Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar RI raih emas pertama Sukan Sekolah Kebangsaan
Pelajar RI raih emas pertama Sukan Sekolah Kebangsaan
Bangkit dengan cemerlang dalam final 200m selepas bergelut dengan koyakan ligamen buku lali
Pelajar RI raih emas pertama Sukan Sekolah Kebangsaan
Tanpa menyedari ligamen buku lalinya telah haus, pelari pecut Institusi Raffles (RI), Leonardo Mennella, pernah mengambil ubat tahan sakit ketika bertanding bagi mengurangkan rasa kurang selesa.
Imbasan pengimejan resonan magnet (MRI) pada November 2024 kemudian mendedahkan punca kesakitan tersebut, iaitu koyakan separa pada tiga ligamen buku lali kirinya.
Mennella mengambil masa dua bulan untuk pulih dengan remaja tersebut sukar untuk menunjukkan prestasi terbaik dalam kejohanan olahraga Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) 2025.
Masalah itu menyebabkannya terlepas perlumbaan final 100 meter dan 200 meter lelaki Divisyen B dengan perbezaan satu kedudukan sahaja.
Mennella menduduki tempat kesembilan dalam kedua-dua acara separuh akhir tersebut, selepas memenangi pingat perak bagi acara 100 meter dan gangsa bagi acara 200 meter Divisyen C pada 2024.
Namun, dia tetap cekal, terus berlatih dan yakin pada diri sendiri.
Pada 13 April, remaja tersebut akhirnya merangkul pingat emas dalam acara final 200 meter lelaki Divisyen B NSG 2026 di Stadium Choa Chu Kang.
Selepas melintasi garisan penamat dengan catatan masa 22.92 saat, Mennella rebah ke tanah sambil menitiskan air mata.
“Sudah empat tahun (saya nantikan detik ini),” kata pelajar Menengah 4 itu.
“Saya tidak pernah berpeluang merasai detik ini dan saya telah mendapat begitu banyak pingat perak, dan untuk kali ini, saya mahukan peluang mendapatkan emas.”
Atlet Sekolah Anglo-Chinese (Bebas), Matthew Chalissery, menduduki tempat kedua dengan catatan masa 22.95 saat, manakala Thamir Khairan Faduli (23.15 saat) daripada Sekolah Sukan Singapura merangkul pingat gangsa.
Mengimbas kembali musim 2025 yang disifatkannya sebagai “menyedihkan”, Mennella tetap menghargai fasa tersebut dan berkata:
“Tanpa fasa itu, saya pasti tidak akan meraih pencapaian ini sekarang.”
Menurut Mennella, pengajarannya adalah untuk sentiasa percaya pada diri sendiri.
“Satu bab yang buruk tidak bermakna cerita itu telah berakhir – kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan – dan saya perlu terus mempercayai proses tersebut serta terus melangkah,” kata Mennella.
Mendedahkan bahawa dia turut mendapatkan bantuan ahli psikologi, Mennella menambah:
“Dari segi mental, saya sebenarnya tidak begitu kuat, saya sering berasa sangat gementar sebelum perlumbaan.
“Saya mula berjumpa ahli psikologi untuk mempersiapkan diri untuk perlumbaan dengan lebih baik.”
Rakan sepasukannya, Daryen Ko, turut melakar kejayaan pada 13 April.
Selepas memecahkan rekod acara 400 meter lompat pagar lelaki Divisyen B pada 2025, remaja berusia 17 tahun itu mencapai kejayaan berganda pada 2026.
Dengan catatan masa 53.75 saat, Ko bukan sahaja merangkul gelaran juara lelaki Divisyen A, malah turut memecahkan rekod NSG berusia sedekad (54.19 saat) yang dicatatkan Ow Yeong Wei Bin daripada Institusi Hwa Chong (HCI).
Atlet Sekolah Anglo-Chinese (Bebas), Sean Yoo, menduduki tempat kedua dengan 56.39 saat, mendahului Bradley Ang daripada RI (57.56 saat).
Walaupun Ko gembira dapat memecahkan rekod tersebut, dia sedar bahawa catatan masa itu masih jauh daripada rekod peribadi terbaiknya, iaitu 53.13 saat, yang dicatatkan di Kejohanan Singapore Athletics All Comers Meet 2026 pada Mac.
“Saya datang dengan mengetahui apa yang saya mampu lakukan...
“Tahap kecergasan saya belum sempurna, dan saya tahu saya tidak berada dalam keadaan terbaik untuk memecahkan rekod peribadi.
“Namun, mengetepikan soal catatan masa, saya datang dengan penuh yakin terhadap latihan saya bagi musim ini dan saya hanya memberikan yang terbaik.
“Saya sangat bersyukur dapat memecahkan rekod ini, tetapi tumpuan utama saya sentiasa untuk memperbaiki diri sendiri,” kata Ko.
Atlet HCI, Jonathan Hoare, juga tidak terlalu gembira meskipun muncul juara dalam acara final 200 meter lelaki Divisyen A.
Remaja berusia 17 tahun itu mencatat masa 22.25 saat untuk menamatkan larian di depan atlet RI, Wang Qiyue (22.84 saat) dan atlet Maktab Rendah Catholic, John Chua (22.98 saat).
“Meskipun saya menang hari ini, saya tidak begitu berpuas hati dengan catatan masa secara keseluruhan, kerana saya menjangkakan sekitar 21.80 saat memandangkan saya sering mencatatkan masa tersebut semasa latihan.
“Namun, saya mengalami kecederaan baru-baru ini dan menghidap tendinopathy (kecederaan di tendon) pada otot aduktor saya.
“Meskipun cedera, saya masih mampu beraksi dengan agak baik. Jadi, saya cukup bangga dengan diri saya,” kata Hoare.
