Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar gilap keyakinan, komunikasi lancar lalui program ‘Studio 91’
Pelajar gilap keyakinan, komunikasi lancar lalui program ‘Studio 91’
Usaha Sekolah Rendah Junyuan beri ruang pelajar terpilih asah bakat jadi wartawan, penyiar radio
Pelajar gilap keyakinan, komunikasi lancar lalui program ‘Studio 91’
Peluang pelajar Sekolah Rendah Junyuan membangun keyakinan diri dan kemahiran komunikasi menerusi peranan sebagai penyiar radio dan wartawan sekolah terbuka luas dengan adanya Program Pembelajaran Gunaan (ALP) yang dikenali sebagai Studio 91.
Menerusi program ini, pelajar terpilih dapat menyediakan skrip, menyampaikan pengumuman dan menjalankan temubual bagi acara sekolah sempena Hari Raya dan Hari Keharmonian Kaum.
Berita Harian (BH) diundang ke studio rakaman Junyuan baru-baru ini untuk meninjau pelaksanaan program tersebut yang bermula sejak 2014.
Wartawan juga berpeluang menyaksikan persiapan pelajar yang terlibat dalam program dengan rangka kerja ‘Penyampai Berkeyakinan Diri’, yang dibangunkan guru sekolah berkenaan.
Sebelum setiap pengumuman pelajar disiarkan, mereka berlatih skrip masing-masing di hadapan guru yang memberi arahan tentang postur badan sambil memegang kad tunjuk dengan arahan bertulis ‘Louder’ (kuatkan suara) atau ‘Slow down’ (perlahankan suara) untuk membimbing pelajar.
Nur Nyla Afiah Mohamed Khairul, 12 tahun, murid Darjah 6 yang menyertai Kelab Studio 91 pada awal 2025, berkata: “Saya boleh menyampaikan perasaan saya kerana saya rasa selamat berada dalam studio tertutup, berbanding di luar yang mungkin ada ramai orang.”
Walaupun peranan sebagai penyiar radio memerlukan Nur Nyla bercakap di hadapan mikrofon, dia menjelaskan persediaan rapi membolehkannya menyediakan skrip dan menyunting kata-kata terlebih dahulu dalam keadaan yang tidak terlalu menimbulkan tekanan.
Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, Cik Noorazlina Mad Shah, berkata walaupun guru-guru membimbing pelajar, mereka tetap bertanggungjawab di atas skrip dan penyampaian masing-masing.
“Kami tidak boleh mengajar komunikasi yang dibuat secara spontan. Kami hanya mendedahkan pelajar kepada wadah sebegini bagi membolehkan mereka menerapkan penggunaan bahasa secara lebih yakin dari masa ke masa.
“Studio 91 memberi kuasa kepada pelajar agar berdikari kerana mereka perlu membuat kajian tentang topik yang ingin dikongsi dengan rakan-rakan lain.
“Aspek temu bual pula mengajar mereka berfikir secara pantas dan menggalakkan pendengaran aktif pada kata-kata orang yang ditemubual supaya mereka boleh merangka jawapan sesuai secara spontan,” kongsinya.
Pada 2014, penyedia khidmat luar sekolah ditugaskan mengajar pelajar dan guru Junyuan kemahiran komunikasi.
Kini, dengan memanfaatkan teknologi, pelajar juga diajar menggunakan perisian percuma seperti Canva untuk merakam penyampaian secara berkesan.
Pelajar terpilih juga berperanan sebagai wartawan yang menjelajah dan bergerak di sekitar pekarangan sekolah bagi menemu bual rakan sebaya, guru dan juga ibu bapa.
Mereka merancang soalan sendiri, menyesuaikannya secara spontan, dan mengendalikan peralatan rakaman seperti mikrofon dan kamera kecil.
Pendekatan ini bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasi, malah membantu membina keyakinan diri, empati serta kemahiran berfikir secara kritis.
Dengan bimbingan guru, pelajar juga diajar berinteraksi secara sopan dan memahami perspektif orang lain, sekali gus menjadikan pengalaman pembelajaran lebih bermakna dan asli.
“Studio 91 disatukan bersama pakej Penyampai Berkeyakinan Diri kami, mampu menyatukan semua unsur bagi membangun kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar,” tambah Cik Noorazlina.
