Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar 19 tahun antara 2 lelaki dikenakan arahan ISA
Pelajar 19 tahun antara 2 lelaki dikenakan arahan ISA
Pelajar jadi radikal sendiri ekoran fahaman ekstrem bercampur aduk dikenakan Perintah Sekatan; Lelaki 30 tahun pula dikenakan Arahan Penahanan sokong Hamas
Pelajar 19 tahun antara 2 lelaki dikenakan arahan ISA
Seorang pelajar berusia 19 tahun merupakan antara dua lelaki radikal warga Singapura yang dikenakan arahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac 2026.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam kenyataan media pada 24 Jun, Cyrus Dzulqarnain Al-Shahriar yang berusia 19 tahun telah dikenakan Perintah Sekatan (RO) dan menjadi radikal sendiri akibat Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE).
Seorang lagi lelaki warga Singapura, Tarmizi Mohd Taha, 30 tahun, pula dikenakan Arahan Penahanan (OD) di bawah ISA kerana merupakan penyokong tegar Hamas yang telah menyatakan kesediaannya melakukan keganasan terhadap Israel atau melakukan serangan di Singapura.
Cyrus merupakan individu kedua yang diradikalisasikan oleh CoVE yang ditangani di bawah ISA.
CoVE, yang sebelum ini digelar ISD sebagai ekstremisme ‘salad bar’, atau fahaman ekstrem bercampur aduk, merujuk kepada satu bentuk ekstremisme ganas yang mana individu berpegang pada pelbagai ideologi ekstremis, yang kadangkala bercanggah, dan bukannya berpegang pada pandangan dunia yang bersangkut paut atau bersatu.
Ini menghasilkan sistem kepercayaan komposit yang diperibadikan, digunakan oleh individu tersebut untuk mewajarkan keganasan.
Antara lain, Cyrus telah mengambil gambar dirinya memegang telefon bijak yang menunjukkan penerbitan elektronik kumpulan ekstremis yang disokongnya, dengan latar belakang Marina Bay Sands.
Pada 2022, Cyrus menyertai beberapa kumpulan dalam talian yang membincangkan topik keagamaan untuk mempelajari lebih lanjut tentang Islam.
Walau bagaimanapun, dalam kumpulan-kumpulan ini, dia terdedah kepada kandungan anti-Barat dan anti-LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transjantina dan ‘queer’).
Dia kemudiannya membuat catatan dalam talian yang menghasut keganasan terhadap masyarakat LGBTQ.
Berikutan serangan 7 Oktober 2023 Hamas ke atas Israel pula, Cyrus terdedah kepada naratif pro-Hamas dalam talian, menyebabkannya menyokong kumpulan tersebut.
Pada pertengahan 2024, Cyrus terjumpa catatan media sosial oleh ahli kumpulan pelampau Islam dalam talian khusus yang menyokong pemikiran yang boleh mempercepatkan keganasan.
Kumpulan itu percaya terhadap mewujudkan ‘kekacauan’ melalui penggunaan keganasan jika perlu, untuk mewujudkan masa depan dengan Islam sebagai tamadun dunia yang terkemuka.
Mereka percaya bahawa mereka perlu memusnahkan ‘aturan dunia” semasa, di mana negara-negara dunia pertama, termasuk Singapura, dianggap sebagai lanjutan Amerika Syarikat, dan berada di bawah kawalan Zionis.
Atas permintaan salah seorang ahli kumpulan itu, Cyrus pergi ke kawasan Esplanade sebanyak dua kali untuk mengambil gambar penerbitan elektronik yang dikarang oleh ahli kumpulan itu, berlatarbelakangkan Marina Bay Sands.
Cyrus berikrar taat setia kepada kumpulan itu dengan menyiarkan gambar-gambar ini secara terbuka di akaun media sosialnya pada November 2025.
Dia juga menganggap ia tanggungjawabnya untuk mengambil bahagian dalam usaha ‘jihad digital’ kumpulan itu dengan mengganggu pengguna dalam talian yang dianggap anti-Islam.
Dalam pada itu, pegawai khidmat pelanggan, Tarmizi, pula menjadi sangat prihatin dengan konflik Israel-Palestin dan menyertai beberapa saluran media sosial yang membincangkan konflik tersebut dan Hamas.
Pada Februari 2024, Tarmizi menganggap Hamas sebagai pembela warga Palestin dan percaya bahawa ianya sah untuk terlibat dalam keganasan bersenjata terhadap ‘musuh’ dan ‘orang kafir’ yang bertanggungjawab menindas rakyat Palestin di tanah air mereka, yang dianggapnya sebagai Zionis, Yahudi dan orang bukan Islam.
Tarmizi juga telah berbincang tentang operasi Hamas di Gaza dengan seorang kenalan asing dalam talian yang mendakwa dirinya sebagai anggota Hamas.
Tarmizi berkata jika diperintahkan oleh Hamas, dia sanggup terlibat dalam pertempuran bersenjata menentang Israel atau melakukan serangan di Singapura.
Dia juga berhasrat menggunakan kemahiran dan pengalaman yang diperolehnya semasa Perkhidmatan Negara (NS) dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk menyumbang kepada Hamas, dan mempercayai bahawa tindakan sedemikian akhirnya akan membawanya kepada kematian syahid.
ISD berkata kedua-dua kes tersebut menunjukkan bagaimana naratif ekstremis yang berunsur rungutan tentang konflik Israel-Palestin terus meradikalisasikan rakyat Singapura, meskipun sudah hampir tiga tahun sejak konflik itu memuncak semula pada Oktober 2023.
Bahkan, Tarmizi dan Cyrus merupakan rakyat Singapura ketujuh dan kelapan yang ditangani di bawah ISA, yang radikalisasi mereka dicetuskan atau dipercepatkan oleh konflik Israel-Palestin.
“Walaupun rakyat Singapura masih sangat prihatin tentang kos kemanusiaan akibat konflik ini, adalah penting untuk kita tidak membenarkan naratif ekstremis yang memanfaatkan konflik asing untuk berakar umbi dalam masyarakat kita.
“ISD akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu di Singapura yang menyokong, mempromosikan, menjalankan atau membuat persediaan untuk keganasan bersenjata, tanpa mengira bagaimana mereka merasionalkan keganasan tersebut secara ideologi atau di mana keganasan itu berlaku,” tegas ISD dalam kenyataannya.
