Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar ITE hasilkan alat bantu tangani kesihatan mental

Sep 20, 2024 | 2:11 PM
‘Vibebox To Go’ antara dua rekaan Encik Reyniery Maulana Affanny Mohamad Sariman (tengah) dan pasukannya yang dibentangkan semasa segmen penutup Forum Pemimpin Pelajar ITE di ITE Kolej Central pada 19 September. 
‘Vibebox To Go’ antara dua rekaan Encik Reyniery Maulana Affanny Mohamad Sariman (tengah) dan pasukannya yang dibentangkan semasa segmen penutup Forum Pemimpin Pelajar ITE di ITE Kolej Central pada 19 September.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mengambil rujukan daripada Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Nasional, Encik Reyniery Maulana Affanny Mohamad Sariman bersama pasukannya mencipta VibeBox, mirip sebuah pondok telefon, dalam membantu individu yang terjejas mentalnya menjadi tenang tanpa memerlukan bantuan ahli terapi apabila berada di tempat awam.

Inovasi ini dibentangkan kepada tetamu terhormat, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dalam satu sesi tertutup pada hari terakhir Forum Pemimpin Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang diadakan di ITE Kolej Central pada 19 September.

Forum Pemimpin Pelajar ITE merupakan sebahagian daripada Program Pemimpin Muda Singapura (SYLP) dengan golongan muda dari ITE, politeknik dan universiti diberi platform untuk membincangkan mengenai masa depan Singapura.

Tema tahun ini adalah ‘Membayangkan Semula Singapura’, dengan adanya keperluan mengimpikan Singapura bagi masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Menurut ITE, golongan muda boleh menyumbang idea untuk membantu Singapura menghadapi kompleksiti dunia moden melalui penerimaan inovasi, keterangkuman, dan kreativiti.

Encik Affanny, 17 tahun, yang mewakili pasukannya dari Kolej ITE Barat, berkata proses mereka VibeBox mengambil masa enam bulan.

“VibeBox dicipta dengan tujuan membantu keadaan mental seseorang individu dalam saat-saat mereka amat memerlukannya,” kata Affanny.

Inovasi ini boleh menjadi satu sumber terapi bantuan mental yang disediakan di ruang awam seperti di stesen MRT, sekolah atau tempat kerja.

Individu akan mendapat ruang privasi di dalam VibeBox, yang boleh diakses oleh orang ramai dengan mengimbas kod QR di pemegang pintu.

Selain menjadi ruang untuk menenangkan minda, VibeBox dicipta dengan membolehkan seseorang itu melibatkan kelima-lima deria.

Pengguna mempunyai pilihan untuk mendengar senarai lagu yang dipilih oleh pasukan Encik Affanny dan menggunakan barangan seperti bola tekanan, mainan nyahresah, serta aktiviti mewarna yang disediakan di dalam ruang itu.

Sebelum terlahirnya idea ini, pasukan Encik Affanny telah menjalankan tinjauan terhadap 300 pelajar ITE Kolej Barat.

Lebih 70 peratus berkata pelajaran merupakan sebab utama tekanan.

Sebab yang lain termasuk masalah kewangan (59 peratus) dan hubungan (44 peratus).

Pasukan yang terdiri daripada 11 pelajar itu, termasuk Encik Affanny, bekerjasama dengan Pusat Rainbow dan CHAT – satu perkhidmatan penilaian dan penglibatan kesihatan mental belia oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi belia dan dewasa muda berusia 16 hingga 30 tahun.

Dalam temu bual dengan Berita Harian (BH), Encik Affanny berkongsi bahawa motivasi untuk mengambil bahagian dalam projek ini didorong oleh keinginan beliau menyediakan bantuan mental di mana sahaja, dengan harga yang rendah.

“Perjuangan mental dihadapi oleh semua orang, tidak kira pendapatan mereka.

“Kami mahu orang ramai mempunyai akses kepada semua sumber seperti ini kerana sokongan mental bukan hanya untuk golongan kaya,” ujar Encik Affanny.

Pasukannya turut mencipta Vibebox To Go.

Ia mengandungi barangan seperti alat sedut herba, kiub nyahresah, bola tekanan, tanah liat dan buku mewarna mengawal emosi.

Menurut Encik Affanny, pasukannya diberi dana $300 untuk mencipta inovasi mereka.

Produk ini dikatakan menjadi satu matlamat jangka pendek pasukannya.

“Saya berharap dapat melihat VibeBox To Go digunakan di bilik kakitangan dan pejabat kaunseling sekolah,” katanya.

Buat masa ini, beberapa pihak kaunselor Kolej ITE Barat telah pun menggunakan barangan daripada kotak itu untuk sesi mereka sendiri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg