Sekitar 40 pelajar institusi pengajian tinggi, termasuk maktab rendah (JC) dan madrasah sepenuh masa, mendapat bimbingan dan nasihat daripada karyawan guaman dalam sebuah bengkel anjuran Rangkaian Karyawan Guaman Mendaki pada 25 Januari.
Bengkel ‘Carta Laluan Anda Menuju Kerjaya Undang-Undang Hebat’ itu berlangsung di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) di Eunos Road.
Ia memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka laluan kerjaya yang pelbagai dalam bidang undang-undang serta memahami lebih mendalam tentang peranan berbeza tersebut.
Pelajar itu juga mendapat panduan tentang, antara lain, cara mengemudi proses kemasukan sekolah serta perkara yang perlu diberi perhatian semasa memasuki sekolah undang-undang.
Seorang anggota Rangkaian Karyawan Guaman Mendaki, Cik Syazana Yahya, berkata bengkel tersebut bertujuan memberi inspirasi dan menggalak belia mempertimbang kerjaya dalam bidang guaman.
“Dengan menghubungkan belia dengan karyawan guaman, kami berharap dapat mencetuskan minat dalam sekolah guaman dan menunjukkan bahawa kerjaya dalam bidang guaman adalah pelbagai, bermanfaat dan boleh dicapai.
“Lebih daripada itu, kami juga mahu memupuk semangat kemasyarakatan dan sokongan antara peguam, pelajar undang-undang dan belia supaya kami dapat belajar daripada satu sama lain dan berkembang bersama,” kata Cik Syazana, 34 tahun.
Peserta bengkel itu juga berpeluang menyertai sesi perkongsian ‘World Cafe’ yang dikemudi oleh 12 karyawan guaman berpengalaman, termasuk peguam negara, hakim daerah dan pakar undang-undang.
Pakar guaman daripada Akademi Undang-Undang Singapura itu berkata rangkaian tersebut berharap dapat menganjurkan lebih banyak bengkel, perjalanan pembelajaran dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia pada masa hadapan.
“Lebih penting lagi, kami mahu membina daripada bengkel ini dan terus memupuk masyarakat yang saling menyokong antara satu sama lain,” kata Cik Syazana, yang juga seorang ibu dua anak.
Seorang peserta, Cik Fellah Citra Feroz Muhamad, dari Maktab Rendah Victoria, bercita-cita menjadi peguam kerana percaya “adalah penting setiap orang mempunyai peluang mendapatkan keadilan”.
Khususnya, dia ingin menjadi peguam yang dapat mengendalikan kes kecuaian perubatan dan membantu rakyat Singapura dengan masalah guaman yang mereka hadapi.
”Daripada acara hari ini, saya mempelajari lebih mendalam tentang mengapa peguam memilih mengikuti bidang amalan berbeza. Saya belajar bahawa dengan ijazah undang-undang, kita boleh meneroka banyak kerjaya yang berbeza.
“Kita tidak semestinya bertugas di mahkamah. Kita juga boleh bekerja dalam bidang penggubalan dasar atau menjadi peguam dalam syarikat,” ujar pelajar berusia 18 tahun itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg