Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelepasan automatik bakal mula di jeti West Coast, Marina South mulai 2027

May 13, 2025 | 12:22 PM
Marina South Pier, West Coast Pier, ICA
Kerja penambahbaikan yang dirancang di Marina South Pier (gambar) dan West Coast Pier akan membolehkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) melaksanakan pelepasan imigresen secara automatik. - Foto ST

Mulai 2027, mereka yang memasuki Singapura melalui Marina South Pier dan West Coast Pier akan dapat melepasi imigresen dengan lebih cepat menggunakan laluan automatik, setelah kerja-kerja penambahbaikan selesai.

Kerja pengubahsuaian juga akan dijalankan di Terminal Feri Changi Point, namun rancangan untuk memperkenalkan pelepasan imigresen automatik di sana masih belum disahkan.

Kerja penambahbaikan di jeti West Coast dan Marina South akan bermula pada Disember 2025 dan dijangka selesai pada separuh pertama 2027, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), lapor The Straits Times.

Pada masa ini, pengembara yang menggunakan laluan lautan ini perlu melalui imigresen di kaunter yang dijaga di kededua tempat pemeriksaan ini.

Kaunter-kaunter ini akan digantikan secara berperingkat dengan laluan automatik dan kios imigresen untuk pelepasan sendiri, kata ICA. Pelepasan imigresen akan terus tersedia sepanjang tempoh ini.

Menurut pihak berkuasa, apabila kerja-kerja ini selesai, semua pengembara di kededua jeti ini akan dapat menggunakan perkhidmatan pelepasan automatik.

Pengembara yang menggunakan laluan automatik ini perlu mengimbas pasport mereka sebelum menjalani imbasan biometrik seperti pemeriksaan wajah dan iris.

Dengan pelaksanaan secara berperingkat pelepasan automatik, ICA juga akan dapat mengatur semula tugas para pegawainya.

Pegawai imigresen yang sebelum ini bertugas di kaunter manual di jeti akan diberi tugas menilai pelancong yang melalui laluan automatik dan mengenal pasti mereka yang mencurigakan untuk pemeriksaan lanjut.

Secara keseluruhan, ICA menyatakan bahawa sehingga 1 April, hampir 14 juta pelancong telah melepasi imigresen tanpa perlu menunjukkan pasport mereka di pusat pemeriksaan udara dan laut Singapura.

Menurut dokumen di laman pemerolehan tender pemerintah, GeBiz pada 8 April, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan ICA sedang mencari pasukan perunding untuk melaksanakan penambahbaikan di Marina South Pier, West Coast Pier, dan Terminal Feri Changi Point.

Marina South Pier digunakan sebagai perhentian bagi penumpang feri ke Pulau Selatan dan kapal di kawasan timur. Ia berkeluasan 3,000 meter persegi dengan bangunan tiga tingkat yang menempatkan imigresen, kedai makanan, dan kaunter tiket.

Pulau Selatan termasuk Pulau Sentosa, Pulau St John dan Pulau Lazarus.

West Coast Pier digunakan oleh penumpang ke kapal sekitar Pulau Jurong dan Pulau Bukom, dan berkeluasan 970 meter persegi dengan bangunan satu tingkat yang ada kemudahan imigresen.

Terminal Feri Changi Point di timur Singapura pula digunakan untuk perjalanan ke pulau seperti Pulau Ubin, dengan keluasan 1,500 meter persegi dan terdiri daripada bangunan satu tingkat.

Ketiga-tiga terminal ini akan dinaik taraf dengan ruang dan kemudahan untuk pelepasan imigresen automatik.

Kos pembinaan dianggarkan berjumlah $4 juta.

ICA menjelaskan bahawa jumlah pelancong di West Coast dan Marina South Pier lebih rendah berbanding pusat pemeriksaan lain, tetapi masih berlaku kesesakan semasa waktu sibuk kerana ruang menunggu yang terhad.

Laluan automatik dan kiosk kendiri akan membantu mengurangkan masa menunggu dan mengurus jumlah pelancong yang tinggi.

Sistem ini juga membolehkan ICA menggunakan data awal dan analitik untuk mengesan pelancong berisiko tinggi sebelum mereka tiba di Singapura. Mereka akan dikenakan pemeriksaan lebih ketat jika diperlukan.

Laluan automatik itu turut dilengkapi sistem keselamatan untuk mengesan pasport palsu dan identiti berganda, termasuk individu yang pernah melakukan jenayah di Singapura.

Tender ditutup pada 21 April dengan 16 penyertaan, termasuk syarikat Arup Singapore dan TA.LE Architects. 

Pelepesan imigresen tanpa pasport kini tersedia di Lapangan Terbang Changi, Pusat Kapal Persiaran Marina Bay, dan Terminal Feri Tanah Merah.

Di Lapangan Terbang Changi, pelancong boleh melepasi imigresen dalam sekitar 10 saat melalui imbasan biometrik.

ICA akan meluaskan sistem tanpa pasport ini ke pusat pemeriksaan lain secara berperingkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg