Jangan cakap abang tak payung.
Mungkin lirik lagu ‘Payung’ dendangan Daly Filsuf ini sinonim dikaitkan dengan semangat seorang pelajar yang dilihat memegang payungnya untuk melindungi beberapa penumpang yang turun daripada sebuah bas daripada terkena hujan.
Sejuk hati melihatkan aksi pelajar tersebut yang sanggup berbakti dengan mementingkan keperluan orang lain.
Dalam satu video yang tular baru-baru ini, seorang pelajar lelaki berpakaian uniform sekolah kelihatan memegang payungnya untuk melindungi penumpang yang sedang keluar daripada bas di sebuah perhentian ketika hujan.
Video yang dimuat naik laman sgfollowsall pada Rabu itu telah mencatatkan lebih 296,000 tontonan dan lebih 24,500 likes sehingga 9 malam Jumaat.
Catatan itu menyatakan aksi pelajar itu dikatakan berlaku di sebuah perhentian bas sebelum Punggol Road yang terletak dekat Ekspreswe Tampines (TPE).
Rakaman sekitar lapan saat itu menunjukkan pelajar tersebut, dipercayai seorang murid sekolah menengah yang memegang payungnya antara pintu keluar bas dengan perhentian tersebut.
Dia membantu sekurang-kurangnya tiga penumpang yang ketika itu sedang turun daripada bas tersebut.
Apa yang menarik perhatian pengguna di Instagram adalah mereka perasan pelajar itu kelihatan berdiri di luar bumbung perhentian bas itu ketika dia menawarkan bantuan tersebut.
Beberapa pengguna juga berkata pihak sekolahnya wajar menghargai sikap positif pelajar itu.
Seorang pengguna bernama esdeathsz berkata guru besar sekolah budak tersebut dipercayai telah diberitahu tentang aksi pelajar itu dan seluruh sekolah dikatakan telah memberi tepukan kepadanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg