Mengalami masalah pendengaran dan penyakit Sklerosis Berganda – penyakit yang menyerang lapisan pelindung gentian saraf dalam sistem saraf pusat dan mengganggu komunikasi antara otak dan badan – sejak usianya 12 tahun, Cik Nur Arfa Taqiah Mohamad Noor Azhar ragu-ragu untuk menyertai sektor kejuruteraan.
Selain jumlah kerja fizikal yang terlibat dan tanggapan bahawa ia adalah pekerjaan yang kotor, beliau bimbang bahawa keadaannya akan menjadi bahan ejekan.
“Saya bimbang diejek kerana gunakan tongkat dan masalah pendengaran saya. Saya risau orang mungkin akan memperlekehkan (keadaan saya), yang membuatkan saya ragu-ragu bagaimana orang lain akan memandang saya,” kongsi Cik Nur Arfa, 18 tahun.
Lama-kelamaan, pelajar tahun kedua Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat yang mengikuti kursus Nitec dalam jurusan mekatronik dan robotik itu berasa lebih lega apabila syarikat latihan amali beliau di Depoh Sengkang mengambil langkah untuk memenuhi keperluan orang kurang upaya.
Antara peranannya di Pusat Perkhidmatan Komponen (CSC) di depoh itu, Cik Nur Arfa akan melakukan tugasan yang tidak memerlukan pergerakan yang banyak seperti pematerian dan membantu mengendalikan papan litar tercetak (PCB) untuk mengesan sebarang kerosakan.
Selain itu, beliau akan memastikan alat ukuran tepat dalam julat yang ditetapkan.
Disebabkan masalah pendengarannya, Cik Nur Arfa akan diberi tugasan harian oleh penyelia dan rakan kerjanya menerusi satu senarai.
Sekiranya ada arahan yang kurang difahami, mereka akan menerangkan arahan tersebut sekali lagi atau meminta mereka mengulangi arahan tersebut.
Menurut penyelianya, Encik Micheal Rossariyo, Cik Nur Arfa ialah seorang yang proaktif dan bersemangat dalam kerjanya.
“Setiap kali saya memberi tugas kepadanya, beliau lebih suka pelbagai jenis tugas dan menunjukkan keinginan untuk cabaran baru daripada mengulangi tugasan yang sama.
“Walaupun kurang berupaya, beliau tidak melihatnya sebagai hambatan. Malah, beliau bersemangat untuk menghadapi cabaran baru dan tetap komited sepenuhnya,” ujar Encik Rossariyo, yang telah bekerja di SBS Transit (SBST) sekitar 16 tahun.
Cik Nur Arfa merupakan antara empat pelajar ITE Kolej Barat yang terlibat dalam projek perintis untuk Program Laluan Pemberdayaan (Kejuruteraan Pengangkutan Darat), atau EPP LTE.
Menurut kenyataan bersama SG Enable, ITE, Dana Pembangunan Warga Institut Pengurusan Singapura (SIMPDF) dan SBST, inisiatif dari bawah itu bertujuan mencipta peluang pembelajaran dan kerjaya bagi golongan kurang upaya.
“Kerjasama sulung di bawah program ini (EPP LTE) melibatkan SBST sebagai majikan pertama yang menyokong pelajar kurang berupaya yang mengikuti kursus kejuruteraan di ITE,” kata kenyataan bersama itu.
EPP terbuka kepada pelajar ITE yang mendaftar dalam kursus Kejuruteraan Automotif, Kejuruteraan Pengangkutan Gerak Cepat, Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekanikal.
Program tersebut, yang dilancarkan secara rasmi pada 3 September di Depoh Sengkang, dihadiri Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, selaku tetamu terhormat.
Sebagai sebahagian daripada EPP, Cik Nur Arfa, yang kini menjalani latihan industri sehingga November ini, menerima sokongan tambahan daripada SIMPDF dalam bentuk Anugerah Laluan Pemberdayaan bernilai $2,400.
Tempoh latihan amali Cik Arfa adalah selama empat bulan. Peluang latihan industri akan diperkembangkan sehingga 10 pelajar ITE setiap tahun.
“Kerjasama ini berlangsung selama tiga tahun, membolehkan sehingga 10 pelajar ITE setiap tahun menyertai latihan industri selama enam hingga sembilan bulan di SBST,” kongsi kenyataan bersama itu.
Encik Chee menekankan peri penting peranan bersepadu dalam melestarikan budaya tempat kerja yang inklusif bagi golongan kurang upaya ini.
“Kita harus melihat di luar ketidakupayaan mereka. Mereka bentuk semula kerja untuk menghasilkan yang terbaik daripada kebolehan mereka supaya boleh menyumbang secara bermakna.
“Saya menggesa lebih banyak syarikat menyertai Program Laluan Pemberdayaan untuk membantu warga Singapura dari semua kebolehan merealisasikan aspirasi mereka dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat kita,” kata beliau.
Encik Chee menambah bahawa sebelum ini, SBST telah bekerjasama rapat dengan SG Enable di bawah Memorandum Persefahaman (MOU) untuk membangunkan program pengambilan dan latihan bagi golongan kurang upaya dalam industri pengangkutan awam.
“
“Saya menggesa lebih banyak syarikat menyertai Program Laluan Pemberdayaan untuk membantu warga Singapura dari semua kebolehan merealisasikan aspirasi mereka dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg