Seorang pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berusia 22 tahun telah ditangkap pada 9 November selepas dirakam berjalan dalam keadaan bogel di kampus.
Rakaman video yang tersebar di platform media sosial pada 11 November menunjukkan pelajar lelaki itu berjalan di kaki lima berhampiran jalan raya, dengan kapsyen dalam video menyatakan bahawa ia dirakam di NTU.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), polis berkata mereka menerima panggilan untuk mendapatkan bantuan kira-kira 10.15 pagi pada 9 November di kawasan bertentangan dengan 110 Nanyang Crescent, yang merupakan alamat Pusat Sukan dan Rekreasi NTU.
“Seorang lelaki berusia 22 tahun telah ditangkap kerana kelihatan berbogel di tempat awam.
“Tiada kecederaan dilaporkan,” kata polis, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.
Seorang jurucakap universiti berkata seorang pelajar lelaki dilaporkan berjalan bogel di kawasan awam luar kampus pada pagi 9 November, dengan pihak keselamatan kampus mengesannya sejurus selepas itu.
Dia kemudian ditahan polis.
NTU telah menghubungi pelajar tersebut dan pelajar yang terjejas untuk memberikan sokongan jika perlu.
Jurucakap itu menambah bahawa pihaknya “tetap komited untuk mengekalkan persekitaran kampus yang selamat serta menghormati dan akan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi komuniti kampus”.
Dalam kes berasingan pada April lalu, seorang lelaki berusia 22 tahun berlari bogel di Hougang selepas mengelar seorang lagi lelaki.
Lelaki itu telah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
R. Nadhiban dituduh menggunakan pisau untuk mengelar Encik Kaalithasan Govindaragi di tempat letak kereta terbuka antara Blok 676 dengan 677, Hougang Avenue 8, sekitar 1 petang pada 17 April lalu.
Nadhiban diperintahkan untuk ditahan reman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemeriksaan perubatan.
Kejadian itu disaksikan beberapa orang awam yang melihat seorang lelaki bogel menyerang seorang bapa, yang sedang bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun.
Mangsa berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan di lengannya dan dibawa ke hospital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg