Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar raih banyak manfaat, ilmu baru dari Kem Wartawan Muda BH

Jun 4, 2024 | 8:26 PM
(Dari kiri) Nur Aqilah Abdul Rani, 15 tahun; Via Atrina Mohamad Rizal, 15 tahun; Sarah Abdul Jabar, 13 tahun; dan Noor Aliza Pia, 13 tahun, adalah kumpulan dari Sekolah Perempuan Raffles yang meraih tempat pertama dalam pertandingan akhir Kem Wartawan Muda 2024.
(Dari kiri) Nur Aqilah Abdul Rani, 15 tahun; Via Atrina Mohamad Rizal, 15 tahun; Sarah Abdul Jabar, 13 tahun; dan Noor Aliza Pia, 13 tahun, adalah kumpulan dari Sekolah Perempuan Raffles yang meraih tempat pertama dalam pertandingan akhir Kem Wartawan Muda 2024. - Foto BH oleh SHAFIQ AFANDI

Belajar bekerjasama dengan anggota kumpulan, mengutarakan saranan, dan mengaplikasikan kemahiran yang diajar.

Itulah antara ilmu yang ditimba peserta Kem Wartawan Muda 2024 anjuran akhbar pelajar Berita Harian (BH), Gen G.

Di akhir kem itu, semua kumpulan pelajar perlu menyediakan laporan daripada ‘sidang akhbar’ bersama penyanyi tempatan dan pemenang Jauhari Harapan BH Shazza, seiring gambar berkapsyen dan video untuk dinilai panel juri yang terdiri daripada wartawan kanan BH.

Lima kumpulan terbaik kemudian diminta membuat pembentangan selama seminit untuk meyakinkan panel juri kenapa laporan wajar disifatkan sebagai yang terbaik.

Akhirnya, tiga kumpulan terbaik diberi kedudukan oleh panel juri, dengan tempat pertama dimenangi kumpulan pelajar dari Sekolah Perempuan Raffles (RGS); tempat kedua Sekolah Menengah Evergreen; dan tempat ketiga Pasukan 1 Sekolah Victoria.

Anugerah individu turut diberikan bagi menghargai usaha ‘wartawan’ muda sepanjang kem yang berakhir pada 4 Jun di Auditorium SPH itu.

Anugerah Pempengaruh Harapan dimenangi Bazil Eshan Mohamed Shahrulfadillah, 15 tahun, dari Sekolah Menengah Jurongville; Foto Terbaik oleh Insyirah Muhammad, 13 tahun, dari Sekolah Menengah Saint Anthony Canossian; Wartawan Paling Bersemangat dimenangi Julfa Ardhani Wisnumurti, 17 tahun, dari Sekolah Victoria; dan Wartawan Harapan Nur Aqilah Abdul Rani, 15 tahun, dari RGS.

“Apabila saya dapat peluang bertanya soalan kepada penyanyi tempatan Shazza, saya sebenarnya sedikit takut.

“Tetapi sejurus saya pegang mikrofon dan ajukan soalan, saya berasa lebih yakin dan gembira dengan diri saya sendiri kerana dapat keluar dari zon selesa saya,”  kata Nur Aqilah, yang sekolahnya turut memenangi pertandingan kumpulan Kem Wartawan Muda.

Mengulas kemenangannya, Insyirah pula berkata dia perlu memetik lima gambar pempengaruh TikTok tempatan Syazwan Hakim semasa melawat pejabat TikTok pada hari pertama kem sebelum memilih gambar yang menjadi Foto Terbaik.

Bagi Bazil Eshan, dia mendapat ilham videonya dari wadah TikTok sendiri – menggunakan perkataan untuk menarik perhatian bercampur jenaka.

Memberikan ulasannya mengenai Kem Wartawan Muda 2024, Ketua Gaya Hidup BH, Cik Haryani Ismail, salah seorang anggota panel juri, berkata:

“Saya melihat potensi dalam penulisan sesetengah pelajar, khususnya pasukan juara dari Sekolah Perempuan Raffles dan naib juara Sekolah Menengah Evergreen.

“RGS mempunyai gagasan apa yang ingin mereka sampaikan iaitu tentang pemerkasaan wanita dalam muzik, berdasarkan pengalaman penyanyi dan komposer, Shazza, yang dikongsi dalam ‘sidang akhbar’ pada hari pertama.

“Konsep penceritaan pasukan Sekolah Menengah Evergreen juga menarik. Mereka dapat mencungkil impak Shazza sebagai pemuzik muda pada generasi belia mendatang dan perbezaan yang boleh beliau bawa pada persada seni di Singapura.”

Merumuskan manfaat kem tersebut, Timbalan Editor Gen G, Encik Muhaimin Suzaini, menambah:

“Segala penat lelah kami sejauh ini berbaloi kerana pelajar dapat meraih manfaat daripada perkongsian dan sesi lawatan ke pejabat TikTok.

“Daripada respons berinteraksi dengan beberapa pelajar, mereka rata-rata memperoleh ilmu baru, terutama teknik penulisan laporan dalam bidang kewartawanan.”

“Apabila saya dapat peluang bertanya soalan kepada penyanyi tempatan Shazza, saya sebenarnya sedikit takut. Tetapi sejurus saya pegang mikrofon dan ajukan soalan, saya berasa lebih yakin dan gembira dengan diri saya sendiri kerana dapat keluar dari zon selesa saya,”
Nur Aqilah, pelajar Sekolah Perempuan Raffles.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg