Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja radikal sendiri, ingin lakukan serangan di S’pura

Jul 15, 2024 | 7:47 PM
Seorang remaja lelaki Singapura berusia 14 tahun, telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun selepas dia menjadi radikal sendiri dalam talian berikutan konflik Israel-Hamas yang berterusan.
Seorang remaja lelaki Singapura berusia 14 tahun, telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun selepas dia menjadi radikal sendiri dalam talian berikutan konflik Israel-Hamas yang berterusan. - Foto fail

Pelajar Menengah Tiga yang telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada Jun ini merupakan individu termuda yang dikenakan perintah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan telah mempertimbangkan untuk membuat serangan di Singapura.

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 15 Julai, remaja lelaki Singapura yang berusia 14 tahun itu, menjadi radikal sendiri dalam talian berikutan konflik Israel-Hamas yang berterusan dan bercita-cita berjuang untuk Black Flag Army (BFA).

Dia juga percaya bahawa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 adalah wajar dan semua ‘Zionis’ adalah musuh yang harus dibunuh.

“Radikalisasi remaja ini dicetuskan oleh serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel, dan berlaku dalam tempoh yang singkat selepas melihat secara meluas kandungan dan berita pro-Hamas dalam talian.

“Menjelang Januari 2024, dia menganggap kumpulan seperti Hamas, Briged Al-Qassam (AQB) dan Briged Al-Quds sebagai “pembela Palestin yang sah” dan menyokong tindakan ganas mereka,” kata ISD.

Semasa menyelidik dalam talian, ISD berkata remaja tersebut telah melihat bahan yang meramalkan keadaan akhir zaman dan kebangkitan BFA di Khorasan, yang merupakan istilah sejarah yang merujuk kepada Afghanistan kini.

BFA adalah tentera Islam yang diramalkan akan membawa bendera hitam yang diketuai oleh Imam Mahdi, penyelamat umat Islam, akan muncul di Khorasan untuk melibatkan diri dalam pertempuran terakhir dengan orang-orang yang tidak beriman pada akhir zaman.

Kenyataan tersebut menambah bahawa kumpulan pengganas seperti ISIS telah menyalahgunakan imej bendera hitam itu untuk meraih sokongan bagi usaha mereka.

“Lama-kelamaan, remaja tersebut semakin yakin bahawa akhir zaman akan berlaku semasa hayatnya dan adalah menjadi kewajipannya sebagai seorang Muslim untuk memperjuangkan BFA apabila ia muncul dan untuk mati syahid.

“Untuk mempersiapkan diri menyertai BFA, dia mula berpegang teguh kepada kepercayaan pengasingan. Sebagai contoh, dia berpandangan bahawa menyambut hari lahir dan bercakap dengan rakan sekelas perempuannya adalah dilarang di bawah undang-undang Islam.

“Dia juga mengambil langkah untuk mempersiapkan diri secara fizikal bagi memperjuangkan BFA. Dia juga berazam untuk menyertai BFA walaupun pihak berkuasa atau keluarganya cuba menghalangnya,” kata kenyataan itu.

ISD berkata remaja tersebut telah merancang untuk menjimatkan wang menerusi kerja sambilan untuk membiayai perjalanannya ke Afghanistan, tempat dia percaya BFA akan muncul.

Remaja tersebut juga sanggup melakukan serangan di Singapura atas arahan BFA, jika dia tidak dapat pergi untuk menyertai BFA.

Secara berasingan, remaja itu juga telah telah memulakan kumpulan sembang dalam talian untuk menyebarkan pemahaman radikal kepada beberapa rakan sekolah.

Dia berkongsi video dan pautan mengenai keganasan bersenjata, serta beberapa video dirinya sebagai seorang pejuang pengganas.

Menurut ISD, remaja tersebut berharap dapat mengembangkan keahliannya kepada 60 hingga 100 orang untuk menyebarkan pemahamannya.

“Apabila dia telah mengumpul jumlah yang mencukupi, dia bercita-cita untuk melakukan serangan terhadap masyarakat bukan Islam semasa perayaan tempatan mereka seperti Tahun Baru Cina, Krismas dan Deepavali.

“Dia berharap serangan sedemikian akan menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang bukan Islam, untuk menghalang mereka daripada perayaan “tidak Islamik” itu, dan memudahkan penubuhan negara Islam di Singapura,” kata ISD.

ISD berkata siasatan setakat ini menunjukkan bahawa pemuda itu bertindak bersendirian dan tidak berjaya untuk menyebar pemahaman radikal atau merekrut rakan sekolahnya.

Ia menambah walaupun ahli keluarganya tidak menyedari bahawa dirinya telah diradikal secara sendiri, ibu bapanya telah melihat ungkapan kepercayaannya yang semakin terasing, tetapi tidak menganggap ia perlu campur tangan dan bantuan.

“Sebagai sebahagian daripada program pemulihan remaja tersebut, dia akan menjalani kaunseling agama oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) untuk menangani salah persepsi agama yang telah menyumbang kepada ideologi ganas dan ekstremisnya.

“Beliau juga akan menerima kaunseling psikologi oleh ahli psikologi ISD, untuk menangani faktor bukan ideologi yang menyebabkan beliau terdedah kepada radikalisasi. Memandangkan usianya yang masih muda, dia akan ditugaskan dengan mentor RRG,” kata ISD.

ISD menambah pegawainya juga akan bekerjasama rapat dengan keluarga dan sekolah remaja tersebut untuk memastikan dia mendapat sokongan yang mencukupi untuk terus berada di landasan pemulihannya, dan agar pelajarannya tidak akan terganggu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg