Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerangan baharu di Selat Hormuz cetus kebimbangan bekalan minyak
Serangan baharu di Selat Hormuz cetus kebimbangan bekalan minyak
ADEN/DUBAI: Laporan maritim baharu menyatakan terdapat serangan terhadap sebuah kapal di Selat Hormuz pada 13 September, menambah kebimbangan terhadap ancaman Iran ke atas bekalan tenaga, selepas Arab Saudi menutup sebuah saluran paip minyak penting.
Pertubuhan Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) yang berkait dengan tentera laut Britain berkata pihaknya menerima laporan mengenai sebuah peluru berpandu yang memusnahkan sebuah kapal ketika ia melalui Selat Hormuz. Tahap kerosakan dan status anak kapal masih tidak diketahui setakat 13 September, kata pertubuhan itu.
Laporan UKMTO itu tiba sehari selepas Arab Saudi mengumumkan penutupan sementara saluran paip Timur-Barat miliknya sebagai langkah berjaga-jaga, susulan serangan dron yang menurut Baghdad dan Riyadh berpunca dari Iraq, tempat kumpulan militia yang disokong Iran beroperasi.
Serangan yang berterusan dalam perang yang semakin meluas di Timur Tengah boleh menyebabkan harga tenaga naik lebih tinggi lagi. Ini berlaku selepas harga minyak mentah Brent melonjak semula melepasi paras AS$100 ($127) setong minggu lepas.
Saluran paip timur-barat sepanjang 1,200 kilometer yang merentasi Semenanjung Arab telah menjadi laluan utama bagi bekalan minyak Timur Tengah ke pasaran global sejak enam bulan lalu, ketika sebahagian besar Selat Hormuz ditutup akibat perang.
Saluran paip itu mengalirkan 4 hingga 5 juta tong sehari, iaitu 4 hingga 5 peratus daripada bekalan global. Ini bermakna Arab Saudi terselamat daripada gangguan teruk yang telah melumpuhkan pengeksport minyak dan gas lain di Teluk.
Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab serta-merta atas serangan terhadap saluran paip itu. Gambar satelit menunjukkan asap hitam berkepul dari sebuah kawasan di sepanjang saluran paip itu, di selatan Madinah.
Serangan itu mengakibatkan beberapa kecederaan dan kerosakan yang masih dinilai, kata Kementerian Luar Arab Saudi tanpa memperincikan kesannya terhadap eksport.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang sedang melawat Ireland untuk menghadiri satu kejohanan golf di salah sebuah resort miliknya, berkata Iran berkemungkinan besar dipersalahkan.
Pada 12 September, Pertahanan Awam Arab Saudi berkata dalam satu kenyataan bahawa sebuah peluru berpandu yang dilancarkan oleh puak Houthi telah mencederakan dua orang di wilayah Jazan, serta merosakkan beberapa bangunan, termasuk sebuah masjid.
Sementara itu, harga minyak melonjak sepanjang minggu lalu, dan harga runcit diesel di Amerika melebihi paras rekod AS$6 segelen. Ini berlaku selepas Amerika dan Iran sama-sama menyerang kapal tangki, manakala Houthi yang berpihak kepada Iran di Yemen terus mara di Laut Merah – berpotensi mengganggu satu lagi laluan minyak utama.
Washington kini berdepan dilema sama ada untuk membantu Arab Saudi memerangi Houthi, dengan risiko memperluas lagi peperangan itu.
Pemerintah Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, telah menghubungi Encik Trump melalui telefon pada 10 September dan meminta bantuan ketenteraan Amerika Syarikat untuk memerangi Houthi, menurut sumber yang memberitahu Reuters.
Mereka berkata putera itu dimaklumkan bahawa Washington tidak akan campur tangan secara langsung buat masa ini, tetapi akan membantu dari segi risikan.
Trump mengesahkan pada 12 September bahawa beliau telah bercakap dengan putera mahkota itu, dan berkata puak Houthi turut menghubungi pentadbirannya serta meminta Washington supaya tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.
Empat sumber pemerintah Yemen memberitahu Reuters bahawa Houthi telah merampas Pulau Perim, sebuah pulau strategik di tengah-tengah Selat Bab el-Mandeb, pada 11 September. Selat itu turut dikenali sebagai “Pintu Air Mata” kerana terletak di mulut Laut Merah. – REUTERS.
