Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar politeknik korban nahas jalan raya M’sia, rancang main ragbi hari kemalangan

Oct 16, 2024 | 6:08 PM
Pelajar dan pemain ragbi Encik Muhammad Razif Harun, 21 tahun mati dalam kemalangan jalanraya di Malaysia dalam perjalanan pulang ke Singapura.
Pelajar dan pemain ragbi Encik Muhammad Razif Harun, 21 tahun mati dalam kemalangan jalanraya di Malaysia dalam perjalanan pulang ke Singapura. - Foto FACEBOOK SCC RUGBY

Malang tak berbau buat pelajar Politeknik Republic (RP) Encik Muhammad Razif Harun, 21 tahun yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di Malaysia pada 15 Oktober. 

Beliau merupakan seorang pemain ragbi dengan masa depan cerah dan dianggap sebagai seorang yang baik hati dan ceria. 

Malah Allahyarham dilaporkan telah merancang untuk bermain ragbi menentang sebuah pasukan lawan pada malam 15 Oktober, tetapi hasratnya menyertai perlawanan itu tidak terkabul. 

Beliau meninggal dunia pada awal pagi hari itu di Malaysia selepas merempuh motosikalnya ke penghadang besi tepi jalan raya dalam perjalanan pulang dari bercuti di Kuala Lumpur.

Pihak berkuasa tempatan berkata Allahyarham mengalami kecederaan serius di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian berhampiran Senawang, Negeri Sembilan, yang  terletak lebih 250 kilometer dari Johor Bahru.

Polis Malaysia berkata keadaan cuaca ketika itu baik, tetapi bahagian lebuh raya tempat kemalangan itu tidak berlampu dan gelap.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), adik perempuannya Cik Nurul Ain Harun, 20 tahun, abangnya itu dalam perjalanan pulang dengan rombongan dari Krabi, yang disertai oleh tujuh orang ahli keluarga dan teman rapat. Beliau juga berkongsi, Allahyarham Razif sudah menunggang motosikal sejak usianya 18 tahun lagi. 

“Sewaktu kemalangan berlaku, arwah dalam perjalanan menuju ke tempat rehat di mana semua penunggang motosikal sedang menunggunya. Setelah menunggu agak lama dan beliau tidak sampai ke tempat itu, mereka pun bergegas mencarinya…”

Gambar sekitar pengkebumian Allahyarham Muhammad Razif yang dikelilingi keluarga dan sahabat handai pada pagi 16 Oktober.
Gambar sekitar pengkebumian Allahyarham Muhammad Razif yang dikelilingi keluarga dan sahabat handai pada pagi 16 Oktober. - Foto Ihsan AZYRFAN AZHAR

Menurut laporan The Straits Times, sepupu Allahyarham Razif, Cik Nur Syaza Balqis, 23 tahun, berkata arwah memang meminati sukan ragbi dan telah mendaftar dalam program diploma Sukan Kesejahteraan dan Perkhidmatan di RP.

Cik Nur Syaza berkata ibu bapa Allahyarham bercerai ketika arwah sepupunya itu berusia 10 tahun dan bapanya meninggal dunia kira-kira sebulan selepas perceraian itu.

Ketika itulah Allahyarham memutuskan untuk tinggal bersama keluarga sepupunya itu.

Bapa Cik Syaza tidak lama kemudian menjadi penjaga sah Allahyarham Razif, katanya. Ibu Allahyarham kemudian meninggal dunia pada 25 Julai 2024, ujar Cik Syaza lagi.

Seorang teman kenalan dari sekolah menengah dan rakan ragbinya, Encik Azyrfan Azhar, 20 tahun yang menghadiri pengkebumian sahabatnya itu berkata Allahyarham seorang pemimpin pasukan ragbi yang baik, dan merupakan kapten untuk pasukan ragbi Sekolah Menengah Greenridge divisyen ‘C’ (2017).

“Beliau seperti idola buat kami yang lebih muda, dan selalu merangsang kami untuk menjadi lebih baik semasa bermain. Selalu beliau ingatkan, kita mesti bangga mewakili sukan ragbi dan sekolah pada setiap perlawanan,” kata Encik Azyrfan. 

Dalam catatan Facebook pada 15 Oktober, kumpulan ragbi Kelab Kriket Singapura (SCC) memaklumkan ahlinya tentang kematian Allahyarham Razif dengan “kesedihan yang mendalam”.

Tulisan itu pada catatan SCC itu berbunyi : 

“Ramai di antara kami melawat Sepanyol baru-baru ini dengannya, dan akur beliau seorang yang baik, dan mempunyai pandangan dunia yang terbuka. 

“Seorang yang perkasa di padang, tetapi lembut peribadinya di luar padang, beliau akan dirindui.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg