Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan berliku demi kejar impian dalam pembangunan permainan

Penerima Anugerah Tay Eng Soon bagi Peningkatan Lulusan ITE ingin manfaat permainan bagi cetus kesan sosial, kesedaran orang awam
May 19, 2025 | 5:30 AM
 Abdur Raqib Danial Abdullah
Encik Abdur Raqib Danial Abdullah, lulusan Politeknik Nanyang (NYP) dalam Diploma Pembangunan & Teknologi Permainan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kerja keras dan ketabahan Encik Abdur Raqib Danial Abdullah, 25 tahun, menjadi pembakar semangat baginya mencapai impian yang sudah lama terpendam.

Setelah lulus dan memperolehi Sijil Nitec dalam Penerbitan Audio dan Video Digital daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, beliau mengejar impiannya untuk mengambil jurusan pemprograman di peringkat diploma politeknik selepas dua kali permohonannya ditolak.

Anak ketiga dalam empat beradik, Encik Abdur Raqib, pula bertegas enggan mengambil kursus lain kerana mula menaruh minat terhadap bidang pemprograman sejak 2019, meskipun akur keputusan yang diperolehi di ITE tidak mencukupi bagi mengambil jurusan idaman.

Perjalanan panjang untuk mengambil Sijil Nitec Lanjutan dalam Pemprograman Permainan di ITE Kolej Central terlebih dahulu membuka ruang baginya untuk memohon bagi kursus Diploma Pembangunan dan Teknologi Permainan di Politeknik Nanyang menerusi Latihan Kemasukan Awal (EAE).

Pada penghujung pengajiannya di NYP, Encik Abdul Raqib memperolehi Gred Mata Purata (GPA) sebanyak 4.0, yang tertinggi boleh diperolehi pelajar.

Beliau bahkan menerima Anugerah Tay Eng Soon bagi Peningkatan Pelajar Lulusan ITE sewaktu majlis tamat pengajian di NYP, baru-baru ini.

Encik Abdur Raqib, seorang penerima Biasiswa NYP, juga berjaya memasuki Senarai Pengarah bagi pelajar cemerlang sebanyak lima kali.

“Pada 2019. saya mula belajar sendiri cara menghasilkan pengekodan. Sejurus saya tahu wujud pengajian pembangunan permainan, saya tahu saya ada matlamat hidup, iaitu gabungan kreativiti dan kemahiran teknikal.

“Awalnya, saya hampir putus asa apabila permohonan saya bagi mengambil kursus pembangunan permainan di politeknik ditolak.

“Saya mula terfikir ingin langsung ke Perkhidmatan Negara (NS) sahaja,” kata Encik Abdur Raqib, yang mahu mengikuti sahaja langkah teman-temannya yang enggan meneruskan pelajaran dan masuk NS kerana keputusan tidak memberangsangkan.

“Saya ditawarkan jurusan keselamatan siber, tetapi itu bukan kursus yang saya inginkan. Apabila saya ceritakan kepada orang lain, ramai yang mengatakan sayang kerana keselamatan siber memang satu bidang yang bagus.

“Pada 2019, itulah titik tolak saya menambah ilmu saya dan memperkasa kemahiran dalam pemprograman. Saya mengikuti kursus dalam talian dan menonton video YouTube,” ceritanya.

Encik Abdur Raqib berkongsi bahawa sikapnya terhadap pelajarannya berubah pada 2019.

Beliau turut mencari pekerjaan sambilan demi memastikan dirinya dapat memenuhi masanya dengan cara yang berfaedah.

“Saya juga bekerja sebagai pemandu pelancong buat sementara waktu, untuk meningkatkan rasa ingin tahu saya pada keadaan sekeliling,” kata Encik Abdur Raqib.

Baginya, sikap ingin tahu itulah yang membuatnya sentiasa berusaha untuk mencari peluang mempelajari ilmu baru.

“Ini semua tergantung kepada minda diri sendiri. Walaupun saya terkial-kial, saya tetap mendorong diri saya, hingga (sampai) ke had diri saya.

“Saya luputkan sikap saya yang dahulu, yang suka bermalas-malasan dan tak endahkan pelajaran,” kata Encik Abdur Raqib lagi apabila diusulkan rakan-rakannya agar mengambil Sijil Nitec Lanjutan terlebih dahulu.

Bagi projek tahun akhirnya di NYP, beliau dan pasukannya menghasilkan aplikasi penjagaan kulit bersama syarikat P&G, yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Aplikasi itu mengenal pasti gerak wajah dan tangan, serta mengingatkannya tentang bagaimana teknologi memenuhi keperluan dunia sebenar.

Beliau juga teruja menggunakan permainan bagi menghasilkan kesan sosial.

Dalam pelbagai sesi inovatif, H2 Game Jams, dan NUS Game Jams, Encik Abdur Raqib mendapat pujian bagi projek kesedaran senario penipuan dan pendidikan.

Beliau juga sering membimbing pelajar ITE menerusi program pemerkasaan Mendaki, amPowered@ITE.

Ia peluang baginya berkongsi kisahnya untuk menggalak pelajar lain yang rasa tersisih atau kehilangan dalam proses memburu ilmu.

Kini, Encik Abdur Raqib bercita-cita meneruskan pengajiannya dalam ijazah Sains Komputer, dan kemudian membangun studio permainannya sendiri, bagi memanfaatkan permainan untuk mendidik, memupuk kesedaran dan mencetus inspirasi kepada orang ramai.

“Saya tidak melalui perjalanan yang biasa diharungi kebanyakan pelajar lain, tetapi setiap kali saya memilih haluan lain, ia memberi saya lebih banyak peluang untuk meneruskan perjuangan demi mencapai cita-cita saya,” ujarnya..

Bangga dengan pencapaian anaknya, Encik Danial Abdullah, 56 tahun, berkata: “Saya amat gembira melihat anak saya menuntut pengajian di politeknik, dan apabila memerhatikannya berbincang tentang kerja sekolah dengan rakan-rakannya, saya boleh lihat potensi besarnya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg