Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar S’pura kembali dari luar negara boleh mohon sekolah tempatan mulai 8 Jul
Pelajar S’pura kembali dari luar negara boleh mohon sekolah tempatan mulai 8 Jul
Pelajar S’pura kembali dari luar negara boleh mohon sekolah tempatan mulai 8 Jul
Mulai 8 Julai, pelajar warga Singapura yang kembali dari luar negara boleh memohon kemasukan ke sekolah menengah, maktab rendah (JC) atau Institut Millennia (MI) bagi tahun akademik 2027.
Pemohon akan menduduki ujian terpusat di bawah Latihan Penempatan Sekolah bagi Rakyat Singapura yang Kembali Dari Luar Negara (Spers).
Mereka kemudian akan menerima senarai sekolah yang layak dipohon berdasarkan keputusan ujian berkenaan, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan media pada 1 Julai.
Bagi mereka yang ingin memasuki Menengah 1 hingga 3, permohonan dibuka dari 8 hingga 17 Julai.
Pelajar akan menduduki ujian Spers-Sec dari 1 hingga 3 September, merangkumi ujian Bahasa Inggeris dan Matematik.
Sementara itu, permohonan ke JC dan MI akan dibuka dari 9 Julai hingga 16 Oktober, dengan ujian Spers-JC/MI dijadualkan berlangsung pada 6 November.
Keputusan penempatan akan diumumkan pada Disember, dan pelajar yang berjaya akan mula bersekolah pada hari pertama penggal persekolahan 2027.
Oleh kerana Menengah 4 dan Prauniversiti 2 merupakan tahun peperiksaan nasional, pelajar Singapura yang kembali ke tanah air secara umumnya tidak memasuki sistem persekolahan pada peringkat berkenaan, jelas MOE.
Mereka yang berhasrat menyertai sekolah menengah di Singapura pada 2027 tetapi tidak dapat menduduki ujian Spers-Sec pada September, boleh mengambil ujian berkenaan pada Disember di bawah Latihan Penempatan Tambahan (SPE).
Permohonan bagi SPE akan dibuka dari 4 hingga 13 November, manakala ujian SPE pula akan diadakan pada 2 Disember.
Pemohon SPE akan menerima keputusan penempatan sekolah mereka pada Februari 2027 bagi kemasukan pada bulan yang sama.
Pelajar Singapura yang dapat pulang ke tanah air menjelang September 2026 dinasihatkan untuk memohon Spers-Sec berbanding SPE, supaya mereka boleh memulakan sesi persekolahan pada Januari 2027 bersama rakan lain.
Sebagai gantian, pelajar boleh memohon tempat di sekolah rendah atau menengah berhampiran kediaman mereka di Singapura melalui program Penempatan Sekolah Terjamin.
Borang permohonan penempatan perlu diserahkan dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh kemasukan.
Sebagai contoh, permohonan bagi kemasukan Julai perlu dibuat pada April.
Bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang baik, sekolah biasanya tidak menerima pelajar baru pada penggal terakhir persekolahan, iaitu antara pertengahan September dengan November.
Permohonan yang diterima selepas penggal ketiga pula akan diproses bagi kemasukan tahun berikutnya, dan keputusan akan dimaklumkan pada akhir Disember.
Program ini tidak melibatkan ujian terpusat, namun sekolah mungkin akan mengendalikan penilaian peringkat sekolah dan sesi temu duga bagi menentukan tahap serta kelas bersesuaian untuk inidvidu berkenaan, tambah MOE.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai latihan penempatan ini boleh melayari www.moe.gov.sg/returning-singaporeans.
