Seorang pelajar berusia 14 tahun adalah antara 139 individu yang ditahan dalam operasi serbuan dadah besar-besaran di seluruh negara, dengan dadah bernilai lebih $626,700 dirampas, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB).
Dalam satu kenyataan pada 31 Mei, CNB memaklumkan operasi itu berlangsung dari 18 hingga 30 Mei, merangkumi kawasan seperti Ang Mo Kio, Boon Keng, Bukit Merah, Jurong dan Sengkang.
Jumlah dadah yang dirampas termasuk kira-kira 3,588 gram heroin, 2,744 gram ganja, 1,303 gram ‘Ice’ atau methamphetamine, 155 gram ketamin, 54 gram ecstasy, 26 gram kokain, dan 213 pil Erimin-5.
Selain itu, 49 peranti e-rokok atau ‘vape’ yang disyaki mengandungi bahan tetrahydrocannabinol (THC) dan 22 setem LSD (lysergic acid diethylamide) turut dirampas.
CNB menganggarkan jumlah dadah yang dirampas itu mampu memenuhi keperluan 2,840 penagih selama seminggu.
Pada 23 Mei, lima lelaki warga asing berusia antara 23 dengan 34 tahun ditahan berhampiran Tuas South Avenue atas kesalahan berkaitan dadah.
Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan selepas didapati membuang bahan dipercayai dadah, termasuk kira-kira dua gram ganja.
Seorang lagi lelaki berusia 24 tahun ditemui memiliki sejumlah kecil ‘Ice’, dan kira-kira 27 gram ganja kemudian ditemui dalam bilik penginapan berhampiran. Lelaki itu bersama seorang lagi penyewa berusia 32 tahun ditahan kerana memiliki dadah terkawal.
Pada petang 28 Mei, pegawai CNB menyerbu bilik hotel berhampiran Lorong 10 Geylang dan menahan seorang lelaki berusia 46 tahun, atas dakwaan mengedar dadah.
Dalam bilik itu, polis menemui kira-kira 2,818 gram heroin, 565 gram Ice, 20 gram ganja, 24 gram ketamin, empat pil Erimin-5 serta wang tunai sebanyak $541.61.
Sehari selepas itu, seorang lelaki warga Singapura berusia 29 tahun ditahan di tempat letak kereta kondominium berhampiran Tampines Street 86, atas dakwaan mengedar dadah.
Semasa serbuan di tempat tinggalnya, polis merampas 2,104 gram ganja, 165 gram ‘Ice’, 103 gram ketamin, 37 gram ecstasy, 26 gram kokain, 22 setem LSD, 10 pil Erimin-5 dan 49 peranti e-rokok disyaki mengandungi THC.
Siasatan ke atas semua suspek ditahan masih dijalankan.
Menurut undang-undang di Singapura, individu yang didapati bersalah mengedar lebih 5 gram diamorfin (heroin tulen), 250 gram methamphetamine, atau 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Menurut laporan statistik tahunan CNB pada 12 Februari, terdapat 126 penagih dadah baru di bawah umur 20 tahun yang ditahan, dengan yang termuda berusia 13 tahun pada 2025 — meningkat 30 peratus berbanding 97 orang pada 2023.
Jumlah penagih baru pada 2025 adalah 966 orang, meningkat sedikit daripada 952 orang pada 2023.
Namun, jumlah penagih dadah yang ditahan berulang menurun sedikit kepada 2,153 orang pada 2024, berbanding 2,170 orang pada tahun sebelumnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg