Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peserta Kem Wartawan Muda selami dunia pempengaruh TikTok

Jun 3, 2024 | 8:59 PM
Pemenang Jauhari Harapan BH dan penyanyi tempatan muda, Shazza, menjawab soalan dari ‘wartawan’ muda semasa ‘sidang akhbar’ pada 3 Jun 2024.
Pemenang Jauhari Harapan BH dan penyanyi tempatan muda, Shazza, menjawab soalan dari ‘wartawan’ muda semasa ‘sidang akhbar’ pada 3 Jun 2024. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pemikiran pelajar Sekolah Perempuan Raffles (RGS), Nur Aqilah Abdul Rani, lebih terbuka luas untuk menajamkan lagi kemahirannya berfikir secara kritikal.

Ini setelah menghadiri sesi sidang media bersama penyanyi dan komposer muda, Shazza, 23 tahun, atau nama sebenarnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff, yang diadakan sempena Kem Wartawan Muda, anjuran akhbar pelajar Berita Harian, Gen G, pada 3 Jun.

Nur Aqilah, 15 tahun, adalah antara 60 pelajar yang menyertai kem tahunan yang bertujuan memperkenalkan pelajar sekolah menengah dan madrasah pada dunia kewartawanan.

Ia berlangsung dua hari hingga 4 Jun di auditorium SPH Media, Toa Payoh North.

Selainnya, seorang lagi peserta dari Sekolah Menengah Kranji, Kemas Hannan Firhan Kemas Mohamed Hasbullah, 15 tahun, pula merasakan kemahiran mengajukan soalan dan mengumpulkan maklumat yang perlu ada dalam diri seorang wartawan, dapat dimanfaatkan bagi subjek Geografi.

“Saya rasa apabila kita perlu bertanyakan soalan pada sidang media bersama Shazza, kita akan berfikiran jauh dan lebih kritikal untuk pastikan soalan kita bernas.

“Dengan mengajukan soalan yang dekat di hati Shazza, misalnya tentang pemerkasaan wanita, ia boleh menjadi bahan yang kukuh dalam menyiapkan rencana saya sekumpulan,” ujar Nur Aqilah yang bertanyakan tentang situasi arena muzik di Singapura yang wujud ketidakseimbangan dan lebih didominasikan kaum Adam.

Kemas Hannan pula berkata:

“Teknik menemuramah dan banyak mengajukan soalan ini sejajar dan dapat membantu saya dalam tugasan sekolah yang perlu saya lakukan bagi Geografi.”

Sepanjang hari pertama kem pada 3 Jun, pelajar diberi bimbingan menulis rencana dan laporan berita, merakam foto dan menerbitkan video.

Dua guru Melayu yang turut mengikuti pelajar ke kem ini adalah Cik Norashimah Abdul Rahim dari Sekolah Menengah Evergreen dan Cik Nadia Lamri dari Sekolah Menengah Bedok South.

Cik Norashimah berkata pelajarnya yang terdiri daripada seorang murid Menengah 1 dan tiga murid Menengah 3 teruja dipilih menyertai kem ini sebab dapat mempelajari teknik menjadi wartawan muda khususnya dalam membuat liputan di media sosial.

Cik Nadia pula akur pengalaman menariknya menyertai dan menjuarai Kem Wartawan Muda BH (Kem Obor) pada 2007 mendorongnya menghantar pelajarnya ke kem tahun ini.

Dalam pada itu, peserta kem juga berkesempatan ke pejabat TikTok di 1 Raffles Quay bagi mempelajari selok-belok dunia pendigitalan dan penjanaan kandungan di samping trend muzik di media sosial.

Menurut Editor Gen G, Encik Izwandi Azman, lawatan ke pejabat TikTok itu juga memberi peluang bagi peserta mengetahui cara TikTok mendekati belia dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan di platform itu terjamin.

Peserta juga dapat mendengar dan berbincang dengan pempengaruh TikTok tempatan, Syazwan Hakim atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Syazwannendo’ tentang perjalanannya di TikTok.

Editor Audiens dan Perkembangan Berita Harian, Cik Norhaiza Hashim, pula berkata Gen G akan terus menganjurkan kegiatan menarik bagi pelajar.

“Awal tahun ini, kami telah menganjurkan Pertandingan TikTok yang disertai 105 sekolah rendah dan menengah dengan lebih 440 pelajar menghasilkan video TikTok berdasarkan filem-filem karya seniman Tan Sri P Ramlee.

“Kem ini juga merupakan satu lagi acara menarik bagi pelajar menyelami dunia kewartawanan. Golongan pelajar merupakan tumpuan penting BH dan kami akan terus mendekati mereka melalui kegiatan menarik,’‘ jelas Cik Norhaiza.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg