Ilmu ukhrawi, ilmu sekular; kedua-duanya sama penting dalam mengimbangi kehidupan.
Bagi Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI), kecemerlangan pembelajaran Islam dan akademik memerlukan tumpuan seimbang.
Pengetua Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Cik Aisha Abdul Manaf, berkata:
“Kami terus menyokong pelajar-pelajar kami yang cemerlang dalam bidang ukhrawi dan sekular agar mereka dapat membentuk keseimbangan yang baik sebagai pelajar Muslim yang berdaya saing di Singapura.”
Antara contoh pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah yang berjaya dalam bidang ukhrawi adalah Muhammad Irham Suhaimi.
Pelajar Menengah 3 itu mula menghafal Al-Quran dengan kefasihan tajwid sejak kecil.
Walaupun berdepan dengan detik-detik sukar, beliau bertekad meneruskan usahanya menghafal Al-Quran.
Dengan bimbingan Ustaz Muhammad Iskandar Muhammad Sabery, asatizah madrasah yang mengajar Al-Quran dan Pengetahuan Agama Islam, Irham berjaya memperbaiki bacaan dan hafalan Al-Quran.
Irham berkata: “Di MAI, saya menemui pelbagai peluang untuk mendalami ilmu Al-Quran. Saya dipilih sebagai salah seorang qari dalam Ihya’ Al-Quran harian yang membolehkan saya memperdengarkan bacaan kepada seluruh warga madrasah.
“Saya sedar bahawa Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk diamalkan. Setiap ayat membawa mesej yang membimbing hati dan tindakan manusia,” jelasnya.
Beliau turut menyertai pertandingan hafalan dan tilawah untuk membina keyakinan diri dan berkongsi keindahan Al-Quran dengan orang lain.
Dalam Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Tadabbur Al-Quran 2024, beliau mendapat tempat ketiga dalam Kategori Tilawah.
Beliau menduduki tempat kedua untuk Kategori Tahfiz (2025) dan meraih tempat pertama bagi Kategori Tahfiz B, Musabaqah Al-Quran Nur ‘Ala Nur 2025.
Seorang lagi pelajar yang banyak meraih kejayaan ialah Aieshah Sofieyah Mohamad Roszman.
Aieshah berkata: “Guru-guru Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah sentiasa menggalakkan saya agar terus yakin pada diri sendiri.
“Mereka mendorong saya supaya melakukan setiap perkara dengan niat yang betul, sejajar dengan nilai-nilai Islam yang diterapkan madrasah.”
Guru Kanan Penerbitan dan Guru Bahasa Inggeris, Cik Baizah Basrun, menyedari minat Aieshah berpidato.
Beliau menggalakkan Aieshah menyertai pertandingan serta mempersembahkan puisi dan ucapan dalam acara sekolah.
Hasil kerja keras dan keyakinan diri, Aieshah mencapai kejayaan dalam beberapa pertandingan.
Beliau meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Drama Improvisasi Bahasa Arab 2025, memenangi sebanyak dua kali Penceramah Terbaik Termuda dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab 2024, serta meraih tempat pertama dalam Pertandingan Ucapan MAI 2024 dan Anugerah Emas bagi Pena Emas 2024.
“Persekitaran Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah yang menyokong pembangunan holistik telah membuat saya berkeyakinan, mahir berkomunikasi dan berani menyuarakan pendapat.
“Saya bersyukur kerana madrasah ini menyediakan pelbagai kegiatan seperti pertandingan pidato, debat dan aktiviti kesusasteraan yang membantu pelajar seperti saya berkembang dalam bidang yang diminati.
“Saya berhasrat menggunakan kemahiran yang saya raih untuk berkhidmat kepada masyarakat,” jelas Aieshah.
Permohonan untuk pelajar Menengah 1 (G3) ke MAI dibuka hingga 25 November 2025. Borang permohonan boleh dimuat turun di https://www.mai.edu.sg/admissions/
Sokong misi MAI untuk melahirkan pelajar berdaya saing masa depan dengan menyalurkan sumbangan ke UEN T08GB0028LMAI.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg