Kohort kedua program Tunas Bersama M3 kelolaan Yayasan Mendaki telah memulakan program mereka pada Jun 2024 dan dijangka tamat pengajian pada Disember 2025 berikutan program pembangunan kepimpinan selama 18 bulan.
Kohort tersebut terdiri daripada 23 pemimpin masyarakat termasuk wakil Pertubuhan Melayu/Islam (MMO), Pengerusi M3@Bandar, Ketua dan Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Mendaki serta pemimpin belia daripada Kelab Mendaki (MClub).
Program Tunas Bersama M3 bertujuan memupuk generasi pemimpin MMO akan datang dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian untuk memimpin masyarakat Melayu/Islam dan organisasi mereka.
Semasa sidang media di bangunan Yayasan Mendaki di Kee Sun Avenue pada 9 Oktober, Timbalan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata:
“Kohort pertama adalah pemimpin daripada MMO dan kebanyakan daripada mereka kemudiannya menjadi pengerusi atau presiden organisasi mereka. Program 18 bulan itu adalah pendedahan yang baik bagi mereka.
“Program ini adalah pelaburan yang besar, yang mungkin tidak mampu dimiliki kebanyakan MMO untuk kepimpinan mereka sendiri. Jadi, ini adalah satu manfaat yang Mendaki bantu MMO.”
Naib Presiden Kedua Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Nur Khairah Abdul Rahim, merupakan salah seorang daripada 23 pemimpin yang meraih manfaat daripada program tersebut, seperti “wawasan kepimpinan melalui latihan dan perbincangan terbuka”.
Ini, katanya, membantu PPIS dalam mengkaji semula strategi yang dilaksanakan.
“Kami telah pun mula menggunakan dan berkongsi beberapa rangka kerja dalam beberapa jawatankuasa penasihat (AC) seperti Digital Transformation AC dan berharap untuk menyemak perkaitannya di seluruh organisasi,” tambah beliau.
Bagi Pengerusi M3@Jalan Besar, Encik Didicazli Ismail, pengetahuan, kemahiran serta bimbingan daripada pemimpin masyarakat mapan akan meningkatkan keupayaannya untuk mencipta impak yang bermakna dalam organisasinya.
Beliau berkata: “Ia memperkasakan saya untuk menggunakan pelajaran yang diraih untuk memacu perubahan positif dalam kapasiti yang saya berkhidmat, membolehkan kami memenuhi keperluan komuniti kami dengan lebih baik dan mencapai matlamat kolektif kami.”
Program tersebut, yang dahulunya menyasar pemimpin dari MMO, kini diluaskan ke pemimpin daripada Mendaki.
Antaranya ialah Encik Khairilanwar Baharudin, Ketua Rangkaian Karyawan Sumber Manusia Mendaki, yang berpendapat bahawa program tersebut akan mempertajam keupayaannya dalam memimpin dengan empati, keterangkuman dan tujuan.
“Saya percaya ia akan mengukuhkan keupayaan saya untuk berkhidmat dengan impak yang lebih besar dalam peranan saya. Saya tidak sabar untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh, kerjasama yang memberi inspirasi dan membina persekitaran di mana ahli rangkaian boleh berkembang maju secara bermakna bersama-sama,” kata beliau.
Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Sains Hayat Mendaki, Dr Erlyani Abdul Hamid, turut mempelajari cara berfikir secara sistematik untuk mendekati isu kompleks yang besar dan membangunkan penyelesaian.
“Ini akan membantu saya dalam memahami keperluan karyawan Melayu/Islam dan memperhalusi penyelesaian yang boleh kami bawa ke rangkaian,” ujar beliau.
Sebelum ini, 13 pemimpin masyarakat daripada kohort pertama telah menamatkan program tersebut dan majlis tamat pengajian bagi kohort tersebut diadakan pada 24 April lalu di Hotel Voco di Orchard Road.
Mereka telah mengambil peranan kepimpinan di peringkat kebangsaan dan komuniti, dan memulakan sejumlah tujuh projek komuniti untuk memartabatkan dan memperkasakan komuniti.
Inisiatif program Tunas Bersama M3 pertama kali diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Majlis Perjumpaan Hari Raya secara maya pada Mei 2021 dan dimulakan pada 2022.
Kohort Kedua Program Tunas Bersama M3:
1. Cik Nur Khairah Abdul Rahim, Naib Presiden Dua Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)
2. Encik Muhammad Hafiz Noorahman, Presiden Perdaus
3. Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat, Naib Presiden Persatuan Muhammadiyah
4. Cik Nadia Yeo, Mantan Naib Presiden Terkini Kelab Mendaki
5. Cik Nur Hazimah Abdul Halim, Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS)
6. Dr Raj Kamal S/O Abdul Rasheed, Naib Presiden IM.PROF
7. Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid, Setiausaha Kehormat Pergas
8. Syed Faisal Syed Ismail, Timbalan Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM)
9. Encik Azuan Tan, Pengerusi M3@Pasir Ris – Punggol
10. Encik Didicazli Ismail, Pengerusi M3@Jalan Besar
11. Encik Sugyanto Suryono, Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Hang Jebat
12. Syed Abdullah Aljunied, Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Omar Kampong Melaka
13. Encik Shamir Wahid, Bendahari Kehormat Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS)
14. Encik Khairilanwar Baharudin, Ketua Rangkaian Karyawan Sumber Manusia Mendaki
15. Kolonel Muhammad Helmi Khaswan, Ketua Rangkaian Karyawan Sektor Awam Mendaki
16. Cik Faridah Mohd Saad, Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Sektor Awam Mendaki
17. Encik Ahmad Firdaus Daud, Ketua Rangkaian Karyawan Undang-Undang Mendaki
18. Encik Imran Rahim, Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Undang-Undang Mendaki
19. Cik Satria Sadon, Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Teknologi Mendaki
20. Dr Erlyani Abdul Hamid, Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Sains Hayat Mendaki
21. Encik Firdaus Hamzah, Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Kejuruteraan Mendaki
22. Encik Asyraf Salman, Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Perbankan dan Kewangan Mendaki
23. Cik Noretta Jacob, Penolong Ketua Rangkaian Karyawan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Mendaki


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg