Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) bersama tiga hospital awam utama di Singapura melancarkan Renalssance, sebuah program perintis empat tahun bernilai $9 juta yang disokong oleh Lien Foundation.

Inisiatif ini menawarkan penjagaan paliatif kepada pesakit penyakit buah pinggang kronik (CKD) peringkat lanjut, bertujuan mencabar tanggapan bahawa dialisis adalah satu-satunya pilihan.

Dengan mengintegrasikan penjagaan paliatif lebih awal, Renalssance meredakan gejala, kesakitan, dan tekanan pesakit seiring dengan rawatan perubatan aktif.

Program ini dijangka memanfaatkan lebih 5,260 pesakit, termasuk 1,500 dari setiap hospital dan 760 dari NKF.

Kelima-lima rakan kongsi, iaitu Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Tan Tock Seng (TTSH), dalam satu kenyataan bersama pada 1 Jun menegaskan bahawa sokongan awal ini memastikan pesakit CKD mempunyai pilihan jelas untuk memilih penjagaan paliatif, bukannya menjalani dialisis.

Pendekatan ini menawarkan pelan penjagaan holistik, bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga memelihara kesejahteraan fizikal, emosi, dan mental mereka.

Walaupun ramai melihat dialisis sebagai satu-satunya jalan tanpa pemindahan organ, ia bukanlah pilihan yang terbaik untuk semua.

Bagi warga emas yang rentan atau mereka dengan penyakit serius seperti kanser dan masalah kardiovaskular, dialisis terbukti kurang berkesan dalam memanjangkan hayat. 

Malah, ia boleh mencetuskan komplikasi seperti mual, kekejangan otot, dan sakit kepala, jelas Dr Kwek Jia Liang, perunding kanan perubatan renal SGH.

Kajian antarabangsa mendedahkan, pesakit berusia 80 tahun ke atas dengan pelbagai penyakit mungkin hanya memanjangkan hayat sekitar dua tahun melalui dialisis. Ironinya, majoriti masa berharga ini dihabiskan di hospital akibat komplikasi rawatan, tambahnya.

CKD kini menjejas 14 peratus rakyat Singapura, melebihi purata global 10 peratus, dan dijangka menjangkiti satu daripada empat orang menjelang 2035.

Pesakit buah pinggang, Encik Job Loei, 60 tahun, menjalani prosedur kanulasi menggunakan peranti berpandukan ultrasound, satu kemajuan teknologi yang telah diguna pakai oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) untuk meningkatkan perkhidmatannya.
Pesakit buah pinggang, Encik Job Loei, 60 tahun, menjalani prosedur kanulasi menggunakan peranti berpandukan ultrasound, satu kemajuan teknologi yang telah diguna pakai oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) untuk meningkatkan perkhidmatannya. - Foto ST

Penjagaan paliatif secara tradisi bermula hanya di ambang akhir hayat. Renalssance hadir untuk mengubah norma ini.

Menerusi inisiatif ini, jururawat dilatih khusus untuk mendekati pesakit CKD lebih awal, membuka ruang perbincangan tentang pilihan rawatan sebelum penyakit mereka memuncak.

Di SGH misalnya, dua jururawat telah memulakan perbualan penting ini bersama pesakit.

Dr Kwek menjelaskan: “Kami mengenal pasti pesakit yang dijangka gagal buah pinggang dalam setahun dua. Walaupun masih sihat, itulah detik yang paling tepat untuk kita membincangkan setiap pilihan.”

Namun, cabaran tetap wujud. Tambah beliau: “Ada pesakit menyoal, ‘Mengapa saya perlu berjumpa anda?’, meskipun fungsi buah pinggang mereka telah susut bawah 20 peratus.”

Apabila pesakit mencapai peringkat keempat daripada lima peringkat CKD, mereka mula mengalami masalah tidur dan rasa lemah, namun cenderung menganggapnya sebahagian daripada proses penuaan, bukan tanda penyakit yang semakin parah.

Pada satu ketika, pesakit dan penjaga akan berdepan dengan keputusan kritikal sama ada untuk menjalani dialisis.

Dengan adanya Renalssance, pesakit CKD peringkat lanjut di ketiga-tiga hospital kini ditawarkan penjagaan paliatif awal secara konsisten, tanpa mengira pilihan mereka untuk dialisis atau penjagaan tanpa dialisis.

Program Renalssance memastikan semua pesakit buah pinggang kronik peringkat lanjut menerima penjagaan paliatif lebih awal, sama ada mereka menjalani dialisis atau memilih rawatan lain.
Program Renalssance memastikan semua pesakit buah pinggang kronik peringkat lanjut menerima penjagaan paliatif lebih awal, sama ada mereka menjalani dialisis atau memilih rawatan lain. - Foto ST

Pendekatan ini berteraskan rawatan yang melegakan penderitaan, menghargai kehendak pesakit, serta menyantuni penjaga demi mengimbangi tuntutan perubatan dengan maruah kehidupan.

Bagi mereka yang memilih dialisis, sokongan paliatif ini akan berjalan seiring untuk memastikan setiap rawatan tidak mengabaikan aspek kemanusiaan.

Di pusat dialisis NKF pula, kesejahteraan menyeluruh pesakit kini dipantau dengan lebih rapi, membuktikan bahawa penjagaan kesihatan bukan sekadar tentang kelangsungan hidup, tetapi tentang kualiti setiap detik yang ada.