Setiap kali Cik Mardiah Zahrin menyampaikan sesi terapi pertuturannya dalam bahasa Melayu, beliau dapat berhubung dengan kliennya dengan lebih selesa dan mendalam.
Keselesaan tersebut membuat kliennya rasa dihargai dan dihormati dan ia menjadikan sesi terapi itu lebih berkesan, kongsi Cik Mardiah, 26 tahun, kepada Berita Harian (BH) pada 21 Julai.
Menurutnya, meskipun terdapat pakar terapi bukan Melayu yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu, adakalanya maklumat yang diperoleh semasa sesi terapi tidak mencukupi.
“Terdapat pakar terapi yang biasa berbahasa Cina dan boleh bertutur bahasa Melayu serta berinteraksi dengan klien Melayu. Namun banyak perkara mungkin disalah terjemah.
“Halangan bahasa menyebabkan banyak maklumat yang tidak diperoleh, kemudian anda tidak dapat gambaran penuh tentang kanak-kanak atau klien itu,” kata Cik Mardiah, pelajar Institut Teknologi Singapura (SIT) tahun ketiga dalam jurusan Terapi Pertuturan dan Bahasa.
Ternyata minatnya yang mendalam melayakkan Cik Mardiah menjadi salah seorang daripada 44 penerima Biasiswa Perkhidmatan Sosial Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) 2024.
Beliau menerima biasiswa tersebut semasa Majlis Biasiswa Keluarga Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), di Hotel Furama RiverFront, yang dihadiri Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad pada 21 Julai.
Dalam ucapannya, Encik Masagos berkata: “Penduduk kita semakin menua, struktur keluarga berkembang dan keperluan kesihatan mental semakin meningkat.
“Sektor perkhidmatan sosial telah menerima cabaran ini dengan kreativiti dan berdaya tahan.
“Kami melihat perkhidmatan yang lebih bersepadu, perkongsian yang lebih kukuh merentas pelbagai sektor dan penggunaan teknologi yang inovatif untuk meningkatkan penyampaian, capaian dan keberkesanan kami,” kata Encik Masagos.
Biasiswa Perkhidmatan Sosial itu merupakan satu anugerah berprestij khusus bagi individu cemerlang yang mempunyai minat mendalam terhadap perkhidmatan sosial dan memaparkan mutu kepimpinan yang kukuh.
Biasiswa tersebut dianugerahkan oleh NCSS bagi memupuk bakat dalam sektor perkhidmatan sosial termasuk dalam bidang kerja sosial, terapi pekerjaan, fisioterapi, terapi pertuturan dan bahasa, serta psikologi.
Ia meliputi yuran pengajian penuh, elaun penyelenggaraan, elaun prapembelajaran sekali sahaja, program pertukaran luar negara, kegiatan pengayaan dan sebarang yuran wajib lain yang diperlukan untuk melengkapkan kursus pengajian.
Sementara itu, lagi lima individu telah menerima biasiswa MSF untuk melanjutkan pengajian sarjana muda atau possiswazah dalam pelbagai disiplin.
Cik Mardiah yang mempunyai Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Politeknik Temasek (TP), pernah menjadi guru prasekolah dari 2019 hingga 2022, sebelum memilih untuk mendalami bidang terapi pertuturan.
Pengalaman mengajar kanak-kanak berusia antara 18 bulan dengan tiga tahun membuka matanya kepada jurang terapi pertuturan dan bahasa, terutama dari sudut sumber yang sedia ada untuk pelajar Melayu.
“Saya hanya meluangkan masa selama lima hingga 10 minit dengan dua pelajar, tetapi saya dapat melihat sejauh mana sesi itu bermakna dan saya rasa hubungan saya dengan kanak-kanak itu juga bertambah baik.
“Apabila saya memberikan perhatian kepada mereka, saya perhatikan mereka lebih yakin untuk menyertai kelas, berbanding dengan sebelumnya apabila mereka hanya berada di latar belakang kelas yang dipenuhi lebih 20 pelajar.
“Saya dapat melihat bahawa mereka rasa dihargai, dan ia juga sesuatu yang ingin saya sampaikan kepada keluarga mereka,” ujar beliau.
Keinginan untuk membantu kanak-kanak mencapai corak perkembangan dalam pertuturan mengikut jadual, mendorong anak kedua tiga beradik itu untuk mendalami bidang terapi pertuturan dan bahasa.
“Saya berazam menjadi sebahagian daripada pakar terapi pertuturan Melayu/Islam yang semakin meningkat bilangannya di Singapura.
“Saya berharap saya dapat membina atau menyumbang kepada sumber terapi seperti penilaian formal atau norma perkembangan, terutamanya dalam bahasa Melayu,” tambah Cik Mardiah.
Berkongsi lebih lanjut, beliau mendapati walaupun terdapat sumber terapi yang tersedia, ia didapati tidak formal, dan tidak selalu tersedia khusus dalam bahasa Melayu.
Justeru, sejurus selepas tamat pengajian, beliau berharap dapat menjadi ahli terapi pertuturan yang dapat menyumbang kepada penciptaan sumber dalam bahasa Melayu.
Beliau juga berkhidmat kepada kliennya, mengikut keperluan mereka, seperti memahami latar belakang serta budaya mereka, atau bahasa dan keadaan unik mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg