Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar ‘hilang’ ditemui di Kemboja selamat pulang ke S’pura
Pelajar ‘hilang’ ditemui di Kemboja selamat pulang ke S’pura
Keluarga mohon orang ramai beri ruang, privasi pulih daripada kejadian
Pelajar ‘hilang’ ditemui di Kemboja selamat pulang ke S’pura
Pelajar Singapura, Cik Siti Aishah Siregar Sahat Siregar, 20 tahun, yang ditemui di Kemboja selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya, telah selamat pulang ke Singapura, menurut satu hantaran Facebook abang Cik Aishah, Encik Muhammad Syafiq Siregar, pada 2 Ogos.
Menurut kenyataan oleh Encik Syafiq, bagi mewakili keluarganya, mereka memohon orang ramai untuk memberi ruang dan privasi kepada mereka sekeluarga untuk pulih daripada apa yang dilalui mereka.
Dalam kenyataan itu, mereka merakamkan penghargaan buat pihak berkuasa dari Singapura dan Kemboja yang telah membantu mereka mencari Cik Aishah dan membolehkan beliau pulang dengan selamat.
Mereka turut memohon maaf, sekiranya kata-kata mereka telah disalah tafsir atau diambil luar konteks.
“Kami tidak pernah berniat untuk melukakan perasaan rakyat Kemboja, sebaliknya hanya mahu mencari adik perempuan kami dan membawanya pulang dengan selamat,” menurut kenyataan itu.
Keluarga Encik Syafiq juga memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian lanjut atau melontarkan komen yang menyakitkan terhadap Cik Aishah mahupun keluarga mereka.
“Kasih sayang terhadap adik kami adalah sebab kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraannya. Ini berasal dari sebuah rumah yang penuh dengan kasih sayang dan keprihatinan.
“Kami mahu memahami dan menyokong kesejahteraannya serta menumpukan perhatian untuk membina semula rasa saling percaya dengan (Cik) Aishah sebanyak mungkin dan kami sedang mendekati pertubuhan yang relevan untuk membantu kami melakukan demikian,” menurut kenyataan itu.
Menerusi kenyataan itu, keluarga Encik Syafiq akur bahawa Cik Aishah mendedahkan bahawa beliau rasa terkongkong dan tertekan.
“Kami mengambil serius perasaannya dan akan mendengar, memahami pengalamannya dan menangani keprihatinannya secara peribadi dan penuh rasa hormat sebagai sebuah keluarga,” kata mereka.
Walaupun berasa lega Cik Aishah kini telah ditemui, mereka turut melahirkan rasa sedih dengan spekulasi dan komen negatif terhadap keluarga itu dan memberi penjelasan tentang sesetengah perkara yang tular dan dipetik di luar konteks.
Antara lain, tiada seorang pun dalam keluarga itu mempunyai akses kepada akaun peribadi Cik Aishah sebelum kehilangannya.
Hanya selepas beliau tidak dapat dihubungi dan mereka tidak tahu di mana beliau berada, mereka mengambil langkah untuk menyemak maklumat yang mereka ada untuk mencari Cik Aishah dan memastikan keselamatannya.
Menurut kenyataan itu juga, ibu bapa Cik Aishah tidak mengambilnya dari sekolah setiap hari.
Sebaliknya, ini hanya dilakukan atas permintaan Cik Aishah atau apabila ibu bapanya menawarkan untuk melakukan demikian. Cik Aishah tidak pernah dipaksa melakukan demikian, menurut kenyataan itu.
Menerusi kenyataan tersebut, Encik Syafiq berkata bapanya juga amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan kepada keluarga itu.
“Buat masa ini, beliau tidak dapat memberikan sebarang ulasan lanjut kerana akaun media sosialnya telah digantung atas sebab-sebab yang tidak diketahui,” ujarnya.
Tambahnya, terdapat badan tertentu yang mendakwa bertanggungjawab menemukan Cik Aishah.
Namun, beliau menegaskan dakwaan itu tidak benar dan sebarang maklumat tentang situasi Cik Aishah harus diperoleh daripada keluarga mereka atau pihak berkuasa yang relevan sahaja.