Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar Sekolah NorthLight jadi lebih yakin susulan program sukarela TTSH-Pusat Brahm
Pelajar Sekolah NorthLight jadi lebih yakin susulan program sukarela TTSH-Pusat Brahm
Program para-kejururawatan beri peluang belia raih pengalaman sebenar dalam sektor kesihatan untuk asah kemahiran insaniah
Pelajar Sekolah NorthLight jadi lebih yakin susulan program sukarela TTSH-Pusat Brahm
Sewaktu membesar, Puteri Ellysha Misham merupakan seorang yang pendiam dan lebih suka menyendiri.
Namun, selama 10 minggu dari Mac hingga Mei, remaja itu telah membina keyakinan diri dalam kerjanya di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), dengan sokongan jururawat yang kini dianggap sebagai “keluarga” baharunya.
Puteri Ellysha, 15 tahun, merupakan antara empat pelajar Sekolah NorthLight, yang baru tamat menyertai Program Sukarelawan Para-kejururawatan, Hab Jagaan Bersepadu TTSH (TTSH-ICH), yang dianjurkan TTSH dan badan kebajikan amal kesihatan mental, Pusat Brahm.
Sekolah NorthLight dikhususkan untuk membantu pelajar yang menghadapi kesukaran dalam bidang akademik dan dijadikan laluan gantian bagi pelajar yang lebih cenderung kepada pembelajaran praktikal dan kemahiran tangan.
“Jururawat di wad saya sudah menganggap saya seperti anak mereka sendiri dan mereka banyak membimbing dan membantu saya mengharungi kerja di TTSH,” kata Puteri Ellysha, yang banyak mendapatkan nasihat daripada jururawat yang bekerjasama dengannya.
“Dengan persekitaran positif, saya lebih berkeyakinan menjalankan tugas dan berinteraksi dengan pesakit,” tambahnya.
Program ini memberikan pelajar NorthLight seperti Puteri Ellysha peluang mengasah kemahiran dan membangunkan kerjaya mereka, daripada seorang sukarelawan kepada seorang pembantu sokongan jagaan.
“Pengalaman di sekolah dan hospital sangat berbeza tapi kami dapat menerapkan apa yang telah dipelajari,” tambah Puteri Ellysha, yang sebelum ini berlatih bersama boneka latihan di sekolah.
Sebelum berkhidmat di TTSH, para pelajar tersebut akan didedahkan kepada latihan sokongan penjagaan masyarakat di bawah Sijil Kemahiran Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Sekolah NorthLight.
Dalam pensijilan tersebut, pelajar mempelajari kemahiran yang diperlukan seperti kawalan jangkitan dan keselamatan di tempat kerja, penjagaan dan kebersihan persekitaran, serta penjagaan diri dan keperluan mobiliti.
Antaranya, pelajar didedahkan kepada latihan mengalihkan pesakit, menyuap makanan, dan membantu pesakit dalam kegiatan harian.
Di samping itu, pelajar juga melalui latihan kesedaran kendiri dan cara mengatasi tekanan di tempat kerja yang dikendalikan Pusat Brahm untuk menyokong mereka semasa bekerja di persekitaran lebih pantas.
“Latihan di sekolah dan di Pusat Brahm sangat membantu dalam mempersiapkan kami sebelum bekerja di TTSH dan meningkatkan keyakinan diri,” tambah Puteri Ellysha, yang berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang yang sama.
Selepas menghabiskan latihan, pelajar akan dihantar ke TTSH-ICH selama 10 minggu untuk membantu jururawat menjaga pesakit yang memerlukan rawatan pemulihan, subakut (fasa antara akut dengan kronik), dan paliatif.
Ini merupakan tahun ketiga program tersebut dijalankan. Ia telah melatih seramai 14 pelajar daripada Sekolah NorthLight.
“Program seperti ini penting untuk memberikan pelajar peluang menjalani latihan melebihi apa yang mereka pelajari di sekolah, dan memberikan mereka pengalaman sebenar dalam sektor kesihatan,” kata Ketua Jabatan (HOD) Sokongan Penjagaan Masyarakat di Sekolah NorthLight, Cik Beatrice Tan, kepada media pada 30 Jun.
“Di bawah program ini, pelajar dapat belajar secara menyeluruh dan meraih kemahiran teknikal dan insaniah dalam membangunkan diri mereka.
“Kami berharap program seperti ini dapat membina keyakinan diri pelajar untuk mempercayai kebolehan mereka sendiri dan melakukan yang terbaik di tempat kerja mereka,” jelas Cik Tan.

