Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar cemerlang Kolej Islam Muhammadiyah manfaat ilmu untuk masyarakat

Usaha sebar kebaikan, keadilan dititik berat agar pelajar kekal relevan
Nov 3, 2025 | 5:15 PM
achmad fatha asghari kasman, kolej islam muhammadiyah (KIM), ijazah tafsir dan hadith
Ustaz Achmad Fatha Asghari Kasman, antara 243 lulusan pada Majlis Konvokesyen kesembilan Kolej Islam Muhammadiyah (KIM), bersyukur dinobatkan sebagai pelajar terbaik dalam program Ijazah Tafsir dan Hadith. - Foto BH oleh KHALID BABA

Keinginan mendalam untuk menimba ilmu agama menjadi pemangkin utama bagi dua lulusan Kolej Islam Muhammadiyah (KIM), Ustaz Achmad Fatha Asghari Kasman dan Cik Saliha Abdul Aziz, bagi meneruskan pengajian mereka meskipun sibuk dengan tanggungjawab kerja dan keluarga.

Bagi kedua-duanya, perjalanan akademik itu bukan sekadar menambah pengetahuan, tetapi juga satu usaha mendekatkan diri kepada agama serta menyumbang semula kepada masyarakat.

Ustaz Achmad dan Cik Saliha merupakan antara 243 lulusan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen kesembilan KIM yang diadakan di De Villa @ Centrium Square pada 1 November.

Ini merupakan jumlah lulusan tertinggi dalam sejarah kolej itu, meliputi lulusan daripada peringkat sijil hingga ijazah.

Tetamu terhormat pada konvokesyen itu ialah Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.

Ustaz Achmad, 35 tahun, bersyukur kerana akhirnya menamatkan program Ijazah Tafsir dan Hadith sejak memulakannya pada 2017.

Beliau sepatutnya menamatkan pengajian diploma pada 2020, namun terpaksa menangguhkannya selama beberapa tahun kerana pandemik Covid-19 dan komitmen peribadi.

Akhirnya, beliau berjaya menamatkan pengajian pada 2024 sambil mengimbangi kerjayanya sebagai guru sepenuh masa di Nadi Furqan, sebuah pusat pembelajaran Al-Quran di Tampines.

Ustaz Achmad, yang juga diiktiraf Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), turut mempunyai kelulusan dalam beberapa sijil dan diploma berkaitan pengajian agama dan Al-Quran di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.

Pada majlis konvokesyen tersebut, beliau menerima Sijil Kecemerlangan atas prestasi menggalakkan sehingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik bagi program ijazahnya.

“Perjalanan ini bermula ketika saya masih menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan pada masa itu, saya mempunyai banyak masa untuk membuat refleksi.

“Saya banyak beribadah di bunk (tempat berehat) untuk mengekalkan ketahanan mental, tetapi pada satu hari saya bertanya kepada diri sendiri ‘sejauh mana sebenarnya saya mengenali agama saya?’

“Kesedaran itulah yang mencetuskan semangat saya untuk memperdalam ilmu agama,” jelasnya.

Menurut Ustaz Achmad, pengajian di KIM bukan sahaja memperluas pengetahuan agamanya, tetapi juga pengetahuan dalam konteks kehidupan harian, seperti kemahiran menilai kesahihan sumber berita.

“Dalam salah satu modul ijazah saya yang dipanggil Takhrij Hadith, kami mempelajari cara menentukan kesahihan sesuatu hadis.

“Melalui modul itu, saya semakin menghargai usaha ulama terdahulu yang melakukannya tanpa kemudahan Internet seperti sekarang,” tambahnya.

Sementara itu, Cik Saliha, 39 tahun, menyifatkan kejayaannya menamatkan Diploma Syariah Islamiyyah sebagai satu anugerah selepas hampir tiga tahun bergelut antara kerja, tanggungjawab keluarga dengan pengajian.

Beliau memulakan pengajian diploma itu pada Januari 2022 dan menamatkannya pada Disember 2024.

Cik Saliha, yang merupakan seorang kakitangan awam, turut dilantik sebagai ‘valedictorian’ (pelajar terbaik yang diminta menyampaikan ucapan salam perpisahan) pada majlis konvokesyen tersebut.

Sebelum melanjutkan pengajiannya ke peringkat diploma, beliau terlebih dahulu menamatkan Sijil Pengajian Islam di KIM pada 2021.

“Ustaz saya banyak menggalakkan kami untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma. Saya juga kagum dengan struktur kurikulum dan pendekatan pengajaran di KIM.

“Terdapat banyak pembelajaran berasaskan projek, perbincangan kumpulan dan penyelidikan, yang membolehkan kami meluaskan pengetahuan secara kolektif,” katanya.

Menurut Cik Saliha, apa yang paling menarik minatnya sepanjang program diploma ialah pendedahan kepada pelbagai ilmu seperti fiqh, hadis dan falsafah Islam.

Sebagai ibu seorang anak lelaki berusia 10 tahun, Cik Saliha turut meluangkan masa setiap hujung minggu sejak Jun 2024, untuk mengajar secara sukarela kelas Iqra kepada kira-kira 20 kanak-kanak di Masjid Mujahiddin yang terletak di Stirling Road.

“Pada masa hadapan, saya ingin menggunakan diploma saya bagi menyebarkan ilmu kepada orang lain dan memberi ilham kepada mereka untuk berdakwah serta mendalami agama,” kongsinya.

Menurut Pengarah KIM, Cik Faiszah Abdul Hamid, majlis konvokesyen kali ini, yang menyaksikan jumlah tertinggi lulusan setakat ini, menandakan peranan berterusan kolej itu untuk memperkasa ilmu Islam dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Tambahnya, jumlah lulusan menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap peranan KIM dalam menyediakan pendidikan Islam yang bermutu.

“Ini juga bermakna kami mesti terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan keperluan umat Islam di Singapura yang sentiasa berubah.

“Kami berhasrat melahirkan pelajar yang mahir dalam bidang masing-masing tetapi tetap berpegang teguh kepada pandangan dunia Islam agar mereka dapat menyebarkan kebaikan, keadilan, dan kasih sayang,” ujarnya.

Cik Faiszah menambah KIM kini sedang bekerjasama dengan beberapa universiti di Malaysia bagi meneroka kemungkinan menawarkan program ijazah sarjana berasaskan kerja kursus, serta ijazah Sarjana Muda yang dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, usaha ini bertujuan memenuhi keperluan golongan karyawan yang mungkin mendapati program ijazah sarjana berasaskan tesis terlalu memakan masa, dan bagi mereka yang lebih mahir berbahasa Inggeris.

Kolej Islam Muhammadiyah perluas pengetahuan agama, kehidupan harian

Dalam salah satu modul ijazah saya yang dipanggil Takhrij Hadith, kami mempelajari cara menentukan kesahihan sesuatu hadis. Melalui modul itu, saya semakin menghargai usaha ulama terdahulu yang melakukannya tanpa kemudahan Internet seperti sekarang.
Ustaz Achmad Fatha Asghari Kasman.

Ustaz saya banyak menggalakkan kami untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma. Saya juga kagum dengan struktur kurikulum dan pendekatan pengajaran di KIM. Terdapat banyak pembelajaran berasaskan projek, perbincangan kumpulan dan penyelidikan, yang membolehkan kami meluaskan pengetahuan secara kolektif.
Cik Saliha Abdul Aziz.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg