daripada elakan import gas, menurut laporan Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA), sebuah organisasi berpangkalan di Finland, yang diterbitkan pada akhir Ogos.
Daripada jumlah itu, sekitar AS$40 juta merupakan penjimatan daripada mengelakkan premium tambahan yang dikenakan oleh krisis Hormuz bagi gas asli, kata seorang penganalisis CREA.
Ketua pasukan dasar dan analisis tenaga Eropah-Rusia CREA, Encik Isaac Levi, memberitahu The Straits Times (ST) dalam satu temu bual e-mel: “(Penjimatan itu) menunjukkan manfaat program pengembangan solar Singapura.”
Angka itu merupakan anggaran harga borong yang dimodelkan, katanya.
Walaupun berlaku penjimatan, laporan oleh organisasi penyelidikan bebas itu mendapati pergantungan Singapura pada bahan api fosil import masih menyebabkan negara ini menanggung kos kasar tambahan bahan api fosil sebanyak AS$8.1 bilion dalam tempoh enam bulan selepas tercetusnya perang antara Amerika Syarikat dengan Iran.
Ini meletakkan Singapura pada kedudukan ke-13 antara 171 wilayah bagi kos import tambahan bahan api fosil sepanjang tempoh tersebut, kata Encik Levi, dengan China, India dan Amerika menanggung beban kewangan paling berat.
Laporan itu yang ditulis bersama oleh Encik Luke Wickenden dan Encik Lauri Myllyvirta dari CREA, bertujuan mengkaji kesan kewangan terhadap pengimport bahan api fosil.
Mereka menggunakan pelbagai sumber data, seperti data penjejakan penghantaran komoditi global di pelabuhan daripada platform analitik Kpler, serta data penjanaan kuasa bukan bahan api fosil bulanan daripada Ember, sebuah badan pemikir tenaga bukan mencari untung.
Manfaat ekonomi daripada tenaga boleh diperbaharui
Singapura mengimport bahan api fosil untuk penjanaan kuasa serta bagi sektor perindustriannya.
Encik Levi berkata penjimatan itu datang daripada keperluan Singapura yang berkurangan untuk mengimport bahan api fosil bagi penjanaan kuasa, hasil daripada usaha solar negara ini sejak 2020.
Lebih 95 peratus kuasa elektrik negara ini dijana daripada gas asli import, yang harganya melonjak akibat perang Amerika-Iran.
Serangan sepanjang konflik itu menghalang penghantaran melalui Selat Hormuz, laluan maritim kritikal yang pernah membawa sekitar 20 peratus daripada minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Menurut laporan itu, sepanjang enam bulan pertama konflik Amerika-Iran, harga purata LNG Asia adalah 75 peratus lebih tinggi berbanding apa yang dijangka dibayar oleh pasaran hadapan sebelum perang. Harga LNG Eropah pula 60 peratus lebih tinggi bagi tempoh yang sama.
Singapura telah mempergiat usaha untuk memanfaatkan tenaga solar, bentuk tenaga boleh diperbaharui yang paling berdaya maju.
Pada Februari, Singapura menaikkan sasaran penggunaan solarnya daripada dua gigawatt-puncak (GWp) kepada tiga GWp menjelang 2030, selepas mencapai matlamat awalnya pada 2025 menerusi pemasangan panel solar pada bumbung, empangan takungan dan permukaan lain.
