Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar ACJC muncul pelatih terbaik kelab penerbangan belia

Dinobat Anugerah Penerbangan Terbaik dalam kohort terdiri daripada 29 peserta semasa majlis terima lesen juruterbang CAAS
May 17, 2025 | 1:00 PM
 Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC),  rsaf, juruterbang, Zaqeerul Iman Shamshul Qamar
Sebagai pelatih juruterbang dalam program Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC), Zaqeerul Iman Shamshul Qamar, pelajar tahun kedua Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC), menyimpan cita-cita untuk menjadi juruterbang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cita-cita yang dipendam sejak kecil untuk menjadi juruterbang merupakan pembakar semangat bagi Zaqeerul Iman Shamshul Qamar untuk mengecapi impian tersebut.

Kini, 11 tahun kemudian, remaja berusia 17 tahun itu yang sedang menuntut di tahun kedua Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC), muncul sebagai salah seorang pelatih terbaik Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC) semasa menerima Lesen Juruterbang Persendirian (PPL) yang dikeluarkan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Anak kedua daripada empat beradik itu dinobatkan Anugerah Penerbangan Terbaik dalam kohortnya, yang terdiri daripada 29 peserta.

“Saya sangat bersyukur menerima anugerah ini kerana ia membuktikan bahawa kerja keras saya telah membuahkan hasil.

“Saya tahu ini baru satu permulaan untuk saya dalam bidang penerbangan,” katanya yang mula jatuh cinta dengan pesawat semasa menghadiri Pameran Udara Singapura pada 2014 bersama keluarganya.

Menurutnya, beliau tertarik melihat bagaimana sesebuah pesawat itu boleh melakukan gerakan yang kompleks semasa di udara dan sejak itu beliau membulatkan tekad untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pengangkutan ini.

Semasa menuntut di sekolah menengah, Zaqeerul menyertai kegiatan kokurikulum (CCA) Aeromodelling, menghasilkan reka bentuk pesawat di SYFC pada setiap Sabtu.

Dia kemudiannya memohon menyertai Kursus Asas Penerbangan SYFC pada usia 16 tahun, program elit yang menjadi batu loncatan ke arah PPL.

Zaqeerul yang telah mengikuti kursus PPL sejak 2024, akur bahawa dirinya agak gementar semasa hendak mengendalikan pesawat semasa ujian akhirnya.

Berlatih sebagai juruterbang sambil mengimbangi akademik bukan sesuatu yang mudah kerana Zaqeerul terpaksa menyusun jadual sesi penerbangannya pada hujung minggu dan petang Rabu, katanya.

“Bidang penerbangan menuntut disiplin yang tinggi. Dari ketinggian hingga kelajuan, semuanya perlu tepat,” ujarnya.

Mengimbau kembali detik penerbangan pertamanya, Zaqeerul berkata:

“Saya sangat gementar, saya ulang kaji senarai yang perlu dilakukan berulang kali semasa dalam bas menuju ke SYFC.

“Tetapi apabila pesawat mula berlepas, segala kegusaran hilang, diganti dengan rasa teruja dan kagum.”

Zaqeerul kini mampu menerbangkan pesawat ringan yang berenjin tunggal.

Pesawat ringan berenjin tunggal ialah pesawat kecil yang hanya menggunakan satu enjin untuk terbang dan biasanya direka bagi penerbangan jarak dekat atau latihan.

Bagi Zaqeerul, langkah seterusnya adalah untuk cuba menyertai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

“Apabila saya menyertai kursus mengendali penerbangan di SYFC, saya bertemu dengan mantan juruterbang RSAF dan mendengar kisah mereka yang memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada mereka,” katanya lagi.

Majlis penyampaian itu berlangsung pada 17 Mei dan disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara merangkap Pengerusi Lembaga Gabenor SYFC, Mejar Jeneral (MG), Kelvin Fan Sui Siong.

Dalam ucapannya, MG Kelvin Fan memuji semangat dan ketekunan para graduan muda yang berjaya menamatkan kursus PPL yang mencabar, sambil menggalas tanggungjawab sebagai pelajar dan anak.

Ditubuhkan pada 1971 sebagai Kelab Penerbangan Muda, SYFC telah melatih lebih 8,000 pelajar dengan lebih 1,300 daripada mereka berjaya mendapatkan PPL.

Program itu bukan sahaja melahirkan juruterbang teknikal, tetapi juga membentuk sifat daya tahan, ketepatan dan keberanian, kualiti penting dalam kerjaya ketenteraan mahupun awam.

Saya sangat bersyukur menerima anugerah ini kerana ia membuktikan bahawa kerja keras saya telah membuahkan hasil. Saya tahu ini baru satu permulaan untuk saya dalam bidang penerbangan.
Zaqeerul Iman Shamshul Qamar.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg