Ketika masih kecil, Cik Nur Fatimah Khur Sheed Ahmad Shah, pernah menginap di Hotel Shangri-La semasa percutian keluarga ke Kuala Lumpur, Malaysia, suatu pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam bagi dirinya.
Beliau yang kini berusia 20 tahun begitu tertarik dengan layanan mesra dan penuh kesantunan yang diberikan oleh pihak hotel, khususnya seorang pengurus wanita yang tampil berwibawa serta profesional dengan seragam hotel yang rapi dan anggun.
Lantaran itu, melihat pengurus berkenaan memegang jawatan kepimpinan, bagai mencetus inspirasi buat Cik Fatimah untuk menanam cita-cita agar suatu hari nanti, beliau juga dapat berbakti dalam bidang layanan tamu.
Kini, dalam tahun ketiga pengajian Diploma Pengurusan Hotel dan Layanan Tamu di Politeknik Republic (RP), dedikasi dan usaha gigih Cik Fatimah telah menarik perhatian pensyarahnya, yang juga mentornya.
Pensyarah itu kemudian mencadangkan agar beliau menyertai pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan, WorldSkills Singapore, di mana beliau berjaya meraih pingat perak.
Dalam pertandingan selama tiga hari itu, Cik Fatimah perlu menjalani simulasi mengendalikan operasi kaunter hadapan persis di hotel sebenar dalam situasi tekanan tinggi.
Beliau diuji dari segi pengetahuan teknikal, cara menangani pemulihan perkhidmatan, interaksi dengan tetamu, dan penyelesaian masalah secara langsung.
Pertandingan kemahiran ini juga menguji keupayaan beliau untuk berfikir dengan cepat, kekal tenang, melakukan banyak perkara serentak, dan berkomunikasi dengan baik, sambil memastikan khidmat kepada tetamu sentiasa cemerlang.
Dengan kejayaan itu, Cik Fatimah bakal mewakili RP dan juga Singapura dalam Pertandingan WorldSkills Asean ke-14, yang berlangsung di Manila, Filipina, dari 25 hingga 30 Ogos 2025.
Dalam membuat persiapan bagi pertandingan tersebut, Cik Fatimah berkongsi kepada Berita Harian (BH) bahawa walaupun beliau mempunyai pekerjaan sepenuh masa, beliau tetap meluangkan masa untuk menjalani sesi latihan di sekolahnya apabila mempunyai kelapangan.
Latihan tersebut boleh mengambil masa sepanjang hari.
Sebagai remaja yang memiliki semangat berdaya saing dan berusaha mencapai prestasi tinggi, Cik Fatimah, anak sulung dalam tiga beradik, akur kadangkala rasa tertekan dengan jangkaan tinggi terhadap dirinya sendiri.
Bagi menangani tekanan ini, beliau berkongsi dirinya akan mengambil masa untuk bertenang, menilai semula keadaannya, dan bangkit semula dengan semangat yang lebih kukuh.
“Nasihat saya kepada remaja lain, ambillah langkah pertama dengan penuh keyakinan dan beranikan diri untuk mencuba.
“Kita tidak akan tahu berapa banyak peluang yang menanti jika kita tidak mencuba.
“Jika ini merupakan batu loncatan anda, jadilah seseorang yang berani mengejar impian dan bersedia menghadapi setiap cabaran,” ujarnya.
Satu majlis simbolik bagi peserta WorldSkills Asean yang akan berlepas ke medan pertandingan telah diadakan untuk Team Singapore pada 25 Julai di Politeknik Ngee Ann (NP).
Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, hadir selaku tetamu terhormat untuk berucap dan menyampaikan bendera Singapura kepada ketua pasukan sebagai tanda sokongan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg