Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar cekal harungi cabaran peperiksaan GCE ‘O’, bahas

Jun 18, 2024 | 5:30 AM
Pelajar Prauniversiti Satu Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Sofiyyah Mohd Amirullah, 17 tahun merupakan pelajar Madrasah yang menerima anugerah LBKM bagi kategori Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’.
Pelajar Prauniversiti Satu Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Sofiyyah Mohd Amirullah, 17 tahun merupakan pelajar Madrasah yang menerima anugerah LBKM bagi kategori Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Jadualnya yang padat tidak menghalang Sofiyyah Mohd Amirullah, 17 tahun, daripada memenangi Anugerah Madrasah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Walaupun demikian, pelajar dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah itu menunjukkan daya tahan dengan mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ sambil mewakili Singapura dan memenangi pertandingan bahas dalam bahasa Arab di Qatar.

Sofiyyah dicalonkan oleh sekolahnya bagi kategori GCE ‘O’ dan merupakan salah seorang daripada tiga penerima anugerah dari enam madrasah sepenuh masa di sini.

Apa yang menarik, dia merupakan pelajar pertama dalam sejarah madrasah itu untuk menerima anugerah LBKM dalam kategori itu.

Beliau menerima anugerah tersebut di Hotel Holiday Inn Singapore Atrium pada 24 Mei.

Antara cabaran yang dilaluinya adalah menyertai pertandingan bahas yang dimenanginya sebulan sebelum peperiksaan GCE ‘O’.

Pada tempoh itu, Sofiyyah perlu menguruskan masanya antara melakukan persiapan bagi pertandingan bahas itu dan juga peperiksaan.

Persiapan untuk peperiksaan prelim (ujian awal) juga ,harus diselang-selikannya dengan latihan bahas yang intensif.

Cabaran ini mendorong Sofiyyah untuk melakukan yang terbaik.

“Saya percaya pada setiap titik kehidupan kita, kita akan lalui pelbagai cabaran.

“Saya percaya cabaran ini akan menguatkan saya untuk lebih bersedia menghadapi lebih banyak cabaran di masa hadapan.

“Sudah tentu sewaktu pertandingan bahas, terdapat perasaan putus asa, namun guru dan jurulatih bahas kami akan sentiasa mengingatkan tentang niat kami sertai bahas itu, iaitu ingin membanggakan negara dan madrasah,” tambahnya.

Kata-kata itulah yang menaikkan lagi semangat Sofiyyah dan teman-temannya untuk melakukan yang terbaik sewaktu pertandingan itu.

Minat Sofiyyah pada bahas berputik di madrasah tersebut, di mana para pelajar dibesarkan dengan budaya bahas dan ia menjadi kegemaran pelajar.

“Sewaktu saya berada di peringkat rendah dan menengah, pelajar senior di sekolah akan sering menyertai dan memenangi pertandingan bahas.

“Saya terdorong untuk menyertai pertandingan bahas apabila saya melihat mereka dapat berdebat dalam bahasa Melayu dan Arab dengan lancar sekali.”

Beliau terdorong untuk lakukan yang terbaik di pertandingan bahas di Qatar selepas dipilih sendiri oleh mudirah Madrasah Alsagoff, Ustazah Asyunifar Abu untuk bertanding.

Sistem sokongan yang baik daripada keluarga dan guru juga memainkan peranan penting dalam kejayaan beliau.

Mereka sering menanyakan keadaan Sofiyyah dan sering memastikan beliau mendapat rehat dan ulang kaji yang secukupnya.

Sofiyyah Mohd Amirullah (tengah) dilihat bergambar bersama bapanya, Ustaz Mohammad Amirullah (kiri) dan ibunya, Ustazah Siti Khadijah Abidin (kanan). Ibu bapanya merupakan antara sistem sokongan beliau dalam pelajaran dan bahas.
Sofiyyah Mohd Amirullah (tengah) dilihat bergambar bersama bapanya, Ustaz Mohammad Amirullah (kiri) dan ibunya, Ustazah Siti Khadijah Abidin (kanan). Ibu bapanya merupakan antara sistem sokongan beliau dalam pelajaran dan bahas. - Foto NUR DIYANA TAHA

Bapanya, Ustaz Mohammad Amirullah, merupakan seorang pendakwah bebas manakala ibunya, Ustazah Siti Khadijah Abidin, ialah naib mudirah di madrasah yang sama.

Segala usaha beliau membuahkan hasil dan mendapat pengiktirafan yang selayaknya melalui anugerah LBKM ini.

Sofiyyah, yang mempunyai seorang abang dan adik, kini berada di Prauniversiti Satu di madrasah yang sama dan bercita-cita menjadi seorang doktor serta ingin berbakti kepada masyarakat Islam di Singapura.

Namun buat masa ini, dia mengetepikan cita-citanya itu dan ingin melaksanakan perkara yang lebih penting iaitu melanjutkan pengajian di dalam bidang ukhrawi.

Dengan minatnya dalam mata pelajaran Sains dan Tafsir, Sofiyyah ingin melanjutkan pengajian sarjana mudanya di Universiti Al-Azhar selepas selesai tamat pengajiannya di peringkat prauniversiti.

“Saya ingin meneruskan pengajian di dalam bidang ini (ukhrawi) kerana ia penting buat pelajar madrasah seperti saya, supaya ia dapat membimbing saya sepanjang hidup saya.

“Saya ingin menjadi seorang ustazah dan membantu masyarakat Islam di Singapura,” katanya lagi.

“Saya percaya pada setiap titik kehidupan kita, kita akan lalui pelbagai cabaran. Saya percaya cabaran ini akan menguatkan saya untuk lebih bersedia menghadapi lebih banyak cabaran di masa hadapan.”
Sofiyyah Mohd Amirullah, 17 tahun, pemenang Anugerah Madrasah LBKM bagi kategori GCE Peringkat ‘O’ dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg